Gaya Hidup

Tanggungjawab Yang Perlu Ditunaikan Agar Rezeki Melimpah-Ruah

Oleh Fizah Lee  •  27 Oct 2020  •  3 min baca

Nama Ustaz Ebit Lew sudah tidak asing lagi kerana sering meniti di bibir dan terungkap di telinga-telinga kita. Keperibadian dan kehebatan beliau dalam berdakwah menunjukkan bahawa dakwah itu tidak hanya boleh dilakukan berdasarkan lisan semata-mata, namun dalam semua aspek yang ada.

Kita lihat Ustaz Ebit yang menggunakan harta serta kudrat beliau untuk membantu golongan yang memerlukan, baik golongan yang tua atau muda dan pelajar mahupun bukan.

Setiap hari, pasti ada sahaja berita yang tular mengenai kisah kepahlawanan beliau dalam membantu mengukir senyuman buat orang-orang sekeliling.

Bahkan, kisah-kisah beliau ini mampu memberi inspirasi kepada kita semua untuk menjadi kaya dan berjaya seperti beliau. Inilah sifat kaya yang perlu diterapkan dalam diri. Kaya sahaja tidak cukup tetapi kaya bagaimana yang ingin anda jadi?

Setiap kali berazam untuk menjadi kaya atau keluar mencari rezeki, niatkan dalam hati dan tanya kembali kepada diri anda, untuk apa rezeki itu akan dimanfaatkan? Adakah ke arah kebaikan atau yang sia-sia?

Apa tanggungjawab yang boleh ditunaikan untuk terus menjadi kaya?

#1 – Keluarkan Nafkah Yang Wajib

Nafkah adalah perkara yang wajib dikeluarkan untuk kecukupan keperluan keluarga. Jika diabaikan, maka seseorang itu boleh dianggap berdosa.

Ada sebuah hadis yang telah diriwayatkan oleh ‘Abdullah bin ‘Amr RA, Baginda SAW bersabda;

Maksud: “Seseorang cukup dikatakan berdosa jika ia melalaikan orang yang ia wajib memberi nafkah.” (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 1692. Ia dinukilkan sahih oleh Syeikh Al-Albani)

#2 – Mengeluarkan Zakat

Zakat merupakan rukun Islam yang ketiga dan dalil menunjukkan bahawa orang yang berkemampuan diwajibkan ke atas mereka untuk mengeluarkan zakat.

Sebagaimana sebuah hadis yang telah diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, Baginda SAW bersabda;

Maksud: “Sesiapa yang dikurniakan oleh Allah harta dan tidak mengeluarkan zakatnya, maka hartanya pada hari kiamat dijadikan seekor ular yang mempunyai dua taring dan kepala yang tidak berbulu kerana terlalu banyak bisanya. Ia akan membelit dan menggigitnya dengan kedua-dua rahangnya sambil berkata: “Akulah hartamu! Akulah simpananmu!” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 1338)

#3 – Berpada-Pada Dalam Bersedekah

Ada dua istilah yang wujud dalam usaha kita bersedekah, iaitu israf dan tabdzir. Masing-masing membawa maksud yang berbeza;

Israf bermaksud memberikan sesuatu melebihi dari kadar yang sepatutnya sedangkan tabdzir ialah memberikan sesuatu kepada yang tidak layak.

Ertinya di sini ialah bersedekah itu biarlah mencukupi keperluan seseorang, bukanya melebih-lebih sehingga berlaku pembaziran.

Dalam masa yang sama, bersedekah itu juga perlu diberi kepada golongan yang sepatutnya dan bukan kepada yang tidak layak menerimanya.

#4 – Elak Daripada Bermegah

Bermegah dan berbangga dengan harta yang diperoleh merupakan salah satu sifat yang perlu dijauhi kerana ia adalah sifat buruk yang boleh memakan diri sendiri.

Kita boleh ambil pengajaran dari kisah-kisah yang pernah berlaku; contohnya kisah Qarun yang ditenggelamkan bersama hartanya akibat terlalu takbur dengan harta yang ada.

Mafhum: “Janganlah engkau bermegah-megah (dengan kekayaanmu), sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang bermegah-megah.” (Surah Al-Qasas, 28:76)

Kesimpulan

Seberapa besar kekayaan yang diperoleh, pastikan ia menjadi sebuah alat yang boleh mendekatkan diri kepada tuhan.

Setiap harta yang ada akan ditanya di akhirat kelak, ke mana ia digunakan, bagaimana sumber dan cara mendapatkannya serta apa manfaat yang diperoleh darinya.

Justeru, sentiasa niatkan ia agar mampu digunakan ke arah kebaikan supaya Allah akan memperluaskan lagi rezeki ke atas diri anda.

Wallahu a’alam.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami