Ibadah

Tentang Qunut Selepas Solat Sunat Tarawih

Oleh Fizah Lee  •  27 May 2019  •  7 min baca

Kita telah melepasi malam Nuzul Quran pada bulan Ramadan yang mulia ini. Pastinya, masjid-masjid dan segelintir surau sudah mula membacakan doa qunut pada rakaat terakhir solat witir.

Namun, ada segelintir muslim yang berpendapat bahawa ia merupakan suatu ajaran yang tidak wajar diikuti kerana ia dikatakan sebagai bid’ah. Tidak kiralah sama ada bid’ah hasanah atau tidak kerana pada zaman Rasulullah SAW, baginda tidak pernah mengamalkannya. Malah, dikatakan tiada hadis sahih berkenaan qunut.

Jadi, adakah perlu dibacakan doa qunut selepas solat Sunat Tarawih ini? Kalau tidak dibacakan, apa pula hukumnya?

Jika dilihat melalui kitab-kitab para ulama’ yang telah berbahas mengenai persoalan ini, rata-rata mereka mengambil hukum sunat untuk dibacakan qunut ketika solat. Jadi, tidak mengapa jika tidak dibacakan.

Malah, mazhab Syafi’e mengatakan di dalam kitabnya bahawa sunat dibacakan qunut sama ada ketika solat bersendirian atau berjemaah pada rakaat terakhir solat witir dan 15 terakhir bulan Ramadan.

Berdasarkan riwayat oleh Hasan bin Ali RA di dalam Jami’ al-Tirmizi dan juga Sunan Abi Daud:

…عَلَّمَنِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَلِمَاتٍ أَقُولُهُنَّ فِي الوِتْرِ: اللَّهُمَّ اهْدِنِي فِيمَنْ هَدَيْتَ

“Rasulullah SAW telah mengajarku beberapa perkataan untuk aku sebut di dalam witir: “Ya Allah Ya Tuhan kami! Kurniakanlah kepadaku petunjuk di kalangan mereka yang mendapat petunjukMu …” (Hadis Riwayat Tirmizi)

Dalam riwayat lain juga ada disebut:

أن رسول الله صلى الله عليه وسلم، كان يقول في آخر وتره: اللهم إني أعوذ برضاك من سخطك .إلخ

Maksud: “Rasulullah SAW biasanya berdoa pada rakaat akhir solat witir: Allahumma inni a’udzu biridhaka min sakhatik …”

Ibnu Taimiyah berpendapat bahawa, sesiapa yang ingin melakukannya adalah dibolehkan dan sesiapa yang ingin meninggalkannya juga tidak mengapa. Ini ada disebut dalam kitabnya;

Maksud: “Hakikatnya, qunut witir adalah sejenis doa yang dibolehkan dalam solat. Siapa yang mahu membacanya, silakan dan yang tidak mahu mengamalkannya juga dibolehkan. Sebagaimana melalui solat witir, seseorang boleh melakukan tiga, lima atau tujuh rakaat, bergantung atas kemahuan seseorang (bilangan yang ganjil).

Sama sahaja jika dalam witir, ia boleh dilakukan sebanyak 3 rakaat dan 2 salam atau dilakukan sekali gus. Pada bulan Ramadan, jika seseorang itu membaca qunut pada keseluruhan bulan Ramadan, maka itu adalah sangat baik.

Sama juga jika seseorang itu membaca qunut pada separuh akhir Ramadan sahaja, itu juga adalah sangat baik, malah jika dia tidak membaca qunut sekali pun, itu juga tidak dianggap berdosa.” (Majmu’ Al-Fatawa, 22:271)

Asal Usul Qunut

Namun, timbul juga persoalan, dari mana asalnya qunut? Kenapa qunut tidak dibacakan dalam solat-solat yang lain?

Qunut berasal daripada perkataan Arab قُنْتُ yang bermaksud berdiri lama, diam, selalu taat, tunduk, doa dan khusyu’.

Manakala, dari segi istilah, ia merupakan doa yang telah dibaca dalam solat pada tempat dan waktu yang dikhususkan semasa berdiri.

Terdapat tiga jenis qunut, iaitu Qunut Witir seperti yang telah diterangkan di atas, Qunut Subuh dan Qunut Nazilah.

عَن أنس أَن النَّبِي – صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسلم – قنت شهرا يَدْعُو عَلَى قاتلي أَصْحَابه ببئر مَعُونَة (ثمَّ) ترك ، فَأَما فِي الصُّبْح فَلم يزل يقنت حَتَّى فَارق الدُّنْيَا.

Maksud: “Dari Anas RA berkata: “Sesungguhnya Nabi melakukan qunut selama satu bulan, berdoa (untuk keburukan) kepada para pembunuh para sahabat beliau di Bi’r Ma’unah, lalu beliau meninggalkannya, akan tetapi qunut pada waktu Subuh tetap diamalkan sehingga baginda wafat.” (Hadis Riwayat Ad-Daruquthni)

Berdasarkan hadis ini, para ulama’ berpendapat bahawa Rasulullah SAW pernah membacakan doa qunut selama satu bulan di dalam solatnya untuk mendoakan keburukan terhadap kaum yang telah membunuh para sahabat di Bi’r Ma’unah.

Namun, selepas satu bulan, baginda tidak membacakan qunut di dalam solat lain kecuali solat Subuh sahaja.

Peristiwa tersebut dikatakan telah menyebabkan seramai 70 orang muslimin telah meninggal dunia akibat dibunuh. Ada riwayat yang mengatakan bahawa hanya seorang sahaja sahabat yang dibiarkan hidup semasa peristiwa tersebut, iaitu Ka’b bin Zaid bin An-Najjar.

70 orang Muslimin yang juga merupakan penghafaz al-Quran ini dikatakan sedang melakukan rombongan ke arah kaum Najd untuk menyampaikan ajaran Islam. Ia dikatakan berlaku pada tahun ke empat hijriah. Rasulullah SAW dikatakan amat sedih dengan peristiwa tersebut.

Bahkan, kisah ini ada disebut melalui hadis oleh Al-Imam Al-Bukhari yang diceritakan Anas bin Malik:

قَنَتَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ شَهْرًا حِينَ قُتِلَ الْقُرَّاءُ فَمَا رَأَيْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَزِنَ حُزْنًا قَطُّ أَشَدَّ مِنْهُ

“Rasulullah SAW qunut selama satu bulan ketika para qurra; itu terbunuh, dan aku belum pernah melihat Rasulullah begitu berduka dibandingkan kejadian tersebut.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Peristiwa ini merupakan permulaan kepada bacaan qunut di dalam solat Subuh. Oleh itu, jelaslah di sini bahawa ia merupakan suatu amalan yang bukan dibuat-buat malah amalan yang diamalkan sendiri oleh Rasulullah SAW.

Qunut Nazilah

Maksud Nazilah ialah musibah yang sangat berat. Ia berasal daripada perkataan Arab, iaitu نازلة yang sunat dibacakan ketika terjadinya musibah atau bencana.

Ia dikatakan sunat kerana beberapa riwayat bahawa Rasulullah akan membacakan qunut ini ketika terjadinya kejadian yang menyedihkan atau sesuatu bencana terhadap umat Islam.

Melalui riwayat Barra’ bin ‘Azib RA: “Rasulullah SAW kadang-kadang membaca doa qunut (ketika ada musibah) pada solat Subuh dan Solat Maghrib.” (Hadis Riwayat Maghrib)

Banyak lagi dalil yang mengatakan bahawa qunut ini pernah dilakukan oleh Rasulullah. Hal ini terbukti bahawa ia merupakan suatu perbuatan yang pernah diamalkan oleh Rasulullah, bukan sesuatu yang dibuat-buat. Malah, ia disyariatkan untuk diamalkan jika terjadi sesuatu musibah.

Ibnu Taimiyah berkata: “Dianjurkan berdoa qunut saat terjadi musibah. Pendapat in adalah pendapat para fuqaha ahli hadis dan didasari oleh riwayat-riwayat dari khulafa’ al-Rasyidin.” (Majmu’ Fatawa 108/23)

Jumhur ulama’ mengatakan bahawa qunut nazilah hanya dibaca ketika terjadinya sesuatu musibah untuk mendoakan saudara muslim kita yang mengalaminya. Ia juga boleh dibacakan pada waktu Maghrib atau Subuh. Tiada dalil yang menceritakan Rasulullah membacakan qunut nazilah pada waktu solat lain.

Qunut ini juga disyariatkan dibaca dengan doa yang ringkas sahaja. Sebagaimana hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Apakah Rasulullah membaca doa qunut pada solat Subuh?” Anas menjawab: “Ya, setelah ruku’ dan dengan doa yang ringkas.” (Hadis Riwayat Muslim)

Doa ini juga tidak dibacakan dengan lafaz yang tertentu. Ia boleh disesuaikan dengan musibah yang berlaku, sebagaimana sebuah riwayat yang menceritakan Rasulullah pernah berdoa dengan lafaz berikut:

Maksud: “Ya Allah, tolonglah ‘Ayyash bin Abi Rabi’ah. Ya Allah, tolonglah Walid bin Al Walid. Ya Allah, tolonglah Salamah bin Hisyam. Ya Allah, tolonglah orang-orang yang lemah dari kaum mukminin. Ya Allah, sempitkanlah jalanMu ke atas mereka yang derhaka. Ya Allah, jadikanlah tahun-tahun yang mereka lalui seperti tahun-tahun yang pernah dilalui Yusuf.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Pandangan Mazhab Mengenai Qunut

Jumhur Ulama’ telah melihat kepada pandangan empat mazhab Syafi’e berkenaan qunut ini.

#1 – Mazhab Maliki

Dalam mazhab ini, ia berpendapat bahawa doa qunut tidak dibacakan pada witir mahupun nazilah. Ia hanya perlu dibaca pada solat Subuh sahaja.

#2 – Mazbah Syafi’e

Mazhab ini berpendapat bahawa qunut dibacakan dalam solat Subuh dan untuk qunut nazilah. Manakala, untuk witir, ia hanya dilakukan pada separuh malam akhir Ramadan sahaja.

#3 – Mazhab Hanafi

Qunut pada solat Subuh hanya dilakukan jika dilakukannya secara berjemaah. Namun, jika dilakukan secara sendirian, maka tidak perlu membaca doa qunut. Manakala, tiada disyariatkan qunut pada solat witir. Qunut nazilah atau pada mereka dikenali juga sebagai qunut nawazil boleh dilakukan.

#4 – Mazhab Hambali

Qunut disyariatkan dalam solat witir sahaja. Manakala, untuk solat Subuh dan Nazilah tiada disyariatkan doa ini.

Menurut Syeikh Ibnu ‘Utsaimin, jika imam membaca qunut Subuh, maka makmum hendaklah mengikut imam dalam qunut tersebut dan makmum perlu mengaminkannya.

Hal ini sama sahaja dengan doa qunut nazilah dan qunut witir. Makmum perlu mengangkat tangan dan tidak disyariatkan menyapu muka.

Hikmah Qunut

Umum mengetahui bahawa ia merupakan doa yang dibacakan bermula zaman Rasulullah di atas sejarah tumpasnya para huffaz. Namun, mengapa ia dilakukan? Apakah faedah dan hikmah yang terkandung?

Menurut pendapat para ulama’, terdapat beberapa hikmah yang boleh diperoleh melalui qunut, antaranya ialah:

#1 – Memberi Petunjuk

Kalimah Allahummahdini fii man hadaiit membawa erti permintaan seseorang hamba untuk diberikan petunjuk.

Kita disyariatkan berdoa qunut di pagi hari semasa solat Subuh supaya Allah menjadikan hari yang bakal dilalui itu di bawah petunjuk dan naungan-Nya.

#2 – Perlindungan Allah

Melalui kalimat wa’aafinii fii man ‘afait bermaksud kasihanilah hamba keselamatan sebagaimana hambaMu yang lain yang sudah diberi keselamatan.

Perlindungan keselamatan di sini tidak bermaksud untuk dunia sahaja namun untuk akhirat juga.

#3 – Keberkatan

Kalimah Wabaariklii fiimaa a’thoiit bermaksud berkatilah kepada aku akan apa yang telah Engkau kasih.

Ini merupakan doa supaya Allah memberkati setiap perjalanan hidup kita dan apa sahaja yang kita lakukan supaya ia tidak menjadi sia-sia.

Kesimpulan

Setiap perkara dan amalan yang pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW bukanlah perkara yang sia-sia dan diamalkan secara membabi-buta. Namun, Allah mensyariatkannya atas sebab-sebab tertentu yang mampu memberi kebaikan kepada umat Islam sendiri.

Mufti Wilayah


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami