Inspirasi

Surah Al-Kahfi; Kisah Si Kaya Dan Si Miskin

Oleh Anas  •  5 Aug 2017  •  3 min baca

“Harta benda dan anak-pinak itu ialah perhiasan hidup di dunia; dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pahalanya di sisi Tuhanmu sebagai balasan dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan.”Surah Al Kahf:46

Allah memberikan perumpamaan orang kaya yang sombong dan orang miskin yang lemah dalam sebuah kisah kedua menerusi surah al-Kahfi.

Jika kisah pemuda di awalnya adalah mengenai menyelamatkan diri dari perbuatan syirik iaitu menyembah berhala, kisah yang kedua ini pula menceritakan perbuatan syirik dalam bentuk yang lain iaitu ‘menyembah’ harta duniawi.

Ada dua orang lelaki. Allah memberikan salah seorang dari mereka sebuah kebun anggur yang dikelilingi pohon tamar dan tanaman-tanaman lain yang subur. Dia dengan bangga memberitahu rakannya mengenai hartanya yang banyak.

Lelaki kaya ini menyangka kekayaan yang dimilikinya tidak akan hilang. Malah, lebih teruk lagi, dia tidak percaya dengan hari Kiamat.

Dia juga menyangka yang harta itu adalah tanda kasih Allah kepadanya. Maka jika akhirat itu benar wujud, nasib yang baik juga akan berpihak kepadanya. Begitulah pandangannya.

Ini adalah kerana kelemahan imannya terhadap Allah s.w.t. Menurut Imran N. Hosein, secara teorinya, dia menyembah Allah tetapi faktanya, dia menyembah kekayaannya.

Berbeza pula dengan si miskin yang tidak mempunyai kekayaan yang dimiliki si kaya. Si miskin menyedari adanya kerosakan dalam hati si kaya.

Lantas, si miskin menasihatinya tentang kepercayaan kepada Allah dan dirinya yang telah terpedaya dengan harta dunia.

Dia mengingatkan sahabat yang kaya itu agar memuji Allah apabila melihat kemewahannya. Ini kerana Allah yang memiliki seluruh alam ini boleh saja memusnahkan apa yang dimilikinya dan mengambil semua hartanya.

Bukanlah si miskin cemburu dengan kekayaan si kaya. Apa yang dilakukannya hanyalah untuk mengingatkan si kaya bahawa harta yang dimiliki adalah milik Allah s.w.t.

Oleh itu, kesyukuran harus dipanjatkan kepada Allah s.w.t. Malah, si miskin juga berharap dirinya akan menerima sesuatu yang lebih baik berbanding ladang si kaya dan lebih baik daripada kemiskinan yang diterimanya di dunia ini.

Apa yang dikatakan si miskin ternyata benar. Suatu hari, terujilah si kaya dengan apa yang dikagumi olehnya. Harta-bendanya dibinasakan oleh Allah sehingga dia menyesal atas perbuatan menyekutukan-Nya.

Pengajaran daripada kisah ini adalah;
#1 – Harta Yang Kita Punya Tidak Kekal
Harta yang dimiliki oleh kita di dunia ini adalah perhiasan hidup semata-mata, apa yang kekal hanyalah amal soleh.

#2 – Kehidupan Di Dunia Ini Mestilah Dengan Asas ‘Kerana Allah’

#3 – Ujian Bukan Sahaja Dari Kesusahan, Bahkan Boleh Datang Dalam Bentuk Kesenangan Dan Kemewahan
Pada masa yang sama juga, kesusahan boleh menjadi satu rahmat buat penerimanya.

#4 – Siapa Yang Gagal Dalam Ujian Akan Mencampakkan Dirinya Ke Dalam Api Neraka

#5 – Si Miskin Juga Haruslah Hidup Kerana Allah Jua
Oleh itu, dia mestilah bersabar dengan ujian dari Allah di samping mengekalkan usahanya. InsyaAllah dirinya akan diberikan ganjaran yang besar di akhirat kelak.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Anas

Anas

Seorang penulis yang suka bereksperimentasi dengan pelbagai bidang dalam penulisan. Pernah menulis buku kanak-kanak dan juga majalah.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami