Gaya Hidup

Tempat Orang Yang Celaka Beristirehat (Siri 1)

Oleh Syafiq Salim  •  7 Aug 2019  •  5 min baca

Kehidupan di dunia akan datang penamatnya. Penamat di dunia bermakna permulaan baru di akhirat. Antara dua perkara itu adalah pemutus kelazatan iaitu kematian dan ia merupakan permulaan untuk kita menuju ke tempat yang kekal abadi iaitu syurga atau neraka.

Adapun bagi orang yang celaka, ia merupakan pemulaan bagi kecelakaan yang lebih besar kerana yang menanti mereka disana adalah makhluk bernama neraka.

Makhluk yang akan menyambut ahlinya dengan gauman kemarahan yang amat dahsyat. Sebagaimana yang difirmankan oleh Allah S.W.T:

“Apabila mereka dilemparkan kedalamnya mereka mendengar suara neraka yang mengerikan, sedang neraka itu menggelegak, hampir-hampir (neraka) itu berkecai-kecai lantaran marahnya. Setiap kali dilemparkan ke dalamnya sekumpulan, penjaga-penjaga (neraka itu) bertanya kepada mereka, “Apakah belum pernah datang kepada kamu (di dunia) seorang pemberi peringatan?”Surah al-mulk : 7-8

Lalu mereka berkata “ada” disertai dengan rasa penyesalan yang sangat dalam tetapi rasa itu hanyalah sia-sia sahaja. Oleh itu amatlah penting bagi kita manusia untuk membuat persiapan agar kita menjadi hambaNya yang berjaya dan agar tidak menjadi golongan yang menyesal.

Permulaan Kecelakaan

Ketika manusia dihimpunkan selama 50,000 tahun dalam perhimpunan yang besar untuk menunggu nasib mereka sama ada berjaya ataupun sebaliknya. Ia merupakan sebuah penantian yang sangat menyeksakan.

Bagi orang yang lalai, kecelakan mereka baru sahaja bermula iaitu apabila buku catatan yang mana mereka remehkan bahkan mereka dustakan itu diberikan dari tangan kiri. Allah S.W.T berfirman dalam kitabNya:

“Adapun orang yang diberikan kepadanya kitabnya dari sebelah kirinya, maka dia berkata: “Aduhai, alangkah baiknya kiranya tidak diberikan kepadaku kitabku (ini). Dan aku tidak mengetahui apa hisab terhadap diriku. Wahai kiranya kematian itulah yang menyelesaikan segala sesuatu. Hartaku sekali-kali tidak memberi manfaat kepadaku. Telah hilang pula kekuasaanku daripadaku.”Surah al-Haqqoh : 25-29

Pada hari itu, golongan ini amat berdukacita bahkan mereka menyatakan alangkah baiknya jika pada hari itu mereka dimatikan sahaja.

Lihat sifat manusia, ketika di dunia mereka tidak berfikir tentang kematian tetapi apabila mereka menerima buku catatan dari tangan kiri, mereka berharap agar mereka dimatikan sahaja.

Lantas mereka menyebutkan punca utama kesesatan mereka iaitu ketika mana didunia mereka dilalaikan dengan harta dan pangkat. Lebih teruk daripada itu, sebahagian golongan ini menerima buku catatan dari arah belakang bagi menunjukkan tiada nilai rahmat bagi mereka ini dan sebagai penghinaan kepada mereka. Firman Allah S.W.T:

“Adapun orang-orang yang diberikan kitabnya dari belakang, maka dia akan berteriak: “Celakalah aku.”Surah Al-Insyiqaaq : 10-11

Titiran Sirat Yang Digoncangkan

Sesungguhnya penghakiman Allah S.W.T itu sangat adil dan antara manisfestasi keadilan yang ditunjukkan kepada manusia ketika itu adalah mereka perlu melalui titian sirat. Bagi orang yang celaka ia merupakan satu jalan dahsyat bagi menempuh kedahyatan yang lebih besar.

Allah S.W.T tidak membiarkan mereka berjalan bergitu sahaja tetapi ia akan disertai dengan goncangan sirat. Sebagaimana yang diriwayatkan dari Abu Hurairah bahawa Basyar bin Ashim diberitahu oleh Umar, manakala Umar mendengarnya dari Rasulullah S.A.W bersabda:

“Tidak ada seorang pun yang terlepas dari urusan dunia kecuali akan dihalang oleh Allah di atas jambatan neraka Jahanam. Jambatan itu akan digoncang dengan dahsyat. Maka ada orang yang selamat atau tidak selamat. Apabila tidak selamat, dia akan masuk ke dalam perigi yang sangat gelap bagaikan kubur dalam neraka jahanam. Kedalaman perigi itu adalah tujuh puluh tahun perjalanan.”Diriwayatkan oleh Ibnu Abid Dunya

Bagi mereka yang jatuh dari titiran sirat itu. Maka mereka akan jatuh dalam neraka yang jaraknya 70 tahun perjalanan sebagaimana yang diriwayatkan oleh Al-Hakim dari Abu Hurairah, dari Rasulullah S.A.W bersabda:

“Sekiranya aku mengambil tujuh ekor unta betina yang bunting, kemudian aku lemparkan dari tepi neraka berserta lemak-lemaknya, pasti tidak akan berakhir sehingga mengambil masa tujuh puluh tahun”

Keadaan Di Tempat Tinggal Mereka

Bermula dari saat itu neraka akan menjadi tempat tinggal mereka dan ini bermakna mereka akan mengalami satu tribulasi penyeksaan yang panjang. Perkara yang mulia di dunia akan menjadi perkara yang dihina sehina-hinanya.

Manusia, anggota badan mereka yang paling mulia adalah wajah mereka dan ketikamana mereka di neraka, wajah yang mereka perlihara dan banggakan itu yang akan menjadi anggota pertama yang akan dihina oleh Allah S.W.T.

Wajah mereka itu akan diseret oleh malaikat pada dasar lantai neraka sebagai muqaddimah perhinaan dan kedukacitaan yang bakai mereka lalui. Firman Allah S.W.T:

“Sesungguhnya orang-orang yang berdosa berada dalam kesesatan (di dunia) dan dalam neraka. (Ingatlah) pada hari mereka diseret ke neraka atas muka mereka. (dikatakan kepada mereka): “Rasakanlah sentuhan api neraka.”Surah al-Qamar: 47-48

Neraka bukan hanya tempat membakar ahlinya sahaja bahkan lebih daripada itu. Dalam banyak riwayat Rasulullah S.A.W menceritakan tempat-tempat penyeksaan yang lebih dahsyat daripada neraka itu sendiri.

Bahkan nereka sendiri meminta pelindungan daripada Allah S.W.T daripada kedahsyatan azab yang terkandung didalamnya. Antara tempat yang diceritakan oleh nabi adalah Lamlam, Bulas, dan beberapa lagi. Dari Abu Hurairah, Rasulullah S.A.W bersabda:

“Mintalah perlindungan kepada Allah dari Jubb al-Huzn”. Para sahabat bertanya, “Apa Jubb al-Huzn itu?” Baginda menjawab, “Sebuah lembah di dalam neraka Jahanam, sedangkan neraka Jahanam sendiri meninta pelindungan kepada Allah dari lembah tersebut sebanyak seratus kali sehari”Diriwayatkan oleh Tirmizi

Bagaimana kita boleh hidup tenang dalam kelalaian apabila mendengar perkhabaran ini?. Jika kita masih tenang dengan perkhabaran ini, sesungguhnya ia adalah musibah terbesar menimpa jiwa kita.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Syafiq Salim

Syafiq Salim

Graduan Sarjana (master) Kejuruteraan Pengurusan Pembinaan di UTM, Skudai. Suka melibatkan diri dalam aktiviti luar dan menjadikan penulisan sebagai sebahagian usaha kecil memberi manfaat kepada diri sendiri dan juga orang lain.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami