Gaya Hidup

Tanya Pakar Bidang Bukan Pakar Tabur Air Liur

Oleh Abdullah Bukhari  •  2 Feb 2018  •  4 min baca

Apabila timbul sahaja sebarang isu atau peristiwa yang kompleks sama ada melibatkan isu agama, kesihatan dan sebagainya, maka kuncilah mulut atau tangan anda daripada memberikan sebarang komentar.

Gunakan panduan al-Quran agar kita semua selamat. Selamat daripada dosa murahan dalam media sosial atau musibah yang mampu memangsakan orang lain secara pemikiran. Perhatikan maksud firman Allah ini;

Oleh sebab itu, sekiranya engkau (wahai muhammad) merasa ragu-ragu tentang apa yang kami turukan kepadamu, maka tanyalah kepada orang yang membaca kitab yang diturunkan dahulu daripadamu (kerana mereka mengetahui kebenarannya). Sesungguhnya telah datang kepadamu kebenaran dari Tuhanmu, maka jangan sekali-kali engkau termasuk dalam golongan yang ragu-ragu. Surah Yunus 10:94

Ketika membaca ayat ini, kita wajib faham bahawa Rasulullah S.A.W langsung tidak ragu akan kebenaran al-Quran atau Islam. Arahan jangan ragu dalam ayat ini ditujukan khas kepada kita semua sebagai umat baginda S.A.W.

Ayat ini menegaskan keperluan merujuk kepada pandangan pakar berkaitan kitab langit iaitu para ahli Kitab yang soleh. Ketika menghuraikan ayat ini, Imam al-Baydhawi berkata:

Ini adalah suatu peringatan kepada setiap orang yang dilanda keraguan tentang (sebarang isu) dalam agama, hendaklah dia segera menyelesaikan keraguan itu dengan merujuk kepada ahli ilmu Tafsir al-Baydhawi

Selain itu, arahan yang sama diulang sebut dalam ayat lain:

Dan Kami tidak mengutus para Rasul sebelummu (wahai Muhammad) melainkan orang lelaki yang Kami wahyukan kepada mereka (bukan malaikat); maka bertanyalah kamu kepada orang berilmu jika kamu tidak mengetahui. Surah al-Anbiya’ 21:7

Konteks sebenar ayat ini adalah bertanya kepada Ahli kitab tentang “kemanusiaan para rasul.” Ia berpunca daripada sikap penduduk Mekah yang tidak percaya bahawa manusia seperti Rasulullah S.A.W boleh menjadi utusan Allah.

Anggapan mereka nabi sepatutnya muncul dari kalangan malaikat. Ternyata orang Yahudi dan Nasrani mengakui tiada nabi yang pernah diutus dalam kalangan malaikat? Oleh itu mereka sepatutnya menerima Rasulullah S.A.W sebagai utusan Allah kepada merekaTafsir Ibn Kathir

Perkataan “أهل الذكر”atau orang berilmu dalam ayat ini merujuk kepada “pakar bidang.” Beginilah cara al-Quran mengajar kita untuk hidup selamat di dunia dan di akhirat.

Apabila buntu dan perlukan penjelasan, tanya pakar bidang dan bukannya pakar tabur air liur. Tanyalah orang yang menghabiskan usia mengkaji atau mempelajari sesuatu bidang.

Jangan ditanya cara membuat bangunan daripada seorang nelayan, kelak runtuh bangunan kerana kiraan besi dan simen yang tidak cukup.

Jangan juga ditanya pak ustaz tentang cara memproses petroleum, kelak rosak enjin dan tangki kereta anda. Kesimpulannya, hormatilah pakar bidang!

Saya akan cuba sedaya mungkin menjauhi punca penyakit walaupun ada hadith menyebut air kencing unta pernah digunakan untuk merawat penyakit.

Saya percaya hadith itu ada penjelasannya tersendiri yang memerlukan ulasan pakar bidang hadith dan fiqh. Buat masa ini saya memilih langkah pencegahan seperti kisah penuh saintifik para sahabat nabi ini.

Abdullah bin Abbas R.A, meriwayatkan pernah suatu ketika Khalifah Umar bin al-Khattab pergi ke Syam tetapi beliau mendapati Syam dijangkiti wabak penyakit. Beliau bermesyuarat dengan para sahabat nabi dan pemimpin kaum. Setelah lama berbincang Umar akhirnya mengambil keputusan untuk pulang ke Madinah dan tidak memasuki Syam yang sudah dijangkiti wabak penyakit. Tindakan Umar ditegur oleh Abu ‘Ubaydah al-Jarrah yang berkata;

“Mengapa kita harus lari daripada ketentuan (qadar) Allah?”

Umar menjawab;

“Kalaulah orang lain yang berkata demikian wahai Abu ‘Ubaydah (keluhan kerana kenyataan yang kurang teliti itu keluar daripada seorang tokoh seperti Abu ‘Ubaydah). “Benar! Kita lari daripada ketentuan Allah (tetapi kita juga sedang) menuju kepada ketentuan Allah yang lain. Apa pandanganmu jika kamu miliki seekor unta, lalu ia turun ke sebuah lembah yang ada 2 bahagian, satu bahagian subur manakala bahagian lain pula tandus. Jika kamu bawa untamu meragut pada bahagian lembah yang subur, maka bukankah itu bererti kamu membawanya meragut berdasarkan ketentuan Allah? Sebaliknya, jika kamu membawanya ke bahagian yang tandus, maka bukankah itu bererti kamu juga membawanya meragut menurut ketentuan Allah?”

Lalu Ibnu Abbas berkata, tidak lama kemudian datanglah Abdul Rahman bin ‘Awf, lalu dia berkata:

“Sesungguhnya saya punyai maklumat mengenai perkara ini. Saya pernah dengar Rasulullah bersabda: “Apabila kamu dengar ada wabak penyakit (yang berjangkit) di suatu tempat, maka janganlah kalian pergi ke sana, dan apabila wabak tersebut telah berjangkit di tempat yang kamu tempati, maka janganlah kamu keluar darinya.” Ibnu Abbas berkata, “Lalu Umar bin Khaththab memuji Allah dan kemudian kembali pulang ke Madinah.” Sahih al-Bukhari & Muslim


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Abdullah Bukhari

Abdullah Bukhari

Beliau merupakan seorang Sarjana Usuluddin (Tafsir Al-Quran) dan kini menjadi seorang pensyarah di Jabatan Tilawah Al-Quran, Pusat Bahasa, UIAM. Beliau juga merupakan pemikir dan penulis Nota Tafsir Wartawan al-Quran yang kerap dikongsikan bersama pembaca, lebih-lebih lagi pengguna Facebook. Selain daripada itu, penulisan beliau juga kerap tersiar di akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami