Hukum, Keluarga

Talak, Antara 3 Perkara Tidak Boleh Dijadikan Gurauan Dalam Rumah Tangga

Oleh Fieyzah Lee  •  11 Jul 2019  •  5 min baca

Belakangan ini, tular isu keretakan rumah tangga dalam kalangan artis mahupun rakyat biasa yang semakin menjadi-jadi. Ramai di kalangan mereka yang lebih memilih jalan penceraian untuk menyelesaikan keretakan tersebut.

Mudahnya cerai dilafazkan setelah bertahun membina rumah tangga dengan pelbagai rintangan yang berjaya diharungi bersama. Malah, ada juga yang berpendapat bahawa tindakan sesetengah pasangan yang tidak berusaha membaiki rumah tangga dianggap seperti hanya membiarkan sahaja keretakan tersebut terjadi.

Ada juga segelintir daripada kita yang sanggup meminta pandangan di media sosial sama ada untuk meneruskan rumah tangga tersebut atau berhenti setakat itu sahaja.

Malah, menurut Ustaz Wan Zaki Wan Mohd, iaitu Ketua Hakim Syarie Terengganu mengulas bahawa, isu penceraian tidak boleh dibawa main dan dijadikan bahan gurauan netizen lebih-lebih lagi jika anda seorang yang berpengaruh seperti artis atau selebriti.

Ada dalam kalangan mereka yang berkahwin hanya untuk suka-suka dan mengikut trend terkini. Apabila melihat ramai yang melangsungkan perkahwinan, hati terus membuak-buak untuk berkahwin. Namun, dari segi persiapan mental dan fizikal, tiada siapa tahu sudah bersedia atau belum.

Melayari bahtera perkahwinan adalah lagi besar daripada melawan ombak di laut. Banyak tanggungjawab dan komitmen yang perlu dilaksanakan sama ada suka atau tidak. Kadang-kadang, kita hanya berfikir mengenai kehendak dan kemahuan pasangan, namun urusan keluarga kedua-dua belah pihak pula dilupakan.

Banyak faktor yang menyebabkan berlakunya penceraian. Jika kita lihat berita-berita penceraian yang keluar di media, rata-ratanya faktor yang kita dengar adalah disebabkan oleh pasangan yang bermain kayu tiga.

Jika ditanya pula pengamal undang-undang seperti peguam Mahkamah Syariah, sebahagian daripada mereka mengakui isu kewangan merupakan antara faktor terbesar yang memungkinkan ia terjadi.

Sebuah statistik yang telah dikeluarkan oleh Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga sepanjang tahun 2013 sehingga 2019 menunjukkan bahawa 17,359 kes penceraian adalah disebabkan oleh faktor kewangan manakala 6574 kes pula adalah disebabkan campur tangan atau munculnya pihak ketiga.

Bak kata orang tua-tua, benda yang sudah patah seribu, pasti sukar untuk dibaiki semula. Inilah realiti perkahwinan yang ramai orang tidak memikirkannya.

Walau bagaimanapun, setiap pasangan yang ingin mengambil jalan penceraian perlulah menyelesaikannya dengan cara yang matang dan juga betul tanpa perlu membuka aib pasangan masing-masing secara semberono sehingga boleh mencalar imej masing-masing.

Tindakan yang kurang matang dan terlalu banyak meluahkan masalah di media sosial perlulah dielakkan. Walaupun ia adalah dengan tujuan dan niat yang betul seperti ingin meminta pendapat orang ramai berkenaan cara yang betul untuk menyelesaikan masalah, ia sebenarnya perlu dielakkan lebih-lebih lagi di media sosial.

Kita mempunyai cara yang lagi sesuai untuk istisyarah seperti berbincang dengan baik bersama pasangan dan ahli keluarganya atau meminta nasihat pakar seperti golongan ustaz atau pihak Mahkamah Syariah sendiri.

Tiga Perkara Tidak Boleh Dibawa Bergurau

Mungkin kita semua pernah mendengar sebuah hadis sahih mengenai penceraian yang tidak boleh dibuat main dan dibawa bergurau walaupun niatnya sekadar gurauan semata-mata. Hadis yang pernah diriwayatkan oleh Abu Hurairah merupakan larangan untuk bermain-main dengan talak.

ثَلاَثٌ جِدُّهُنَّ جِدٌّ وَهَزْلُهُنَّ جِدٌّ النِّكَاحُ وَالطَّلاَقُ وَالرَّجْعَةُ

“Tiga perkara yang seriusnya dianggap bersungguh-sungguh dan gurauannya dianggap bersungguh-sungguh, iaitu nikah, cerai dan rujuk semula.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Menurut para tafsir melalui Kitab al-Muktamad (4/157), larangan ini bermaksud, jika dilafazkan walau secara gurauan, maka ia akan beralih kepada maksud asal. Dalam erti kata lain, pada asalnya, hukum suatu talak dikira jatuh.

Namun isu talak adalah hal rumit yang perlu difahami dengan sebaiknya berpandukan ilmu dan juga rujukan kepada pihak yang faqih dalam isu ini. Banyak huraian yang diberikan oleh para ulama berkenaan lafaz talak, sebelum dikira ia jatuh atau tidak.

Ucapan Talak Yang Tidak Dikira

Di dalam perbahasan talak juga, terdapat enam jenis ucapan talak sarih yang tidak dikira, iaitu:

#1 – Orang yang tidur
#2 – Orang yang gila
#3 – Orang yang sabq al-lisan (terlepas cakap)
#4 – Orang yang menyeru; yakni jika seseorang itu memiliki isteri yang bernama “taliq” yang bermaksud orang yang diceraikan
#5 – Penggunaan lafaz yang tidak difahami
#6 – Dipaksa dan mabuk atas sebab uzur

Perkara yang sering menjadi pertanyaan banyak pihak adalah ucapan talak jenis ketiga iaitu talak yang dikeluarkan daripada orang yang terlepas cakap. Pihak Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan jenis ucapan talak ini berdasarkan kitab al-Mu’tamad fi al-Fikh al-Syafie (4/164) oleh Syeikh Muhammad al-Zuhaili, iaitu:

Maksud: “Jika seseorang lelaki terlepas cakap melafazkan talak tanpa berniatkan makna bagi huruf-huruf talak, maka lagha, tidak jatuh talak. Begitu juga jika seseorang melafaz talak kerana menceritakan kisah orang lain, atau seorang ahli fikh yang berulang kali menyebut talak dalam pengajaran dan contoh yang diberi, maka lagha juga kerana tiada niat.”

Disebabkan itulah, Islam melarang untuk kita main-main dengan perkara tersebut. Hal ini terjadi disebabkan oleh kurangnya ilmu dalam rumah tangga. Penceraian merupakan perkara yang digemari syaitan dan kaum kerabatnya kerana ia boleh memutuskan keturunan Nabi Adam a.s.

Penceraian Bukan Salah Jodoh

Pasti ramai yang salah anggap bahawa jika berlakunya penceraian, maka kita telah salah memilih jodoh atau Allah telah memberikan alamat serta petunjuk yang tidak betul semasa proses istikharah.

Namun, menurut jumhur ulama’ dan juga beberapa ceramah yang telah disampaikan oleh ustaz-ustaz, ia adalah bermaksud jodoh kita dengannya telah tamat.

Setiap sesuatu di atas muka bumi ini ada tarikh luputnya yang tersendiri. Apabila sampai masanya ia akan berakhir atau mati. Begitu juga dengan jodoh masing-masing. Wallahu a’lam.

Kesimpulan

Justeru, setiap pasangan yang ingin melangsungkan perkahwinan perlu bersedia dan menuntut ilmu, baik dari segi mental, fizikal, kewangan serta agama sendiri. Penceraian merupakan suatu perkara yang disukai syaitan kerana dengan itu, sebuah masjid dan rumah tangga yang halal telah runtuh dan umat nabi Adam akan terputus.

إن هذا تهويل عظيم في ذم التفريق حيث كان أعظم مقاصد اللعين لما فيه من انقطاع النسل وانصرام بني آدم وتوقع وقوع الزنا الذي هو أعظم الكبائر

Maksud: “Hadis ini (penceraian) menunjukkan peringatan yang sangat menakutkan tentang celaan terhadap penceraian. Hal ini merupakan tujuan terbesar (Iblis) yang terlaknat kerana penceraian mengakibatkan terputusnya keturunan. Bersendiriannya (tidak ada pasangan suami atau isteri) anak keturunan Nabi Adam akan menjerumuskan mereka kepada perbuatan zina yang termasuk dosa-dosa besar yang akan menimbulkan kerosakan.” (Kitab Faidhul Qadiir II/408)

Sumber: Mufti WIlayah


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fieyzah Lee

Fieyzah Lee

Merupakan seorang pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami