Gaya Hidup

Stigma Negatif Lebih Teruk Dari Pesakit Mental

Oleh Pahrol Mohamad Juoi  •  21 Nov 2018  •  2 min baca

Pertama kalinya saya mendapat ilmu dan pengalaman daripada Puan Anita, Wan Zakirah, saudara Muhammad Faris daripada MIASA – Persatuan Kesedaran dan sokongan penyakit mental.

Persepsi dan pemikiran saya tentang kesihatan mental dan penyakit mental telah dibetulkan oleh mereka dalam suasana yang penuh mesra dan ceria.

Banyak yang saya belajar daripada mereka yang mendepani sendiri penyakit dan pesakit mental.

Penyakit mental adalah ujian Allah yang boleh menimpa sesiapa sahaja seperti penyakit-penyakit yang lain.

Justeru, respons kita ialah membantu dan memberi sokongan kepada mereka. Bukan mengejek, melabel, meminggir malah mengecap mereka sebagai individu yang tidak kuat iman, banyak dosa serta jauh daripada Allah.

Tidak, mereka hanya diuji. Ujian itu namanya penyakit mental. Dan ujian ini terdedah kepada sesiapa sahaja apabila faktor-faktor yang menyebabkannya ada.

Samada faktor dari dalam atau luar, kita semua terdedah kepadanya. Boleh jadi bukan kita tetapi keluarga, saudara mara atau teman kita.

Saya ‘disekolahkan’ semalam. Namun dengan penuh pengertian dan kerelaan. Ujian ini perlu difahami dahulu, kemudian barulah boleh kita membantu.

Mana mungkin kita mampu membantu jika stigma yang ada pada kita itu hakikatnya adalah penyakit yang lebih berbahaya daripada penyakit mental itu sendiri!

Dengan stigma itu ramai beranggapan pesakit mental itu ‘orang gila’, berbahaya, ganas, malas, tidak produktif, hanya membuat alasan dan lain-lain. Lalu kita sesuka hati melabel, meminggir dan melakukan diskriminasi terhadap mereka.

Padahal mereka seharus dibantu – diberi kasih sayang, empati dan sokongan. Seperti kita dituntut membantu saudara kita yang menjadi mangsa apabila dilanda Tsunami, maka bantulah saudara kita yang dilanda ‘Tsunami Jiwa’ ini.

Mereka bukan jadi begitu angkara banyak dosa kerana lebih ramai pendosa yang mungkin dosanya lebih besar, tidak mendapat penyakit mental bahkan disanjung dan dipuja berbanding mereka yang dipinggirkan dan dihina.

Dunia memang tidak adil kerana itulah juga merupakan ujian di dunia. Justeru, Allah ciptakan Akhirat buat mereka yang sabar dan redha menempuh ujian di dunia.

Penyakit mental bukan bala. Bala sebenar ialah bila manusia melupakan Allah. Pesakit mental yang solat, berzikir, merendah diri, menyayangi orang lain, sabar sesungguhnya jauh lebih baik di sisi Allah berbanding orang yang ‘sihat mental’ tetapi tidak memiliki segala sifat baik itu.

Penyakit mental itu mehnah – didikan Allah. Hakikatnya, dengan mujahadah diri mereka dan ukhwah kita, pasti ada ketenangan untuk kita, Insya Allah di dunia dan di syurga. Amin.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Pahrol Mohamad Juoi

Pahrol Mohamad Juoi

Merupakan pendakwah dan penulis. Menjadi jurulatih dan perunding latihan di Fitrah Perkasa Sdn Bhd.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami