Inspirasi

Terokai Hobi Untuk Jadi Lebih Kreatif

Oleh Natirah Azira  •  13 Sep 2019  •  4 min baca

Daripada kecil lagi, sesetengah daripada kita mungkin pernah dilabelkan oleh guru sebagai ‘pelajar yang kreatif’, ‘pelajar yang pandai’ dan sebaliknya.

Dalam kelas mewarna, jika ada rakan yang melukis dalam bentuk yang menarik sedikit berbanding seisi kelas yang lain, maka pasti guru memuji mereka dengan mengatakan bahawa mereka kreatif.

Mengaitkan kreatif hanya dengan perkara-perkara seperti menulis, melukis, mewarna, muzik dan hal-hal berkaitan seni yang lain sebenarnya tidak tepat. Kita sebenarnya dilahirkan dengan bakat kreativiti yang berbeza-beza – kita hanya perlu mencari semula bakat tersebut yang mungkin sudah terkubur lama.

Memberi Nafas Baru Kepada Makna Kreatif

Kreatif bermaksud apa sahaja yang dapat memberi makna yang unik kepada anda. Dalam erti kata lain – kreativiti wujud dalam apa jua perkara. Ia boleh jadi ada ketika anda bekerja, belajar, mengembara bahkan sehingga hal-hal rutin yang anda lakukan setiap hari seperti memasak, mencuci baju dan membersihkan rumah.

Kreativiti adalah apa sahaja yang buat anda gembira, puas hati atau kehidupan anda menjadi lebih menarik dan mudah berbanding sebelum ini. Ia adalah lapangan anda bereksperimen!

Kajian mendapati bahawa apabila seseorang memiliki sesuatu hobi, ia dapat menggalakkan aktiviti otak, membantu seseorang untuk menghadapi stres serta dapat memperbaiki kesihatan diri secara keseluruhan.

Jika anda selama ini menganggap bahawa anda tidak kreatif, mungkin anda perlu menilai semula rutin seharian yang dilakukan. Anda mungkin tidak pandai menulis atau melukis, tetapi anda mungkin pandai mencipta resepi-resepi baru atau mengubah suai resepi sedia ada sehingga menjadi lebih lazat!

Atau anda mungkin tidak pandai mereka cipta sesuatu tetapi anda pandai menyusun atur perabot yang ada di rumah sehingga tampak lebih menarik dan menjimatkan ruang. Perkara-perkara ini juga merupakan suatu bentuk kreativiti sebenarnya.

Satu perkara lagi yang sering menjadi kekeliruan adalah – ramai yang menganggap kreatif adalah tentang hasil yang boleh dilihat dan dipegang. Contohnya, gubahan bunga yang cantik, lukisan yang menarik dan lain-lain.

Namun kreatif sebenarnya lebih luas. Ia juga melibatkan proses berfikir, dan sudut pandang baru sehingga kita mendapat jalan penyelesaian kepada sesuatu perkara. Secara mudahnya, ia juga boleh dipanggil proses inovasi, iaitu proses mencipta sesuatu yang baru daripada perkara sedia ada.

Contohnya anda ingin memasak kek, namun kehabisan bahan yang ingin dijadikan hiasan di atas kek. Dengan bahan-bahan lain yang ada, anda boleh menggantikannya.

Jika anda masih tidak jelas dalam sudut mana anda kreatif, maka tiga perkara di bawah mungkin dapat membantu:

#1- Meneroka Cara Anda Mengekspresikan Diri Sendiri

Ia tidak semestinya suatu yang besar. Teliti cara anda mengekspresikan diri sendiri. Mungkin soalan-soalan di bawah dapat membantu untuk anda melihat dengan lebih jelas.

Apa yang memberikan makna kepada diri saya?
Apa yang menggembirakan saya?
Apa yang selalu saya lakukan pada masa lapang?
Saya cenderung kepada situasi yang bagaimana?
Apa respon orang apabila saya melakukan hal-hal kreatif?

#2- Menerima Cara Kreativiti Diri Sendiri

Jika anda adalah seorang yang kreatif dalam belajar, anda mungkin akan mempelbagaikan nota dan bahan bacaan daripada kuliah yang disampaikan oleh pensyarah. Selain daripada nota dalam bentuk tulisan, sesetengah orang mungkin akan menukarkan nota tersebut dalam bentuk audio supaya lebih mudah untuk diakses di mana-mana.

Sekalipun cara anda berbeza dan mungkin tidak praktikal kepada orang lain, tetapi jika ia berguna bagi diri sendiri, maka ia sudah memadai. Nilai kreativiti yang utama adalah pada diri sendiri – sama ada hal tersebut menggembirakan diri anda atau memudahkan urusan.

#3- Cabar Diri Anda Untuk Berfikir Di Luar Kotak

Jika anda sudah menerima cara anda sendiri dalam mencipta kreativiti, maka lebih banyak perkara-perkara positif akan terjadi. Anda akan lebih bersemangat untuk berkesperimen dalam lapangan yang anda sukai.

Dalam era perkembangan teknologi di mana terlalu banyak maklumat disogokkan kepada anda setiap hari – orang masing-masing cuba menunjukkan kelebihan, keunikan dan kreativiti masing-masing, maka agak mudah untuk melupakan kelebihan diri sendiri.

Jika anda merasakan orang yang anda lihat di media sosial bijak, menarik dan kreatif, maka jangan lupa bahawa anda juga sama seperti mereka tetapi dalam lapangan yang berbeza. Yang penting, fokus kepada apa yang anda suka, dan akui bahawa anda juga kreatif dalam cara anda tersendiri!


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami