Gaya Hidup, Inspirasi

‘The Good Place’ – Cari Motivasi Untuk Berbuat Baik

Oleh Fizah Lee  •  28 Jul 2020  •  4 min baca

‘Bukan senang nak jadi baik tetapi bukan susah nak buat baik.’ Itu mungkin salah satu perkara utama yang dilihat dalam siri The Good Place yang telah ditayangkan di Netflix sebanyak tiga siri.

Siri ini mengisahkan mengenai empat manusia yang telah meninggal dunia dan dimasukkan ke sebuah tempat yang diberi nama The Good Place.

Namun, ada sebuah watak yang bernama Eleanor Shellstrop agak hairan, bagaimana dia boleh dimasukkan ke tempat yang dipenuhi dengan orang-orang baik sedangkan semasa hayatnya dia adalah seorang yang mempunyai perwatakan yang agak negatif.

Banyak sebenarnya perkara yang ditekankan menerusi siri ini. Namun, perkara utama yang ingin disampaikan menerusi entri kali ini ialah berkenaan berbuat baik.

Berbalik kepada Eleanor, wataknya yang memperlihatkan keinginan untuk menjadi orang baik. Padanya, setiap kali dia ingin melakukan kejahatan, pasti ada bisikan halus yang hadir dalam kepalanya untuk menghalangnya daripada melakukan kejahatan tersebut.

Bahkan, untuk mengekalkan kedudukannya di The Good Place itu, Eleanor sanggup berguru dan memasuki kelas etika untuk menjadi manusia yang baik.

Satu perkara yang dapat dilihat ialah motivasi untuk berbuat baik itu sendiri sebenarnya perlu dicari. Dalam situasi Eleanor, tiada motivasi untuknya berbuat baik kerana padanya ialah hidup yang dijalani itu adalah untuknya sendiri dan bukan untuk orang lain. Dalam erti kata lain, mementingkan diri sendiri.

Namun, apabila dia belajar erti persahabatan, kejujuran dan yang paling penting ialah apabila wujudnya kesedaran dalam dirinya untuk menjadi baik, maka pengaruh-pengaruh inilah yang memberikan motivasi kepada dirinya.

Motivasi untuk kita berbuat baik itu sebenarnya penting. Ia adalah pendorong untuk kita istiqamah dan melakukan kebaikan.

Contohnya, semasa di dunia, kita dianjurkan berbuat baik untuk mengumpul pahala bagi menjadikannya sebagai saham di akhirat kelak. Apabila sudah berada di akhirat nanti, segala penyesalan dan tangisan juga sudah tidak berguna kerana ia tidak akan dikira lagi.

Apabila ada dorangan untuk mengumpul pahala, maka ia akan menjadi salah satu kekuatan untuk kita terus berbuat baik.

Cari sesuatu yang boleh membantu anda. Sebagai contoh, lekatkan nota-nota kecil di cermin atau di meja kerja anda atau di tempat yang sentiasa dilihat bagi mengingatkan anda mengenai misi untuk menjadi baik.

Ada juga dalam kalangan kita yang bertuah di mana Allah letakkan kita di dalam bulatan yang dikelilingi oleh orang yang baik-baik.

Sentiasa dekatkan diri dengan mereka kerana apabila kita hampir terpesong atau lalai sedikit, sekurang-kurangnya akan ada orang yang boleh menasihati anda.

Motivasi-motivasi seperti inilah yang diperlukan dalam kehidupan kita. Walaupun ia kelihatan sukar, namun jika dilakukan secara sedikit demi sedikit, insya Allah akan dipermudahkan olehNya.

Berubah Itu Biar Perlahan-Lahan Tetapi Berterusan

Untuk berubah itu perlukan masa. Oleh itu, beri masa kepada diri untuk berubah sedikit demi sedikit. Jangan dipaksa diri dan memberati diri sendiri.

Mulakan dengan perkara-perkara yang ringan dan mudah untuk dilakukan. Kemudian, apabila perkara itu dirasakan sudah sebati dengan diri, boleh melangkah ke perkara seterusnya. Begitulah sepatutnya kebaikan itu dimulakan sehingga akhirnya diri sudah mampu terhalang daripada melakukan perkara yang buruk.

Ada sebuah babak dalam kisah ini di mana Eleanor secara mendadak ingin menjadi baik, kemudian boleh dikatakan kehidupannya berubah sebanyak 360 darjah. Namun, sampai satu saat, dia mula merasa lesu dan lemau kerana motivasinya sudah hilang.

Sehinggalah dia kembali ke kehidupannya yang lalu dengan menjadi seorang yang berperwatakan negatif. Namun, setahun kemudian, dia teringat akan azamnya untuk menjadi baik. Itulah yang menyebabkan dia nekad lagi untuk berbuat baik dengan mencari motivasi yang baru bagi menaikkan semangatnya.

Itulah yang ingin disampaikan di sini, bukan mudah untuk menjadi baik namun tak susah juga untuk berbuat baik. Yang paling penting ialah berubah secara perlahan-lahan dan letakkan motivasi setiap hari.

Jika ada dorongan untuk melakukan sesuatu, pasti semangat itu sentiasa ada. Tetapi, dalam beramal, pastikan niat itu adalah ikhlas kerana Allah. Dorongan itu sekadar motivasi luaran, namun yang paling penting ialah niat dan hati anda itu adalah untukNya.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami