Ibadah

Tempat-Tempat Yang Tidak Dibenarkan Solat Melalui Nukilan Hadis

Oleh Fizah Lee  •  30 Jan 2020  •  3 min baca

Sebuah video yang tular di laman sosial baru-baru ini cukup menghiburkan hati mereka yang melihat. Video yang berdurasi 11 saat itu telah mendapat tontonan ribuan warga Twitter dengan memaparkan jemaah yang sedang solat di sebuah kawasan bersalji, namun tanpa disangka imam tersebut tergelincir akibat kawasan tersebut yang landai.

Menurut perkongsian yang dikeluarkan oleh Ustaz Amin melalui laman Instagramnya, beliau berkata bahawa, jika imam tergelincir, maka jemaah di belakang imam perlu bertindak menggantikannya kerana ia termasuk dalam situasi imam yang telah terbatal solatnya.

Sama ada video tersebut sekadar bahan gurauan (yang dibuat-buat) atau benar kejadiannya, sekurang-kurangnya kita dapat menambah ilmu yang telah dikongsikan oleh para ilmuwan.

Jika perkara begini terjadi kepada anda, maka masih sah solat anda selagi anda tidak mentertawakan imam tersebut. Yang batal solatnya hanyalah imam yang tergelincir sahaja dan menjadi kewajipan makmum untuk menggantikan tempat imam.

Walaupun bumi ini adalah hamparan dan di mana-mana sahaja anda dibenarkan untuk solat (selagi tempat itu mencukupi syarat), namun pilihlah tempat yang sesuai untuk bersolat dan bukannya yang memberi kesusahan kepada diri anda.

Apapun, terdapat beberapa dalil sahih yang disebutkan dalam beberapa kitab bahawa sebenarnya terdapat anjuran supaya memilih tempat solat yang bersih dan tidak menyusahkan diri sendiri serta orang lain.

Sebagai contoh, jika anda mengembara ke luar negara dan tidak menjumpai surau, boleh sahaja untuk solat di jalanan, namun pastikan tempat tersebut bersih dan tidak menyusahkan mereka yang lalu-lalang. Boleh meletakkan hamparan bagi melapik tempat anda bersujud. Dalam situasi video di atas, boleh untuk solat di salji namun carilah tempat yang sesuai seperti tanah yang mendatar dan tidak akan membatalkan solat anda atau membuatkan anda merasa was-was dengannya.

Sebenarnya, terdapat juga beberapa dalil sahih mengenai tempat-tempat yang dimakruhkan atau tidak dibenarkan untuk solat, iaitu:

أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى أَنْ يُصَلَّى فِي سَبْعَةِ مَوَاطِنَ : فِي الْمَزْبَلَةِ ، وَالمَجْزَرَةِ ، وَالمَقْبَرَةِ ، وَقَارِعَةِ الطَّرِيقِ ، وَفِي الحَمَّامِ ، وَفِي مَعَاطِنِ الإِبِلِ ، وَفَوْقَ ظَهْرِ بَيْتِ اللَّهِ

Maksud: “Bahawa Rasulullah SAW telah melarang daripada melakukan sembahyang di tujuh tempat, iaitu: dalam tempat pembuangan sampah, di tempat sembelihan, di atas kubur, di tempat lalu lalang, dalam bilik mandi, di tempat rehat unta dan di atas (sutuh) Baitullah.” (Hadis Riwayat Abdullah ibn Umar, 2/93)

Menurut pendapat ulama Hanbali, haram hukumnya mengerjakan sembahyang di tempat-tempat yang telah dinyatakan di atas. Manakala, ulama Syafi’e berpendapat bahawa ia adalah makruh.

Mengapa Ia Tempat Yang Dilarang

Menurut perbahasan ulama, tempat-tempat ini secara umumnya adalah tidak bersih dan menjadi kewajipan kita untuk mencari tempat yang bersih bagi menunaikan solat.

Adapun, jika anda berada dalam keadaan darurat dan sudah tiada pilihan untuk bersolat, maka dibolehkan. Sebagai contoh, anda diculik dan disembunyikan di kandang unta, maka dibolehkan.

Para ulama bersepakat bahawa tempat pembuangan sampah dan dalam bilik mandi merupakan tempat yang kotor dan untuk membuang perkara-perkara yang kotor sedangkan solat itu pula merupakan sesuatu yang mulia dan perlu dijaga kemuliaannya.

Larangan solat di kubur juga merupakan dalil yang disebut oleh Baginda SAW. Para ulama membahaskan bahawa tanah perkuburan itu adalah tempat menyimpan jenazah dan bukan untuk solat.

لاَ تُصَلُّوا إِلَى الْقُبُورِ وَلاَ تَجْلِسُوا عَلَيْهَا

Maksud: “Janganlah solat menghadap kubur dan janganlah duduk di atasnya.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 972)

Terdapat juga dalil yang lain yang menjelaskan mengapa tidak boleh bersolat di dalam kandang unta. Menurut pendapat yang telah dikeluarkan dari kitab ‘Aun Al-Ma’bud (1:231-232), para ulama berpendapat bahawa unta itu boleh memberi gangguan dan menimbulkan was-was dalam hati mereka yang sedang bersolat. Mereka bahkan menyamakan sifat unta dengan syaitan yang suka mengganggu manusia bersolat. Tambahan pula ketika zaman tersebut, unta adalah binatang tunggangan yang sering berada di sekeliling manusia.

Kesimpulan

Dalam kita beramal dan melakukan suruhannya, kita perlu menjadi bijak dan mempunyai nilai common sense sendiri. Solatlah di tempat yang bersih dan tidak mengganggu orang lain. Dalam kita beribadah kepada Allah, kita juga sedang menunjukkan contoh kepada orang lain juga.

Wallahu a’alam.

Rujukan:
Rumaysho.com
Mufti Wilayah


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami