Tokoh

Status Hadis – Tapak Kaki Bilal Didengari Di Syurga

Oleh Fizah Lee  •  5 Aug 2020  •  2 min baca

Apabila kita melihat kisah hidup Bilal bin Rabah, beliau melalui kehidupan yang penuh dengan kepayahan. Beliau lahir di daerah as-Sarah sekitar 43 tahun sebelum Hijrah. Beliau merupakan seorang budak berkulit hitam dan digelar sebagai Ibnus Sauda’ yang bermaksud putera kepada wanita berkulit hitam.

Sebelum keislamannya, beliau merupakan seorang hamba kepada Umayyah bin Khalaf. Semasa beliau mula-mula membuat keputusan untuk memeluk Islam, semuanya dilakukan secara rahsia. Ibadahnya, keluar masuknya untuk menuntut Ilmu mengenai Islam dan segalanya dilakukan dalam keadaan sembunyi.

Walau bagaimanapun, selepas keislamannya terbongkar, Umayyah bermati-matian memaksa Bilal untuk kembali ke agama asalnya. Namun, keteguhan iman Bilal terhadap Islam sangat hebat.

Walaupun beliau telah diseksa di tengah-tengah panas terik dan di atas perutnya diletakkan batu yang besar untuk meruntuhkan keimanannya, namun beliau tetap tidak ingin keluar dari Islam.

Sehinggalah Abu Bakar membelinya dengan harga yang sangat tinggi. Waktu itu, Umayyah meletakkan harga yang tinggi kerana menyangka bahawa Abu Bakar akan melupakan hasratnya untuk membeli Bilal, namun ternyata Abu Bakar membelinya dan kemudian membebaskannya.

Betapa hebatnya keimananan Bilal sehingga beliau juga telah dijanjikan syurga oleh Allah SWT. Sehingga ada beberapa dalil yang menyebut perihal Bilal di syurga.

Daripada Abu Hurairah RA, Baginda SAW bersabda kepada Bilal ketika solat fajar:

Maksud: “Wahai Bilal! Khabarkan kepadaku amalan yang paling utama telah kamu lakukan sejak memeluk Islam. Ini kerana, aku mendengar gerakan kaki di sisiku di dalam Syurga.” Bilal menjawab: “Tidak ada amalan utama yang aku amalkan kecuali aku akan berwuduk pada waktu malam atau siang melainkan aku akan solat dengan wuduk tersebut di samping solat-solat yang diwajibkan ke atasku.”(Hadis Riwayat Bukhari, no. 1149)

Menurut penjelasan daripada ulama, kisah Baginda SAW mendengar tapak kaki Bilal di dalam syurga adalah sahih dan ia juga pernah diriwayatkan oleh Imam Bukhari melalui kitab sahihnya.

Kisah ini menunjukkan hebatnya kedudukan Bilal kerana beliau sangat teguh keimanannya kepada Allah dan juga amat mencintai Nabi SAW sehingga mengamalkan sunnah-sunnah yang diajar oleh Nabi SAW. Walaupun sekecil-kecil sunnah, ia adalah sesuatu yang mulia dan murni untuk diamalkan.

Sumber:
Mufti Wilayah


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami