Gaya Hidup

Takdir Allah Penuh Rahsia

Oleh Azian Mohamed Isa  •  21 Oct 2019  •  4 min baca

Saya mempunyai seorang kenalan perempuan. Seorang yang bijak, berkhidmat sebagai tenaga pengajar di sebuah universiti, sudah pun berumah tangga dan mempunyai dua orang cahaya mata.

Sejak dari tahun 2012, beliau mahukan zuriat. Beliau pun berusaha untuk hamil dan satu hari haidnya lewat daripada biasa. Beliau terus ke klinik untuk sahkan kehamilan.

Namun, apa yang berlaku di luar jangkaan beliau. Ujian kehamilannya negatif dan yang paling mengejutkan adalah sewaktu doktor memberitahunya,

“Puan, adalah mustahil untuk puan mengandung lagi.”

Dalam usia 35 tahun, beliau mengalami Premature Ovarian Rupture di mana ovari gagal berfungsi. Akibatnya, ovari tidak lagi menghasilkan telur seperti biasa dan beliau tidak boleh mengandung selama-lamanya.

Keadaan ini juga dikenali sebagai premature menopause. Beliau terpaksa bergantung kepada rawatan penggantian hormon untuk mengurangkan simptom menopause seperti berpeluh, panas badan, emosi yang tidak menentu, kesukaran untuk tidur dan osteoporosis. Subhanallah.

Satu ujian yang sangat hebat di kala dirinya mendambakan seorang zuriat. Namun, beliau tidak pula kecewa dan berputus asa. Beliau dan suami bersetuju untuk mengambil anak angkat.

Beliau berusaha bersungguh-sungguh mencari seorang bayi yang boleh disusukannya. Tujuannya, supaya bayi ini kelak menjadi anak susuannya dan dikira sebagai mahram.

Kenalan daripada staf di hospital banyak membantu mereka. Fasa awal ialah dengan mengenali si ibu yang bakal melahirkan bayi yang mahu dijadikan anak angkat. Proses ini sangat rumit kerana melibatkan maruah dan aib.

Hal ini juga berkait dengan perasaan dan kasih sayang. Ibu mana yang sanggup melepaskan anak yang dikandungnya selama sembilan bulan begitu sahaja.

Pernah beliau bercerita di mana si ibu kepada bakal anak angkatnya sudah nekad untuk melahirkan dan mengikut segala prosedur yang telah dipersetujui.

Namun, di saat akhir, ibu ini menarik diri, tidak mahu menyerahkan anaknya kepada beliau. Padahal, segala kos perubatan, termasuklah temu janji antenatal telah ditanggung sepenuhnya.

Sehinggalah pada bulan Ogos 2016, saya terjumpa suami beliau dan dua orang anak-anaknya. Saya menanyakan rakan saya tadi yang tidak kelihatan. Jawab suaminya ringkas;

“Dia di hospital”

Soal saya bertubi-tubi ;

“Hospital? Kenapa? Sakit?”

Sambil tersenyum suami tadi menjawab;

“Dah bersalin, malam tadi.”

Allahuakbar. Syukur kepada Tuhan. Saya berasa gembira dan terharu dengan perkhabaran ini. Allah tunaikan hasrat beliau. Ibu kepada anak angkatnya telah selamat bersalin.

Usaha ini bukannya mudah. Malah amat payah. Sejak bulan April lagi kenalan saya ini mengambil hormon untuk merangsangkan pengeluaran susu.

Dia dan suami amat prihatin dengan kesihatan ibu kepada bayi ini. Segala kos rawatan daripada temu janji antenatal sehinggalah bersalin dibiayai sepenuhnya. Malah beliau sendiri yang membawa ibu ini ke klinik setiap kali check up.

Beliau mengambil cuti sebulan untuk menjaga bayi ini. Semasa saya datang melawatnya, saya tidak menyangka ibu kepada bayi ini ada di rumah beliau di dalam sebuah bilik sedang berehat. Sambil matanya memandang bayi comel yang sedang lena di pangkuannya, beliau berkata;

“Saya akan jaga dia berpantang selama sebulan. Kasihan dia. Lama dia tahan sakit bersalin. Lagipun jahitan selepas bersalinnya (episiotomy) agak panjang.”

Wajahnya sangat tenang. Sungguh saya terharu. Begitu besar pengorbanan beliau. Begitu gigih usahanya. Apatah lagi doanya pada Tuhan. Sudah tentu hebat. Saya rasa sebak. Air mata saya hampir mengalir.

إِنَّا كُلَّ شَيْءٍ خَلَقْنَاهُ بِقَدَرٍ
Sesungguhnya Kami menciptakan tiap-tiap sesuatu menurut takdir yang telah ditentukan.
Surah al-Qamar, 54:49

Hebatnya takdir Allah. Dua orang perempuan diuji dengan dua bentuk ujian. Seorang dengan ujian kesilapan. Seorang lagi dengan ujian kesakitan dan ketidaksempurnaan. Namun, Allah mengangkat martabat kedua-duanya dengan menciptakan seorang zuriat.

Yang tersilap, diberikan jalan keluar dengan cara yang penuh hikmah. Mudah-mudahan, ibu muda ini bangkit memperbaiki diri dan tabah meneruskan perjalanan. Yang kekurangan, Allah tunaikan hajat dan permintaan. Asbab reda dan berlapang dada, Allah berikan kebahagiaan dengan cara yang berlainan.

Dua bentuk ujian dan dua orang perempuan, di dalamnya tersimpan takdir Allah yang penuh rahsia. Moga-moga ujian ini mampu mendekatkan mereka kepada Tuhan Maha Pencipta. Insya-Allah. Kita sama-sama doakan.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Azian Mohamed Isa

Azian Mohamed Isa

Pemegang Sarjana dalam bidang Sains Biologi, pernah menyandang jawatan pensyarah. Kini seorang penulis sepenuh masa. Seorang pemikir dan pengembara. Kisah kembaranya di Xi’an, China dan Pulau Mauritius boleh diikuti di dalam majalah E&T yang diterbitkan oleh MySet, myset.org.my. Salah seorang penulis di dalam buku antologi himpunan kisah benar berjudul ‘BLUR’ yang diterbitkan oleh Buku Puris.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami