Ibadah

Sujud – Tika Dekatnya Makhluk Dan Pencipta

Oleh Fieyzah Lee  •  16 Aug 2019  •  4 min baca

Pernah atau tidak anda berfikir bahawa rendah dan hinanya diri anda tatkala bersujud?

Mengapa saya mengatakan sedemikian? Cuba anda lihat kembali, bagaimana keadaan anda ketika bersujud. Kepala dan kaki anda berada pada lantai yang sama dalam satu waktu. Malah, pinggul anda berada lagi tinggi daripada kepala.

Kepala yang pada asalnya merupakan satu objek dan bahagian badan yang paling tinggi, akhirnya tunduk dan sujud menyembah bumi juga malah berada sama taraf dengan objek kaki yang merupakan anggota badan paling rendah.

Mengapa perihal sujud dibawakan untuk entri kali ini sedangkan umum mengetahui bahawa dengan bersujud kita mampu untuk dekat dengan Tuhan.

Namun, terdapat satu lagi mesej yang tersirat yang ingin disampaikan melalui keadaan kita di dalam sujud, iaitu kehidupan kita di muka bumi seperti roda, sekejap di atas namun sekelip mata kita boleh berada di bawah.

Maka, dalam hidup ini kita tidak boleh sombong dengan apa yang ada kerana setiap yang kita peroleh adalah ujian dan cubaan dariNya.

Sujud merupakan salah satu rukun dalam solat. Jika meninggalkannya, maka solat yang dilakukan dikira terbatal atau tidak sah.

Keadaan sujud juga dikatakan ialah waktu yang paling dekat antara hamba dengan penciptaNya. Malah, jumhur ulama’ juga mengatakan bahawa, pada waktu ini, berdoalah sebanyak-banyaknya kerana hati kita sangat akrab denganNya.

أَقْرَبُ ما يَكونُ العَبْدُ مِن رَبِّهِ، وهو ساجِدٌ، فأكْثِرُوا الدُّعاءَ

Maksud: Dari Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Keadaan seorang hamba paling dekat dengan Rabbnya adalah ketika ia sedang bersujud, maka perbanyakkanlah berdoa saat itu.” (Hadis Riwayat Muslim, no.482)

Sujud merupakan salah satu daripada perbuatan dan rukun dalam solat. Tanpa sujud, tidak sah sesebuah solat yang dilakukan.

Banyak hikmah yang boleh diperoleh dengan hanya bersujud, bukan sahaja dapat mengingatkan diri kita untuk sentiasa beringat terhadap kedudukan dan taraf di dunia ini, namun banyak lagi.

Antara hikmah sujud ialah:

#1 – Mendekatkan Diri Kepada Allah

Melalui riwayat Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Paling dekatnya seorang hamba kepada tuhannya ialah pada waktu ia sedang bersujud, oleh kerana itu, perbanyakkanlah doa.” (Hadis Riwayat Muslim)

Melalui riwayat ini, masa sujud ialah masa yang paling dekat dengan Allah. Oleh itu, perbanyakkan dan lamakan sujud dengan meminta kepada Allah di dalam hati.

Semasa sujud, kita boleh niatkan dalam hati apa sahaja yang kita mahu luahkan atau minta dengan Allah. Sebenarnya, Rasulullah SAW sentiasa melamakan sujudnya kerana baginda ingin berada lebih dekat dengan Allah. Anda boleh membaca doa-doa ini ketika sujud seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat.

Doa Meminta Husnul Khatimah

رَبِّ قَدْ آتَيْتَنِي مِنَ الْمُلْكِ وَعَلَّمْتَنِي مِن تَأْوِيلِ الْأَحَادِيثِ ۚ فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ أَنتَ وَلِيِّي فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ ۖ تَوَفَّنِي مُسْلِمًا وَأَلْحِقْنِي بِالصَّالِحِينَ

Mafhum: “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya Engkau telah mengurniakan aku sebahagian dari kekuasaan (pemerintahan) dan mengajarku sebahagian dari ilmu tafsiran mimpi. Wahai Tuhan yang menciptakan langit dan bumi, Engkau Penguasa dan Pelindungku di dunia dan di akhirat; sempurnakanlah ajalku (ketika mati) dalam keadaan Islam, dan hubungkanlah aku dengan orang-orang yang soleh. (Surah Yusuf, 17:101)

Doa Supaya Ditetapkan Hati

اللهم يا مقلب القلوب ثبت قلبي على دينك

Maksud: “Ya Allah Wahai Sang Pembolak-balik hati, tetapkanlah hatiku kepada-Mu”

Doa Supaya Sempat Bertaubat

اللهم ارزقني توبتا نصوحا قبل الموت

Maksud: “Ya Allah berikanlah aku rezeki taubat nasuha (atau sebenar-benar) taubatnya sebelum aku wafat.

Berdoalah kepada Allah walau di mana dan apa jua perbuatan yang sedang kita lakukan. Kadang-kadang kita tak tahu, sampai bila kita akan diberikan peluang untuk bersujud dan berdoa kepada Allah”

#2 – Menyegarkan Otak

Menurut sebuah kajian kesihatan yang telah dilakukan oleh beberapa pakar kesihatan, mereka mendapati bahawa apabila sujud, oksigen dapat naik ke otak dengan lebih banyak. Oleh itu, keadaan otak kita akan lebih segar dan sihat serta dapat berfikir dengan baik. Ia juga dapat memberi kerehatan yang bagus buat minda kita.

Perjalanan darah ke otak juga akan menjadi lebih lancar kerana pada waktu itu keadaan kepala kita sedang berada di bawah. Oleh itu, aliran darah akan menjadi stabil.

Kesimpulan

Banyak hikmah yang akan diperoleh melalui setiap perbuatan kita di dalam solat, bukan sahaja melalui sujud. Namun, kita sering mendengar perumpamaan bahawa, melalui sujud kita akan lebih rapat dan dekat denganNya.

Wallahu a’lam.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fieyzah Lee

Fieyzah Lee

Merupakan seorang pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami