Inspirasi

Syed Mokhtar Al Bukhary: Kisah Anak Penternak Menjadi Tokoh Korporat

Oleh Alia Basirah  •  3 Jul 2017  •  4 min baca

Tan Sri Syed Mokhtar AlBukhary ialah usahawan Melayu bumiputera yang paling kaya di negara ini. Pada 2017, majalah perniagaan popular, Forbes menganggarkan kekayaan beliau yang terkini mencecah hampir RM6.32 billion. Ahli perniagaan berketurunan Yaman ini mengusahakan banyak syarikat perniagaan antaranya MMC Corporation, DRB-HICOM Berhad dan sebagainya.

Kejayaan Syed Mokhtar dalam dunia korporat ini tidak dicapai dalam sekelip mata. Banyak jatuh bangun yang dilaluinya sepanjang menceburi bidang keusahawanan. Malah, beliau sendiri pernah mengakui:

“Saya telah melalui pahit maung dan merasai segala-galanya untuk sampai ke tahap sekarang. Tidak ada jalan yang singkat. Saya belajar tentang perniagaan dari kecil dan saya juga biasa ditipu.”

Anak pedagang ternakan yang agak miskin dari Kedah ini tidak mendapat sebarang pendidikan formal dalam bidang perniagaan. Universiti beliau berniaga ialah pengalaman. Beliau mula berjinak-jinak dalam dunia perniagaan sejak berusia remaja ketika mengusahakan ladang ternakan lembu yang dimiliki ayahnya, Syed Nor.

Pada tahun 1973, Syed Mokhtar memulakan bisnes pengangkutan dengan rakannya berbangsa Cina. Kemudian, beliau beralih kepada perniagaan beras. Ketika itu tidak ramai yang mengenalinya. Memang ada sesetengah peniaga yang menindasnya semasa memulakan perniagaan.

Beliau bukan sahaja dipermainkan oleh bangsa lain malah turut ditipu oleh bangsa Melayu sendiri. Mujurlah kekentalan semangatnya telah memberinya kekuatan untuk mengharungi sepak terajang dunia korporat.

Kejayaan Syed Mokhtar memiliki kepentingan 90 peratus dalam Seaport Terminal (Johor) Sdn Bhd pada 1993 dianggap permulaan yang membolehkan beliau menjadi tokoh korporat terkenal menyamai status Tan Sri Tajuddin Ramli dan Tan Sri Halim Saad pada masa itu.

Melalui Seaport, Syed Mokhtar berjaya mengusahakan projek mega Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) yang diharap dapat menyaingi pelabuhan Singapura.

Kejayaan Syed Mokhtar memujuk syarikat perkapalan terbesar dunia, Taiwan Evergreen Marine Corporation memindahkan operasinya dari Singapura ke PTP telah melonjakkan nama beliau dalam dunia korporat. Usaha beliau mendapat respon positif dari kerajaan kerana beliau telah membantu hasrat kerajaan untuk mewujudkan pelabuhan moden bertaraf dunia di rantau ini.

Keunggulan Syed Mokhtar dalam dunia bisnes sudah tidak boleh dipertikaikan lagi. Ini kerana beliau kini muncul sebagai generasi korporat Melayu yang berpotensi untuk mengendalikan rangkaian perniagaan yang besar.

Namun, dengan kuasa beli yang kuat, ada yang menganggap beliau sebagai ahli perniagaan yang tamak dan rakus. Beliau pernah membuat penafian pada kenyataan itu dan berkata:

“Diri saya tidak mustahak. Kalau saya ingin mengambil alih mana-mana syarikat pun, saya mesti ada kemampuan untuk menguruskannya. Orang tidak tahu apabila saya mengambil sesetengah syarikat itu, ia sebenarnya dapat menyelamatkan berpuluh-puluh ribu keluarga pekerja yang sebahagian besarnya ialah orang Melayu. Tetapi apabila saya mengambilnya, orang mula bertanya, apakah tiada orang lain selain Syed Mokhtar.”

Menjadikan perniagaan sebagai wasilah untuk menolong orang susah, Syed Mokhtar sanggup melaburkan sebahagian keuntungan yang diperolehinya untuk melakukan kerja-kerja amal. Pada tahun 2003, Yayasan AlBukhary telah ditubuhkan bagi menyediakan kelas-kelas tuisyen untuk pelajar-pelajar miskin.

Setiap tahun, 150 orang pelajar miskin daripada lebih 30 buah negara ditempatkan di Kompleks Al-Bukhary, Alor Setar bagi mengikuti kelas asas Bahasa Inggeris sebagai persediaan sebelum melangkah kaki ke universiti.

Melalui Yayasan Al Bukhary, beliau banyak menyumbang untuk pembangunan umat Islam dalam dan luar negara. Contohnya beliau telah membiayai pembinaan lebih 10 buah masjid di Malaysia pada tahun 2000. Dalam masa yang sama Syed
Mokhtar juga telah menginfaqkan sebanyak RM 7.5 juta kepada pusat pengajian Islam Oxford di London bagi menyokong usaha-usaha dakwah Islam di bumi Eropah.

Ikut resmi padi, semakin menunduk, semakin berisi. Itulah perumpamaan yang selari dengan keperibadian Syed Mokhtar. Walaupun hidupnya dilimpahi kekayaan, beliau tidak pernah mendabik dada. Sebaliknya beliau berkata:

“Kaya itu adalah kepada kumpulan peniaga, kepada bangsa dan orang ramai. Saya hanya menjaga untuk sementara sahaja. Saya tidak ada keinginan untuk menyiapkan kekayaan ini untuk anak dan isteri. Duit tidak akan kekal. Saya percaya hanya perkara baik yang kita lakukan akan kekal. Bukan duit yang akan melindungi saya, tetapi amal yang saya lakukan sekarang”

Walaupun kaya-raya, Syed Mokthar bukan sahaja dikenali sebagai usahawan low-profile tetapi sering mengamalkan gaya hidup sederhana. Beliau tidak suka memakai pakaian berjenama mahal seperti sebilangan usahawan lain, malah beliau juga menggunakan kereta proton perdana bagi menyokong industri automotif nasional.

Itulah Tan Sri Syed Mokhtar AlBukhary, karakter yang wujud pada dirinya haruslah menjadi ikutan bagi bakal peniaga Islam yang ingin melakar kejayaan dalam dunia korporat. Beliau mengajar kita bahawa kekayaan bukanlah tiket untuk kita berbangga diri atau sombong, sebaliknya harus diraikan dengan penuh kesyukuran dan rasa tawaduk kepadaNya.

Rujukan
1. Chamil Wariya (2007). 50 Ikon Bangsa.Media Global Matrix Sendirian Berhad, Kuala Lumpur.
2. www.forbes.com


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Alia Basirah

Alia Basirah

Beliau merupakan graduan lepasan Universiti Utara Malaysia dalam bidang psikologi pendidikan. Seorang penulis yang gemar mengekspresikan idea melalui penulisan. Kini, beliau sedang bergiat aktif dalam penulisan buku dan pernah menulis artikel untuk beberapa majalah islamik tanah air.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami