Ibadah

Tanpa Sedar Bulan Rejab Hampir Meninggalkan Kita

Oleh Fieyzah Lee  •  5 Apr 2019  •  5 min baca

Sedar atau tidak, kita telah hampir meninggalkan bulan Rejab. Pejam celik pejam celik, terasa seperti baru semalam kita menjengah ke bulan haram ini. Tidak lama lagi Bulan Sya’ban pula akan tiba, seterusnya kita akan mula berpuasa.

Tahukah anda, setiap bulan Islam ada kelebihan dan manfaatnya yang tersendiri, begitu juga dengan Bulan Rejab. Ia merupakan salah satu bulan daripada 12 bulan Islam dan ia merupakan salah satu bulan haram, iaitu bulan suci umat Islam. Ini dibuktikan melalui hadis nabi yang bermaksud:

Abu Bakrah berkata bahawa Nabi SAW bersabda: “Zaman (masa) terus berjalan dari sejak awal penciptaan langit dan bumi. Satu tahun ada dua belas bulan, antaranya ada empat bulan haram (suci), tiga bulan berurutan, iaitu zulkaedah, zulhijah dan Muharam serta Rejab yang berada antara jamadilakhir dan Syaaban.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Banyak peristiwa penting yang telah berlaku dalam bulan Rejab yang wajar umat Islam pelajari. Peristiwa-peristiwa bersejarah ini perlu diingati agar umat Islam tidak dipandang enteng oleh pihak musuh, iaitu dianggap seperti umat yang melupakan sejarah.

Antara sejarah yang telah berlaku dalam bulan Rejab ialah peperangan Tabuk. Ia berlaku ketika tahun ke-sembilan hijrah. Antara perkara lain yang berlaku ialah peristiwa pembebasan al-Aqsa dari Tentera Salib dan peristiwa paling bersejarah, iaitu Isra’ Mi’raj.

Sebenarnya banyak lagi peristiwa yang telah berlaku di dalam bulan Rejab, namun antara sebab ia digelar sebagai bulan haram ialah kerana ia merupakan bulan yang diharamkan berperang dan menumpahkan darah.

Bulan Rejab Disebut dalam Syair Melayu

Fadilat-fadilat bulan ini telah diberitahu dan diwar-warkan melalui beberapa hadis sahih dan kalam Allah. Budaya dan adat orang Melayu yang amat terkenal dengan syair hingga keistimewaan bulan Rejab juga diabadikan dalam syair mereka.

Syair ini telah diambil melalui penulisan oleh Amirul Adli yang bertajuk Kesahihan Fadilat Amalan di Dalam Bulan Rejab dan Lain-Lain. Syair itu berbunyi:

“Rejab bulan menabur benih,

Sya’ban bulan menyiram tanaman,

Ramadan bulan menuai

Rejab menyuci badannya,

Sya’ban menyucikan hati,

Ramadan menyucikan rohnya

Rejab bulan marghfirah,

Sya’ban bulan manfaat,

Ramadan bulan menggandakan kebajikan

Rejab bulan taubat,

Sya’ban bulan Muhibbah,

Ramadan bulan dilimpahi amalan seperti hujan mencurah banyaknya”

Melalui syair ini, ada diterangkan mengenai kelebihan tiga bulan Islam iaitu bulan Rejab, Sya’ban dan Ramadan. Bulan-bulan ini merupakan antara bulan yang paling terkenal di kalangan orang Islam kerana ia semakin hampir dengan bulan yang ditunggu-tunggu, iaitu bulan Ramadhan.

Antara ibadah yang sering kita dengar ketika berada dalam bulan ini ialah berpuasa sunat Rejab. Terdapat beberapa hadis mengenai kelebihan amalan berpuasa di bulan Rejab. Namun, sebagai muslim yang sejati, perlulah berhati-hati kerana terdapat banyak hadis palsu berkenaan kelebihan berpuasa di bulan Rejab ini.

Namun, tidak dinafikan bahawa jika anda mengamalkan untuk berpuasa di bulan Rejab ini, maka banyak pahala yang akan anda dapat.

Ini adalah berdasarkan hadis sahih yang telah diriwayatkan oleh al-Bayhaqi yang bermaksud: Abdullah, iaitu sahaya kepada Asma’ binti Abu Bakr dan dia juga adalah bapa saudara anaknya ‘Atha berkata:

“Asma’ binti Abu Bakar pernah menyuruh saya untuk menemui Abdullah bin Umar agar menyampaikan pesannya yang berbunyi: “Telah sampai kepada saya bahawasanya, engkau mengharamkan tiga hal, iaitu pakaian yang terbuat dari campuran sutera, pelana sutera yang berwara merah tua dan berpuasa pada bulan Rejab dan seluruhnya.”

Puasa Sunat Rejab vs Puasa Ganti Ramadhan

Jika anda sudah berniat untuk mendapatkan pahala puasa sunat Rejab, perlu diingat, adakah telah selesai hutang anda kepada Allah? Adakah telah langsai semua hutang puasa di bulan Ramadhan lepas? Mengapa perkara ini penting? Ada yang mengemukakan persoalan, mana yang lebih aula (penting), adakah puasa sunat Rejab atau puasa ganti Ramadhan?

أَيَّامًا مَّعْدُودَاتٍ ۚ فَمَن كَانَ مِنكُم مَّرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۚ وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ ۖ فَمَن تَطَوَّعَ خَيْرًا فَهُوَ خَيْرٌ لَّهُ ۚ وَأَن تَصُومُوا خَيْرٌ لَّكُمْ ۖ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ ﴿١٨٤﴾

Mafhumnya: (Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu: maka sesiapa antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah, iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu dengan memberi fidyah, kalau kamu mengetahui. (Surah al-Baqarah, 2:184)

Berdasarkan hadis ini, para ulama’ bersetuju bahawa wajib hukumnya mengqadha’ puasa Ramadhan yang telah ditinggalkan secara sengaja mahupun tidak. Jika tidak sempat menggantinya sehingga Ramadhan yang akan datang, maka wajib membayar fidyah, iaitu memberi makan (seperti qadar yang ditentukan) kepada orang miskin.

Sebelum anda berfikir untuk berpuasa sunat Rejab, maka anda perlu sentiasa mengingat hutang puasa anda di bulan Ramadhan. Hutang adalah wajib dilangsaikan, walaupun ketika anda telah meninggal dunia, maka wajib ke atas saudara-mara atau orang yang telah diwasiatkan oleh anda untuk membantu melangsaikan hutang tersebut. Ini adalah berdasarkan hadis Aisah RA, iaitu Nabi SAW telah bersabda yang bermaksud:

“Siapa yang mati dan padanya terdapat puasa yang belum digantikan, maka berpuasa bagi pihak (si mati) walinya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis lain, daripada Ibnu Abas RA, telah datang seorang lelaki kepada Nabi SAW lalu berkata: wahai Rasulullah, sesungguhnya ibuku telah mati dan masih ada padanya baki puasa sebulan (yang belum diqadha’kan). Adakah aku perlu menggantikannya” maka Rasulullah SAW pun menjawab:

“Adapun hutang Allah itu lebih berhak untuk dilunaskan.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Berdasarkan hadis ini, jelaslah membuktikan bahawa setiap muslim itu, wajib ke atasnya untuk melunaskan hutang puasa yang telah ditinggalkan.

Ibnu Hajar al-Haitami dalam fatwanya telah menjelaskan mengenai orang yang beriat puasa sunat bersama puasa wajib yang bermaksud:

“Jika diniatkan keduanya (puasa sunat dan puasa wajib) dia mendapat ganjaran bagi kedua-keduanya atau diniatkan salah satu maka gugur tuntutan yang satu lagi dan tidak mendapat ganjarannya.” (Al-Fatwa al-Kubra: 2/75)

Sebagai muslim yang mengikut aturannya, maka langsaikanlah mana yang wajib terlebih dahulu, namun dalam masa yang sama, janganlah diabaikan sunnah yang telah diamalkan oleh Rasulullah dan umat sebelumnya. Wallahua’lam.

Rujukan:
Muslim.or.id


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fieyzah Lee

Fieyzah Lee

Merupakan seorang pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami