Kesihatan

Tanda-Tanda Postpartum Depression Dan Cara Menanganinya

Oleh Saifuddin Hamizan  •  10 Jan 2020  •  7 min baca

Postartum Depression adalah istilah perubatan yang bererti ‘meroyan’ selepas melahirkan anak. Masyarakat lebih kenal dengan gelaran ‘meroyan’ berbanding istilah perubatan seperti yang dikatakan tadi kerana ia sudah sinonim menjadi buah mulut di kalangan masyarakat itu sendiri.

Namun demikian, masih ramai juga yang tidak tahu tentang masalah mental ibu mengandung ini kecuali dalam kalangan para ibu yang berpengalaman, warga bidan bertauliah serta pekerja dalam bidang kesihatan yang mengendalikan masalah kelahiran anak dan ibu mengandung.

Apa Itu Postpartum Depression?

Postpartum Depression (PPD) atau istilah singkatnya “baby blues” atau “meroyan” diberi maksud oleh Kamus Dewan Pustaka Dan Bahasa edisi ke-empat sebagai berikut:

“Menderita sakit sesudah bersalin, dihinggapi royan”

Menurut Dr Zul Azlin Razali, Doktor Psikiatri USIM pula berkata:

Dalam disiplin psikiatri, definisi ini dekat dengan apa yang dikatakan sebagai postpartum depression (kemurungan pasca kelahiran) dan postpartum psychosis (gangguan mental serius pasca kelahiran).

Selain daripada itu, terdapat postpartum blues, iaitu gangguan emosi selepas bersalin. Postpartum blues ini jarang diceritakan kerana ia adalah suatu yang tidak serius dan tidak membabitkan tindakan-tindakan ganas di luar kewarasan.

Bukan semua ibu yang melahirkan anak akan terus dapat gejala meroyan ini, namun ada segelintir yang terkena tempias gejala ini kerana tidak bersedia dari segi mental dan psikologi atau tidak mendapat sokongan moral yang sepatutnya dari orang sekeliling sebelum dan selepas melahirkan anak.

Menurut SN Nur Nabilah Masfuzah, Sekitar 85% wanita dalam pantang mengalami gangguan perasaan pada tahap yang ringan dan tidak membahayakan (berlaku dalam masa yang singkat dan tidak memerlukan rawatan). Namun, dalam 10% wanita, gangguan ini mungkin lebih mendalam dan berpanjangan.

Dari segi perubatan gejala Postpartum Depression (PPD) ada beberapa peringkat dan tahapnya mengikut tahap kemurungannya :

Gangguan perasaan ringan (postpartum blues)
Kemurungan (depression)
Gila meroyan (postpartum psikosis)

Gangguan Perasaan Ringan (Postpartum Blues)

Seorang ibu yang mengalami “Postpartum Blues” akan mudah berasa penat, lesu dan mengalami mood yang tidak menentu. Semua orang mungkin akan mengalami fasa ini buat seketika waktu, termasuklah orang yang tidak pernah ada masalah kesihatan mental selepas melahirkan anak yang pertama.

Ibu yang mengalami fasa sebegini perlu menyesuaikan keadaan dirinya dengan keadaan sekarang yang berbeza dari sebelumnya untuk minggu-minggu pertama dan bulan-bulan yang pertama bagi kestabilan mental, emosi dan psikologi si ibu.

Namun gejala ini sangat ringan dan biasanya akan baik sendiri tanpa rawatan. Perubahan emosi ini kerap berlaku pada hari ke-3 hingga ke-5 selepas bersalin dan berkurangan selepas hari ke-10, kemudian emosi mereka biasanya kembali stabil. Kadang kala, perkara remeh seperti teguran sekalipun boleh menyebabkan kesedihan itu berpanjangan.

Kemurungan (Depression)

Keadaan kemurungan ini ialah fasa kedua selepas si ibu mengalami masalah Postpartum Blues tadi. Hanya 1 daripada 8 orang yang telah menghidapi gejala “blues” tadi yang akan masuk ke fasa ini.

Biasanya fasa ini akan terjadi selepas setahun menghidapi fasa yang pertama tadi dan ini kemurungan yang lebih serius. Kemurungan fasa ini memerlukan rawatan dari pakar psikiatri sebelum ia menjadi lebih teruk lagi seperti fasa psikosis.

Simptomnya sama sahaja dengan Postpartum Blues cuma kali ini lebih teruk lagi. Ibu-ibu ini lebih berisiko untuk mendapat kemurungan selepas bersalin. Penyakit kemurungan seperti kita maklum ialah sejenis penyakit mental yang memerlukan diagnosis oleh pakar.

Faktor yang boleh meningkatkan risiko kemurungan selepas bersalin adalah :

1. Tekanan (Stress)
2. Sejarah kemurungan selepas bersalin untuk kelahiran sebelumnya
3. Mempunyai masalah tekanan emosi yang tidak berkaitan dengan kandungan
4. Kehidupan alam rumah tangga yang bermasalah
5. Tiada tempat meluahkan perasaan
6. Tekanan hidup sebelum, semasa atau selepas bersalin
7. Tidak mendapat kerjasama sepenuhnya daripada suami serta keluarga dalam menguruskan bayi dan diri sendiri (terutama bagi kes ibu yang melahirkan bayi sulung)
8. Trauma yang terbawa-bawa jika pernah mengalami kehilangan bayi sebelum kelahiran sekarang
9. Kesukaran dalam menangani masalah bayi menangis di tengah-tengah malam ditambah dengan badan yang letih akibat ‘labour stage’ yang lama serta kesakitan akibat luka episiotomi atau pembedahan.
10. Masalah dengan orang tua atau mertua (terutama dalam amalan berpantang yang kadangkala terlalu ketat)
11. Bayi mengalami jaundice/perlu ulang alik ke hospital atau klinik
12. Masalah dalam menyesuaikan diri dengan bayi yang baru lahir serta anak yang sedia ada yang juga memerlukan perhatian
13. Menahan rasa rindu dan merasa jauh dari suami (bagi ibu yang pertama kali melahirkan)
14. Perilaku anak semakin nakal sehingga ibu menjadi stres
15. Gangguan corak tidur ibu pada malam hari kerana bayinya menangis
16. Kegiatan ibu menjadi terbatas kerana hadirnya seorang bayi
17. Takut melakukan hubungan suami isteri kerana takut mengganggu bayi selain trauma di bahagian sulit semasa melahirkan.

Psikosis

Psikosis selepas bersalin adalah gejala yang paling teruk sekali dan jarang berlaku pada ibu selepas melahirkan anak. Penyakit meroyan jenis ini boleh berlaku dalam masa 48 jam selepas melahirkan anak secara tiba-tiba.

Ibu-ibu yang ada simptom ini biasanya akan berhalunisasi. Ia keadaan di mana orang yang mengalaminya dapat mendengar atau melihat suatu yang bukan ada dalam realiti yang sebenar (yang tidak dapat dilihat oleh orang normal). Kesannya si ibu boleh mendatangkan kecederaan pada diri dan juga membahayakan nyawa si anak dan juga orang lain apabila halunisasinya itu tidak terkawal.

Ibu yang berisiko untuk mendapat psikosis selepas bersalin:

1. Mempunyai sejarah masalah mental atau pernah mengalami gila meroyan sebelum ini.
2. Sejarah keluarga yang mempunyai masalah gila meroyan, terutama ibu atau kakak.
3. Gelaja kemurungan yang berpanjangan selain punca masalah kemurungan gagal dikenalpasti dari awal.

Antara simtom-simtom masalah psikosis adalah seperti berikut:

1. Cemas tanpa sebab
2. Menangis tanpa sebab
3. Tidak sabar
4. Tidak percaya diri
5. Sensitif
6. Mudah tersinggung
7. Merasa kurang menyayangi bayinya
8. Merasa seperti tidak disayangi oleh suami/ibu/mertua/adik beradik kerana perhatian berlebihan terhadap bayi.
9. Cemburu terhadap perhatian yang diberi terhadap bayi
10. Merasa tangisan bayi terlalu menyakitkan telinga

Beberapa Cadangan Untuk Menangani Masalah Postpartum Blues:

Masalah kemurungan tahap blues masih boleh baik dengan sendirinya jika ada sokongan moral yang padu diberikan oleh suami dan seluruh ahli keluarg. Lebih-lebih lagi ketika berhadapan dengan tempoh berpantang sebelum luka dari kelahiran bayi itu sembuh sepenuhnya.

Banyakkan Berehat

Suami boleh mengambil alih tugas si isteri dalam menjaga keperluan si bayi dengan membuat jadual secara tetap dan konsisten. Berikan masa pada si ibu untuk berehat seperti tidur yang cukup, berseorangan sebentar dan stabil dari segi mental serta fizikal.

Makan Makanan Yang Sihat Dan Berkhasiat

Si ibu yang baru melahirkan anak perlulah mendapatkan nasihat dari doktor atau pakar diet yang bertauliah mengenai perancangan pemakanan yang sihat sepanjang selepas melahirkan anak atau pada masa hadapan. Kerana menjaga kesihatan tubuh badan bukannya terhad pada waktu berpantang sahaja.

Berurut Dan Bertungku

Tidak dinafikan lagi ada sebahagian cara berpantang tradisional seperti berurut dan bertungku dapat memberikan kelegaan yang lebih pada tubuh badan si ibu. Dari segi perubatannya pula memang terbukti dapat memudahkan pengaliran darah nifas selepas melahirkan anak itu keluar serta dapat mengecutkan kembali rahim seperti sediakala asalkan dilakukan oleh bidan yang bertauliah dan berpengalaman jauh dalam bidang perbidanan.

Libatkan Diri Dalam Kumpulan Sokongan

Kita semua sudah berada di era digital 4.0, maka sudah tentulah ramai orang memiliki akaun medial sosial masing-masing.

Jadi gunakanlah akaun tersebut untuk tujuan bermanfaat seperti menyertai kumpulan sokongan yang positif dan beretika seperti halaman-halaman (facebook group) yang diwujudkan oleh para doktor dan jururawat di luar sana untuk menyalurkan maklumat penting pada pembaca awam.

Selain itu, terdapat group support yang dicadangkan oleh halaman tersebut yang boleh disertai untuk menambah maklumat yang betul serta mendapat bimbingan dari kesemua ahli sama ada dari para pekerja kesihatan mahupun orang awam yang lebih mendapat bimbingan awal sebelum dari kita.

Sentiasa Berfikiran Positif

Selagi kita hidup di dunia, kita tidak akan dapat lari dari merasa kepayahan, kesukaran dan kesedihan.

Lebih-lebih lagi jika si ibu yang melahirkan anak buat kali pertama, tentulah fasa ini adalah fasa yang paling sukar.

Diri diselubungi emosi. Keadaan fizikal dan mental pula sangat mencabar. Jadi hendak atau tidak, ibu-ibu perlulah berfikiran positif sentiasa kerana si anak pasti lebih memerlukan seorang ibu yang kuat, boleh memberikannya cukup kasih sayang dan perhatian yang padu.

Apabila anak-anak sihat dari segi mental dan fizikal, para ibu akan turut merasai tempiasnya nanti.

Rujukan :
Gila Meroyan? Dr Zul Azlin
Meroyan: Salah Suami Tidak Membantu Atau Isteri Tidak Tahu? – SN Nur Nabiila Masfuzah Binti Abdullah
Kamus DBP


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Saifuddin Hamizan

Lepasan Sijil Bahasa Arab di Institut Pengajian Tinggi Islam Perlis dan meneruskan sijil Diploma Syariah Islamiah di Kolej Pengajian Islam Johor (Marsah). Penulis buku Pematah Hati Yang Tak Dirindukan (Mustread) & Cinta (PTS SDN BHD)

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami