Gaya Hidup

Terima Kasih Allah Kerana Engkau Masih Panjangkan Umurku

Oleh Fazli Abdullah  •  1 Sep 2019  •  4 min baca

Setiap pagi kita akan terjaga daripada lena. Setelah penat dan keletihan dihilangkan dengan tidur, kini masanya untuk meneruskan rutin harian.

Begitulah kita pada setiap hari. Dan tanpa kita sedar bahawa umur kita kian bertambah dan juga kita masih lagi bernafas sehingga ke hari ini. Alhamdulillah.

Tetapi kita sering terlupa dengan umur dan nyawa kita. Sampai bilakah ia terus berjalan? Tibanya saat nanti pasti kita akan tidak lagi bernafas dan tidak lagi dapat menempuhi kehidupan di dunia ini.

Waktunya bila itu tidak tahu. Namun, jaraknya semakin hampir kerana usia kita semakin bertambah. Dan bila usia bertambah, ia bermakna kita semakin dekat dengan kematian.

Kenyataan ini bukan bertujuan untuk menakutkan kita tetapi sebagai peringatan kepada kita supaya jangan terus leka dan dibuai dengan keasyikkan dunia sehingga tidak memikirkan saat kita akan kembali bertemu dengan pencipta kita.

Hidup Dan Mati

Mengingati mati tidak bererti kita harus lari dari realiti dunia. Bukan bererti harus tidak mencari rezeki untuk keperluan diri dan keluarga. Dan bukan juga harus sepanjang hari berada di atas sejadah tanpa menyentuh langsung dengan soal dan keadaan dunia.

Kita diciptakan Allah untuk menjadi khalifah di atas muka bumi dan hamba kepada Allah S.W.T seperti yang terukir di dalam al-Quran. Bukan sekadar sebagai hamba Allah S.W.T tetapi berhubungan dengan manusia juga adalah penting.

Jangan tersalah anggap bahawa mengingati mati harus tutup ‘buku’ tentang dunia. Tetapi jadikan ia motivasi untuk kita untuk terus bersemangat dan berbakti sebagai manusia yang berjasa.

Allah tidak sia-sia menciptakan kita malah kita diciptakan dengan sebaik-baik ciptaan. Oleh itu, janganlah dibuang usia begitu sahaja.

Salahkah Berumur Panjang?

Daripada Sayidina Abu Hurairah R.A, beliau mendengar Rasulullah S.A.W pernah bersabda yang bermaksud:

“Umur umatku di antara 60 hingga 70 tahun dan amat sedikit yang lebih daripada itu.”Hadis Riwayat al-Tirmizi


Itulah kitaran umur yang selalunya kita lihat pada hari ini. Kebanyakkannya berumur dalam usia 60-70 tahun. Ada juga yang dikurniakan umur yang panjang. Kata orang ia adalah sebagai ‘bonus’ kepadanya.

Jika Allah S.W.T melanjutkan umur seseorang manusia, ia adalah bertujuan agar mereka dapat berfikir dan mempelajari agama Islam. Firman Allah S.W.T di dalam al-Quran yang bermaksud:

“Bukankah Kami telah melanjutkan umur kamu dan memberikan masa yang cukup untuk berfikir.”Surah al-Fatir 35:37


Berdasarkan tafsiran Syeikh Sayyid al-Tantawi ketika menafsirkan ayat ini, beliau menyatakan bahawa Allah S.W.T menegur insan-insan yang terus kekal dan lalai dengan kehidupan dunia sedangkan usia mereka itu mampu untuk mencari kebenaran atau cahaya keimanan. (Tafsir al-Wasith)

Umur yang panjang adalah satu peluang yang jarang diberi kepada kebanyakkan manusia. Oleh itu janganlah dirugikan umur yang panjang tanpa sebarang amal dan bekalan untuk dibawa ke hari akhirat nanti.

Gunakan umur yang panjang ini untuk terus dalam kebaikan dan bukan pula ‘syarat tambahan’ untuk menambahkan lagi amalan kejahatan.

Mintalah Umur Yang Berkat

Umur yang berkat lebih baik daripada umur yang panjang. Maksudnya? Jika sekadar berumur panjang tetapi pengisian hidupnya tidak baik dan penuh dengan perbuatan kejahatan alangkah ruginya orang itu.

Berbeza pula jika seseorang itu walaupun dia berumur pendek dan meninggal dalam umur yang masih muda tetapi jika umurnya berkat maka beruntunglah mereka.

Namun betapa beruntunglah lagi pada mereka yang mempunyai umur yang panjang dan umurnya pula berkat. Usianya penuh dengan amal kebaikan dan beristiqamah dalam ketaatan. Ini lagilah beruntung.

Mintalah hidup yang berkat agar perjalanan hidup kita sentiasa di dalam rahmatNya. Bukan soal pendek atau panjang usia kita tetapi bagaimana kita menggunakan umur kita.

Jangan terlalu fokus pada angka tetapi fokuslah pengisian kehidupan kita. Adakah selama ini sudah diisi dengan sebaik mungkin atau sekadar hanya hidup sebelum mati?

Akhir sekali, bersyukurlah kepada Allah S.W.T kerana kita masih lagi bernafas pada hari ini.

Berterima kasihlah kepadaNya kerana masih diberi sisa dan peluang untuk memperbaiki kesilapan silam. Alhamdulilah.
Waallahu a’lam.

Rujukan:

1. Mufti Wilayah ; Umur Panjang Diampunkan Dosa


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fazli Abdullah

Dilahirkan di Kedah. Hobi membaca dalam genre agama dan motivasi. Mengemari lagu nasyid. Menjadikan penulisan sebagai medan penyebaran ilmu dan kebenaran. tzkrh.com adalah ruangan penulisan pertamanya menulis dengan serius.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami