Inspirasi

Terima Kasih, Dua Kata Cukup Bermakna

Oleh Asyiqin Rosmahadir  •  21 Aug 2018  •  4 min baca

Ucapan terima kasih mempunyai dua patah perkataan sahaja. Mudah untuk disebut tetapi jarang diamalkan. Masih terdapat segelintir masyarakat yang memandang enteng terhadap ucapan tersebut.

Ada yang menganggap ucapan itu tidak diperlukan dan ada juga mereka yang segan untuk mengucapkan terima kasih. Tapi tahukah anda bahawa kata yang indah;

“Terima Kasih” amat bermakna?

Tambah pula sekiranya orang yang mengucapkan ayat itu dengan ikhlas. Walaupun hal itu sekecil mana pun, ucapan itu penting sekali.

Biar apapun sebutannya, “thank you”, “xie xie” atau “terima kasih” itulah lambang penghargaan betapa kita menghargai apa-apa yang dilakukan orang itu terhadap kita.

Rasa terima kasih sebenarnya adalah sebuah perasaan yang dapat meningkatkan keperibadian diri sendiri.

Di samping itu, rasa terima kasih merupakan perasaan bersyukur terhadap orang lain. Sememangnya, ucapan terima kasih yang sederhana dan ikhlas memberikan impak yang besar.

Malahan dalam Islam juga terima kasih dapat dikaitkan dengan kalimah; syukur. Ucapan atau rasa syukur itu akan ditonjolkan apabila memperolehi sesuatu rezeki. Kira-kira, kita akan rasa gembira lalu bersyukur tanda menghargai pemberian daripada Allah S.W.T.

Ucapan terima kasih ini juga berkaitan dengan hablum minannas (hubungan sesama manusia). Seringkali kita terdengar atau terbaca tentang setiap umat Islam itu bersaudara.

Oleh itu, budaya terima kasih harus diwujudkan dalam diri setiap muslim dan tidak kira sesiapapun. Firman Allah yang bermaksud;

“Sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara.”Surah Al-Hujurat 49:10

Dan hubungan sesama manusia penting sekali kerana manusia diciptakan untuk saling memerlukan. Malahan, hanya dengan ucapan terima kasih, kita dapat menjalinkan sesuatu perkenalan dan persahabatan. Firman Allah S.W.T yang bermaksud;

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan suku puak, supaya kamu saling berkenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling takwa di antaramu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Teliti”Surah Al-Hujurat :13

#1 – Orang Lain Akan Berasa Dihargai

Ketika kita mengucapkan terima kasih kepada orang lain, rasa dihargai akan wujud pada diri orang lain itu. Contohnya, kita mengucapkan terima kasih kepada perkara yang kecil seperti pekerja restoran siap menghidangkan makanan untuk kita.

Percayalah bahawa mereka akan cukup berasa dihargai dan rasa seronok saja apabila ingin membuat sesuatu.

Jangan dilupakan juga untuk mengucapkan terima kasih kepada keluarga kita sendiri. Ibu dan bapa terutamanya kerana mereka ialah antara orang-orang yang patut diberikan penghargaan.

Jika tidak mampu membeli hadiah tidak mengapa. Cukuplah ucapan terima kasih dan menjadi orang yang berguna untuk mereka rasa lebih dihargai.

#2- Perasaan Bahagia Akan Muncul

Emosi asas manusia ialah perasaan gembira, malu, sedih dan sebagainya. Apabila ucapan terima kasih dilontarkan kepada seseorang, mereka pasti akan membuatkan rasa bahagia muncul serta-merta.

Selain itu, diri kita sendiri akan berasa positif pada waktu itu. Aura daripada perkataan terima kasih yang ikhlas amat misteri. Kuasanya benar-benar luar biasa. Kita turut berasa tenang dan sama-sama gembira.

#3- Membangkitkan Rasa Semangat

Apabila rasa gembira tiba, rasa bersemangat juga akan bergelora dalam diri. Tidak kira kepada pengucap terima kasih dan penerimanya. Kedua-duanya akan berasa lebih bersemangat pada hari itu.

Cuba bayangkan jikalau kita menaiki bas lalu mengucapkan terima kasih kepada pemandu bas tersebut.

Kemudian, seorang demi seorang turun lalu mengucapkan terima kasih. Ditambah pula dengan senyuman yang ikhlas. Tentunya, pemandu bas itu lebih bersemangat untuk menjalankan tanggungjawabnya dengan baik sepanjang hari.

Maka selepas ini, biasakanlah diri untuk mengucapkan terima kasih sesama manusia. Meskipun tidak saling mengenali mahupun belum pernah bersua di mana-mana.

Hal ini kerana, kita semua sebenarnya sama sahaja di dunia ini. Setinggi manapun pangkat ataupun darjat, tidak ada salahnya untuk mewujudkan budaya terima kasih.

Sesungguhnya, orang yang mengamalkan ucapan tersebut mempunyai nilai-nilai dan moral yang tinggi. Dan hanya orang yang sombong tidak mahu berterima kasih sesama manusia. Dari Abu Hurairah, Rasulullah S.A.W bersabda;

“Tidak dikatakan bersyukur pada Allah bagi siapa yang tidak tahu berterima kasih pada manusia.”Riwayat Abu Daud

Berdasarkan hadis di atas, terdapat beberapa hal yang ingin dijelaskan;

#1- Sesiapa yang biasa tidak berterima kasih kepada manusia yang telah berbuat baik padanya, maka ia juga susah untuk bersyukur terhadap Allah S.W.T.

#2- Kita diperintahkan untuk bersyukur.

#3- Pemberi nikmat ialah Allah S.W.T dan manusia yang berbuat baik adalah sebagai perantara dalam kesampaian kepada kebaikan.

Dengan ini diharapkan, kita semua merendahkan ego masing-masing dan sentiasa mengucapkan terima kasih kerana dua patah kata itu sungguh bermakna.

Semoga dua kata penuh berharga “Terima Kasih” telah berulang-ulang kali diucapkan pada hari ini.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Asyiqin Rosmahadir

Asyiqin Rosmahadir

Seorang pelakon di pentas dunia. Acap kali menyandang watak gadis yang berusaha untuk memperbaiki kehidupan sendiri. Kadangkala, lakonannya begitu indah di alam fantasi. Beliau gemar bersuara melalui tulisan dan sedang gigih berperang dalam dunia seni bina.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami