Gaya Hidup

Tenang Hidup Ini Andai Tiada Penyakit Hasad

Oleh Azian Mohamed Isa  •  6 Feb 2020  •  4 min baca

Alangkah bagusnya kehidupan manusia apabila memperoleh kejayaan dan ketenangan. Kayu ukur sesebuah kejayaan bukan terletak pada mewahnya kehidupan dan tingginya darjat atau pangkat.

Namun, kejayaan yang sebenar-benarnya ialah dengan mendapat keredaan Allah SWT. Dan reda Allah itu sangat berkait rapat dengan ketenangan jiwa seorang hamba. Sesuai dengan firman Allah yang bermaksud,

“Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang, tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu). Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaku yang berbahagia. Dan masuklah ke dalam SyurgaKu!”Surah al-Fajr, 89:28-30

Dalam membicarakan perihal kejayaan dan ketenangan, Ustaz Pahrol Mohd Juoi, seorang pendakwah bebas menegaskan pentingnya untuk kita menjauhi sifat hasad yang bukan sahaja merosakkan kehidupan tetapi boleh menggugat keimanan seseorang.

Catatan di bawah merupakan intipati perkongsian beliau di dalam slot ‘Islam Itu Indah’ di Radio IKIM. Ada orang berjaya dalam pelajaran, tetapi tidak berjaya dalam kehidupan. Ada orang berjaya mendapat kebendaan, tetapi tidak bahagia dalam kehidupan.

Jadi, apakah yang dimaksudkan dengan berjaya? Erti berjaya ialah apabila mendapat reda Allah dengan jalan yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Seorang yang berjaya perlu menjauhi sifat-sifat yang Allah SWT benci dan salah satunya ialah sifat hasad.

Apakah yang dimaksudkan dengan hasad? Hasad ialah perasaan benci yang timbul dalam diri seseorang apabila orang lain mendapat nikmat dan dia cuba untuk menghilangkan nikmat itu sama ada melalui lisan atau tindakan. Menurut Imam Nawawi;

Hasad itu apabila kita tidak gembira dengan nikmat orang lain dan berasa gembira apabila nikmat itu ada pada kita.

Sifat hasad bertentangan dengan sifat keimanan. Dari Anas RA daripada Nabi SAW bersabda;

“Tidak sempurna keimanan seseorang dari kalian, sebelum ia mencintai saudaranya (sesama muslim) sebagaimana ia mencintai dirinya sendiri.”Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim

Menurut Imam al-Ghazali, ada 3 peringkat sifat hasad;

#1- Menghilangkan atau menidakkan nikmat orang lain, biar dia sahaja yang dapat nikmat itu
#2- Menghilangkan atau menidakkan nikmat orang lain, walaupun dia tidak dapat nikmat itu.
#3- Tiada niat untuk hilangkan nikmat orang lain, tetapi timbul rasa benci kerana orang itu lebih daripada dia.

Siapakah yang berpotensi untuk mendapat penyakit hasad? Jawapannya ialah semua orang termasuklah orang yang beriman.

Sifat hasad mudah berlaku dalam kalangan rakan sekerja dalam satu profesyen yang serupa. Misalnya sesama guru, pegawai eksekutif, jurutera dan sebagainya.

5 Kesan Buruk Akibat Daripada Hasad

#1- Sentiasa dalam keadaan sedih dan muram.
#2- Asyik marah-marah. Dan sifat marah itu sukar untuk diredakan.
#3- Berasa kecewa, geram, tidak tenang dan sibuk mengintai kehidupan orang.
#4- Tidak ada qalbun salim (hati yang sejahtera).
#5- Menjadi racun kepada orang lain dengan menjadi penyebar kebencian.

3 Cara Berdepan Dengan Penghasad

#1- Cara orang fasik- membalas dengan kejahatan.
#2- Cara orang zalim- membalas dengan kejahatan yang berlipat ganda.
#3- Cara orang soleh- dengan diam. Mengucapkan Alhamdulillah jika benar tuduhan yang diberikan. Menganggap ia sebagai satu ruang untuk memperbaiki diri. Namun, jika tuduhan itu tidak berasas, tidak pula menjadi masalah kepadanya.

Mengatasi Sifat Hasad

#1- Yakin Dengan Takdir Allah

Orang yang tidak yakin dengan takdir Allah adalah orang yang lemah imannya. Keyakinan kepada Allah berkait rapat dengan ketauhidan/aqidah seseorang.

Sematkan dalam hati, apa-apa nikmat yang Allah kurniakan pada seseorang itu baik untuknya. Apa-apa nikmat yang Allah belum kurniakan kepada kita, baik untuk kita.

#2- Ingat Kesan Buruk Akibat Hasad

Kesan daripada sifat hasad ini membawa akibat buruk yang lebih besar jika dibandingkan dengan keinginan untuk mendapat nikmat orang yang dihasadkan. Penghasad akan jadi racun yang menyebar kebencian.

Bayangkan dengan hanya mencela seseorang, segala pahala ibadah akan diberi kepada orang yang dicela. Lebih malang, dosa-dosa orang yang dihasadkan diberi pula pada si penghasad. Inilah yang dikatakan muflis akhirat.

Semoga dengan perkongsian ini kita sama-sama perbaiki diri kita daripada penyakit hasad.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Azian Mohamed Isa

Azian Mohamed Isa

Pemegang Sarjana dalam bidang Sains Biologi, pernah menyandang jawatan pensyarah. Kini seorang penulis sepenuh masa. Seorang pemikir dan pengembara. Kisah kembaranya di Xi’an, China dan Pulau Mauritius boleh diikuti di dalam majalah E&T yang diterbitkan oleh MySet, myset.org.my. Salah seorang penulis di dalam buku antologi himpunan kisah benar berjudul ‘BLUR’ yang diterbitkan oleh Buku Puris.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami