Hukum

Terpesongnya Akidah Disebabkan Tilik Nasib

Oleh Fieyzah Lee  •  23 Jun 2019  •  9 min baca

Kita sering mendengar dan percaya mengenai setiap perkara yang terjadi di muka bumi ini adalah ketentuan dan qadar dari Allah sendiri. Ia telah ditetapkan sejak azali lagi, iaitu ketika kita berada di alam rahim.

Hal ini juga ada disebut melalui sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Rasulullah SAW, iaitu:

إِنَّ أَحَدَكُمْ يُجْمعُ خَلْقُهُ فِي بَطْنِ أُمِّهِ أَرْبَعِينَ يَوْمًا ثُمَّ يَكُونُ عَلَقَةً مِثْلَ ذَلِكَ ثُمَّ يَكُونُ مُضْغَةً مِثْلَ ذَلِكَ ثُمَّ يَبْعَثُ اللهُ مَلَكًا فَيُؤْمَرُ بِأَرْبَعِ كَلِمَاتٍ، وَيُقَالُ لَهُ: اكْتُبْ عَمَلَهُ وَرِزْقَهُ وَأَجَلَهُ وَشَقِيٌّ أَوْ سَعِيدٌ…. إلخ

“Sesungguhnya setiap dari kalian akan dihimpunkan kejadiannya di dalam perut ibunya selama 40 hari kemudian menjadi segumpal darah dalam tempoh masa yang sama. Kemudian menjadi segumpal daging dalam tempoh masa yang sama. Kemudian Allah mengutuskan malaikat dan diperintahkan (malaikat tersebut) dengan empat kalimat. Dikatakan kepada malaikat: tuliskan amalannya, rezekinya, ajalnya, adakah dia bahagia atau derita…” (Hadis Riwayat Bukhari)

Oleh itu, kita hanya boleh meletakkan sepenuh pergantungan hanya kepada Allah kerana segala sesuatu terlaksana dengan takdir tuhan.

Jadi, apa itu qada’ dan qadar? Secara umumnya, ia merupakan ketentuan yang telah ditetapkan oleh Allah. Semua orang tahu dan sedar akan hal itu. Namun, apakah maksud disebaliknya?

Qada’ yang berasal daripada bahasa Arab bermaksud sesuatu perkara yang telah diputuskan oleh Allah terhadap makhluk sama ada untuk menciptanya, mengubahnya atau meniadakannya.

Qada’ terbahagi kepada dua, iaitu Qada’ Mubram dan Qada’ Muallaq.

Qada’ Mubram ialah ketentuan Allah Ta’ala yang pasti akan berlaku dan tidak dapat dihalang oleh apa pun. Sebagai contoh, mati. Ini ada disebut melalui firman Allah yang berbunyi:

وَعِندَهُ مَفَاتِحُ الْغَيْبِ لَا يَعْلَمُهَا إِلَّا هُوَ

Mafhum: “Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Dia lah sahaja.” (Surah Al-An’am, 6:59)

Qada’ Muallaq pula ialah ketentuan yang tidak semestinya berlaku bahkan ia bergantung kepada sesuatu perkara. Sebagai contoh, umur seseorang boleh bertambah dengan bertambahnya sedekah atau bergantung kepada silaturahim yang lain.

Ini juga ada disebut dalam sebuah hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Tidak boleh ditolak qadar Allah Ta’ala melainkan doa. Dan tiada yang boleh memanjangkan umur melainkan membuat baik kepada ibu bapa.” (Hadis Riwayat Hakim, Ibnu Hibban dan Tarmizi)

Bahkan, pada zaman Rasulullah juga, terdapat seorang pemuda yang dikatakan akan meninggal pada malam perkahwinannya, namun disebabkan amalnya yang telah menghulurkan sedekah, umurnya telah bertambah dan dia sempat untuk berkahwin.

Manakala, qadar ialah perkara yang telah ditetapkan oleh Allah sejak azali lagi dan ia akan terjadi berdasarkan ilmu-Nya sendiri.

Semua yang terjadi di muka bumi ini adalah rahsia Allah dan aturan berdasarkan ilmu-Nya. Oleh itu, kita tidak dapat untuk mengagak apa yang akan terjadi dan tidak boleh mempersoalkannya. Kebiasaannya, hikmah akan mula terlihat apabila berlakunya sesebuah perkara tersebut.

Kita tidak layak mempersoalkan mengapa sesuatu perkara itu berlaku, namun kita boleh mencari hikmahnya untuk dijadikan pengajaran dan pengalaman hidup.

Allah juga berfirman di dalam Al-Quran bahawa Allah tidak akan mengubah nasib dan kehidupan seseorang melainkan jika mereka berusaha untuk mengubahnya sendiri. Jika sesseorang mempunyai sikap malas, maka Allah tidak akan mengubahnya untuk menjadi kaya, melainkan jika dia meletakkan usaha sendiri untuk menjadi kaya dengan menjadi rajin untuk bekerja dan sebagainya.

مُعَقِّبَاتٌ مِّن بَيْنِ يَدَيْهِ وَمِنْ خَلْفِهِ يَحْفَظُونَهُ مِنْ أَمْرِ اللَّـهِ ۗ إِنَّ اللَّـهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُوا مَا بِأَنفُسِهِمْ

“Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.” (Surah Ar-Ra’d, 13:11)

Percaya Pada Zodiak Dan Ramalan

Ada sesetengah manusia yang cuba mencari tahu masa depan kehidupan mereka dengan meramal nasib. Atau ada juga yang membaca ramalan mengenai sikap seseorang berdasarkan tarikh lahir. Ada juga yang mempercayai berkenaan ramalan berdasarkan tarikh lahir mengikut kalendar Islam dan sebagainya.

Malah, semalam kita dikejutkan lagi dengan berita peniaga yang telah mengalami kerugian disebabkan terlalu percaya kepada seorang warga Indonesia yang mengaku dirinya sebagai bomoh.

Ia dikatakan telah hilang sebanyak RM10, 000 akibat terlalu percaya akan batu delima yang dikatakan boleh ‘beranakkan duit’. Dasyatnya kepercayaan mereka kepada bomoh itu sehingga apa yang didapatnya hanyalah sampah sahaja.

Adakah perbuatan ini dikira di sisi Islam sebagai dosa atau tidak? Percaya kepada tilik nasib atau tukang sihir sekadar suka-suka untuk mengetahui kemahiran yang ada dikira elok atau tidak?

Hal ini ada disebut melalui firman Allah yang berbunyi:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Mafhum: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu, hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.” (Surah Al-Ma’ida, 5:90)

Berdasarkan dalil ini, sudah terang lagi bersuluh bahawa hukumnya adalah haram dan berdosa jika mempercayai akan benda-benda seperti ini.

Para ulama’ berkata, haramnya ia adalah sama dengan taraf haramnya arak, judi dan menyembah berhala. Maka, jelas di sini hukumnya adalah haram.

Malah, dalam beberapa hadis juga, Rasulullah SAW telah menyebutkan mengenai hal ini:

مَنْ أَتَى عَرَّافًا فَسَأَلَهُ عَنْ شَىْءٍ لَمْ تُقْبَلْ لَهُ صَلاَةٌ أَرْبَعِينَ لَيْلَةً

Maksud: “Sesiapa yang pergi berjumpa dengan tukang tilik lalu dia meminta kepadanya sesuatu, maka solatnya tidak diterima selama 40 malam.” (Hadis Riwayat Muslim)

Menurut pendapat Imam al-Nawawi bahawa solat tidak diterima di sini membawa maksud solat yang dilakukan tidak mendapat pahala.

Manakala dalam hadis lain juga ada disebut:

مَنْ أَتَى عَرَّافًا فَسَأَلَهُ عَنْ شَىْءٍ لَمْ تُقْبَلْ لَهُ صَلاَةٌ أَرْبَعِينَ لَيْلَةً

Maksud: “Sesiapa yang datang berjumpa dengan dukun atau tukang tilik lalu dia membenarkan apa yang dikatakan olehnya. Sesungguhnya dia telah mengingkari dengan apa yang diturunkan kepada Muhamamd SAW.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Menurut kitab Fath al-Bari (3/364), lafaz-lafaz di atas jelas menunjukkan ancaman ke atas mereka yang datang berjumpa dengan dukun dan sebagainya.

Mengapa tukang tilik diharamkan? Hal ini kerana, perbuatan ini boleh merosakkan akidah kerana kita lebih percaya kepada ramalan nasib yang telah diramalkan oleh manusia sendiri.

Kita hanya boleh percaya kepada takdir dan kekuasaan Allah sahaja. Jika ketentuan si tukang tilik itu juga bergantung kepada Allah, apatah lagi ketentuan hidup kita.

عَالِمُ الْغَيْبِ فَلَا يُظْهِرُ عَلَىٰ غَيْبِهِ أَحَدًا

Mafhum: “Tuhanlah sahaja yang mengetahui segala yang ghaib, maka Ia tidak memberitahu perkara ghaib yang diketahuiNya itu kepada sesiapapun. (Surah Al-Jinn, 72:26)

Pernah tak kita terfikir kenapa masa depan kita dirahsiakan oleh Allah? Kenapa kita tidak tahu tarikh kematian kita sedangkan jika tahu dengan lebih awal, bukankah itu dapat menjamin kita untuk berbuat kebaikan sebelum meninggal dunia.

Kenapa kita tidak diberitahu dengan siapa kita akan berkahwin? Sedangkan jika kita tahu, bukankah lebih senang untuk kita mencari pasangan kita tanpa melukakan hati mana-mana pihak?

Di sinilah Allah ingin menguji setiap hambaNya. Bukankah Allah telah berkata bahawa dunia itu merupakan ujian buat hambaNya dan jambatan ke akhirat.

Jika segalanya telah diberitahu, ia sudah tidak dianggap sebagai ujian lagi, bahkan hidup ini sudah tiada cabarannya lagi.

Asal-Usul Tukang Tilik

Kisah mengenai tukang sihir banyak disebut di dalam sejarah da berlaku sejak zaman nabi lagi. Malah, di dalam Al-Quran, terdapat sebuah kisah mengenai dua orang Malaikat yang bernama Harut dan Marut yang telah ditugaskan untuk turun ke bumi bagi menentang tukang sihir yang wujud pada zaman tersebut.

Melalui surah Al-Baqarah dalam ayat 102, ada diceritakan bahawa mereka telah turun di sebuah negeri Babylon. Hal ini kerana pengaruh sihir pada zaman itu sangat buruk dan rata-rata penduduk mempercayai tukang sihir dan amalan meramal masa depan.

Antara ilmu sihir yang sangat hebat adalah ilmu sihir pemisah antara suami dan isteri. Malah, sehingga kini, ramai yang mempercayai tukang sihir untuk mendapatkan lelaki atau perempuan yang dicintainya.

Pada zaman Rasulullah SAW pula, wujudnya ramalan melalui ‘iayafah, iaitu meramal nasib dengan membuat garis-garis di tanah, Thiyarah pula adalah dengan meramal nasib melalui gerak geri burung dan Tharq, iaitu dengan menggertak burung supaya terbang dan jika ia terbang ke arah kanan maka ia akan membawa petanda yang baik dan jika ke arah kiri, maka mereka percaya bahawa ia adalah petanda yang buruk.

Rasulullah SAW juga pernah bersabda yang bererti ahli nujum, tukang sihir dan juga peramal nasib merupakan satu cabang ilmu yang sama. Dalam erti kata lain, ia dikira dosa yang sama.

Berdasarkan Ali bin Abi Thalib RA, beliau berkata: “Dukun itu adalah tukang sihir, dan tukang sihir itu adalah seorang yang kafir.”

Lalu, ada pula yang mempersoalkan, bagaimana jika apa yang ditilik dan diberitahu oleh tukang ramal adalah hampir betul atau kadang-kadang tepat dengan diri kita sendiri?

Kadang-kadang, rahsia kita yang tiada orang tahu pun, mereka berjaya rungkai dengan hanya melihat kepada tapak tangan dan sebagainya. Atau mungkin apa yang ditulis berkenaan sikap melalui tarikh lahir juga adalah benar dan tepat belaka?

Dalam hal ini, para ulama’ berpendapat bahawa ilmu yang dipelajari dan diamalkan adalah daripada jin dan syaitan yang sesat. Disebabkan itulah, mereka mengatakan bahawa ilmu sihir itu ialah ilmu yang sesat lagi menyesatkan kerana bercampur dengan alam ghaib dan sebagainya.

Malah, jika dilihat dalam amalan orang Melayu, mereka lebih suka mengamalkan ilmu hitam seperi ilmu kebal untuk melindungi diri, ilmu pengasih dan pukau serta ilmu penunduk untuk kelebihan diri sendiri dan mendapatkan apa yang diinginkan.

Masyarakat Melayu juga suka meramal sesuatu dengan menggunakan air atau hujan dan banyak lagi. Mereka ini selalunya digelar sebagai dukun, bomoh, pawang dan berbagai lagi gelaran. Bahkan, Malaysia juga pernah dikejutkan dengan kewujudan tiga orang bomoh yang menggelar diri mereka sebagai bomoh Malaysia.

Hal ini dirujuk berdasarkan hadis yang telah diriwayatkan oleh Aisyah RA, iaitu:

Maksud: “Beberapa orang bertanya kepada Rasulullah SAW tentang para dukun. Baginda menjawab: “Mereka itu tidak ada apa-apa.” Para sahabat bertanya lagi: “Wahai Rasulullah, adakalanya mereka mengamalkan sesuatu dan kemudian ternyata benar.” Rasulullah SAW menjawab: “Itu adalah sesuatu yang benar yang didengar oleh jin kemudian dibisikkannya kepada para walinya dan mereka mencampurnya dengan seratus kedustaan.” (Hadis Riwayat Bukhari, Muslim dan Ahmad)

Menurut para ulama’ lagi, ia boleh jatuh hukum syirik kerana kita telah meletakkan pergantungan kepada selain daripada Allah sehingga boleh memesongkan akidah sendiri. Mempercayai sesuatu selain daripada takdir yang ditetapkan Allah boleh merosakkan akidah.

Ini ada disebut melalui riwayat yang telah dikemukakan oleh ‘Abdullah Ibn Umar, Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud:

“Barangsiapa yang menangguhkan hajatnya kerana al-Thiyarah (ramalan buruk kerana sesuatu), maka dia telah berbuat syikir.” (Hadis Riwayat Imam Ahmad)

Malah, ada sebahagian ulama’ yang berpendapat bahawa, jika dilakukan sekadar suka-suka juga dikira berdosa walaupun tidak mempercayainya. Hal ini kerana, bimbang jika lemahnya iman sehingga boleh mempercayai ramalan tersebut.

Namun,berdasarkan beberapa pendapat ilmuwan lain dan pakar kaunseling, jika selagi tidak memesongkan akidah dan hanya dilakukan secara main-main untuk menghiburkan diri sendiri, maka itu adalah tidak mengapa. Wallahu a’lam. Walau bagaimanapun, kita dinasihatkan untuk mengelakkan diri daripada terjerumus dengan perbuatan ini untuk mengelakkan daripada jatuhnya hukum dosa dan syirik.

Kesimpulan

Sudah jelas, terang lagi bersuluh bahawa amalan dan perbuatan meramal nasib, meminta pertolongan tukang sihir dan jin adalah berdosa dan perlulah seseorang manusia yang telah terpesong itu kembali kepada Allah dengan taubat yang sungguh-sungguh, iaitu taubat nasuha.

Hanya Allah sahaja yang boleh mengampuni dosa ini kerana hanya Dia yang mengetahui setiap apa yang ada di hati hambaNya. Percayalah bahawa Allah itu sentiasa dekat dengan hambaNya dan boleh memperkenankan setiap doa yang ditadah oleh hambaNya.

وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ ۖ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ ۖ فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ

“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku, maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka, hendaklah mereka menyahut seruanKu (dengan mematuhi perintahKu) dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.” (Surah Al-Baqara, 2:186)

Rujukan: Mufti Wilayah


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fieyzah Lee

Fieyzah Lee

Merupakan seorang pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami