Hukum, Ibadah

Terlajak Tidur Sehingga Subuh Gajah – Bila Perlu Tunaikan Solat Subuh

Oleh Fizah Lee  •  11 Jun 2020  •  3 min baca

Apa yang anda akan lakukan saat anda terbangun lambat daripada tidur? Sebagai contoh, anda terjaga pukul 7.00 pagi dan waktu itu cahaya fajar sudah memancar.

Adakah anda akan segera bangkit untuk menunaikan solat Subuh yang terlepas atau teruskan tidur kerana beranggapan bahawa Subuh sudah terlepas?

Jadi, pada waktu bilakah anda sepatutnya menunaikan solat Subuh? Adakah keesokan hari atau terus menunaikan ‘Subuh gajah’.

Sebenarnya, waktu yang paling tepat ialah, saat terjaga daripada tidur – maka diwajibkan ke atas anda untuk terus menunaikan solat Subuh.

Jangan takut dengan istilah Subuh gajah kerana ia adalah sekadar istilah. Apa yang paling penting ialah terus menunaikan solat sejurus apabila anda tersedar.

Jangan terus menyambung tidur kerana merasakan bahawa anda sudah terlepas solat Subuh. Hal ini kerana, terlajak tidur itu adalah perkara yang tidak dapat dikawal. Apabila kita telah meletakkan usaha untuk bangun Subuh seperti mengunci jam penggera dan sebagainya, maka ia sudah tidak dikira sebagai perbuatan yang sengaja.

Sebaliknya, jika anda memilih untuk menyambung tidur, maka perbuatan itu adalah dikira berdosa. Hal ini kerana anda tidak memandang berat akan solat dan tidak menyegerakan urusannya.

Imam Nawawi RA menyebutkan bahawa, solat Subuh itu perlulah dilakukan saat terjaga daripada tidur walaupun pada waktu itu kelihatan fajar sudah menyinsing.

Hal ini dihuraikan berdasarkan peristiwa Baginda SAW yang juga terlajak tidur. Namun, apabila Baginda bangun, Baginda terus mengimami solatnya. Ia ada diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA:

Maksud: “Sesungguhnya Rasulullah SAW ketika pulang daripada peperangan Khaibar, Baginda pun berjalan pada satu malam sehinggalah Baginda merasa mengantuk lalu berkata kepada Bilal: “Awasilah kami pada malam ini.” Bilal pun menunaikan solat dengan kadar yang beliau mampu dalam keadaan Baginda dan sahabat yang lain tidur. Apabila hampir waktu fajar, Bilal bersandar pada haiwan tunggangannya sambil menghadap ke arah tempat terbitnya fajar. Lalu, Bilal merasa mengantuk.

Baginda SAW tidak bangun, begitu juga Bilal dan beberapa orang sahabat sehinggalah pukulan matahari terpancar ke arah mereka. Rasulullah SAW adalah yang paling awal terjaga dan merasa terkejut, lalu berkata: “Wahai Bilal.” Lalu, Bilal pun menjawab: “Sesuatu mengatasi aku dan turut mengatasi dirimu wahai Rasulullah.” Maka, Rasulullah pun bersabda: “Pimpinlah (haiwan tunggangan).” Lalu kesemua mereka membawa haiwan tunggangan ke suatu tempat.

Kemudian, Baginda SAW berwuduk dan mengarahkan Bilal untuk iqamat. Baginda seterusnya mengimami solat subuh bersama mereka. Sesudah melaksanakan solat tersebut, Baginda bersabda: “Sesiapa yang terlupa untuk solat, maka hendaklah dia menunaikan solat apabila dia mengingatinya. Kerana sesungguhnya Allah SWT berfirman: “Dirikanlah solat untuk mengingati aku.”(Hadis Riwayat Muslim, no. 680)

Kesimpulan

Menjadi kewajipan muslim untuk meletakkan usaha agar tidak terlajak tidur dan boleh menunaikan solat Subuh dalam waktunya.

Namun, jika terlajak tidur, ia adalah perkara yang tidak boleh dikawal. Maka, teruskanlah untuk menunaikan solat Subuh dan jangan menangguhkannya sehingga ke masa lain.

Wallahu a’alam.

Rujukan:
Rumaysho.com


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami