Remaja

Status Hadis – Sehina Kamu Adalah Orang Yang Bujang?

Oleh Fizah Lee  •  3 Sep 2020  •  4 min baca

Jika ditanya, apa matlamat hidup seseorang, salah satu jawapannya adalah untuk mempunyai keluarga sendiri. Berkahwin dan melahirkan zuriat adalah salah satu cara untuk menyambung kelangsungan generasi.

Bahkan, ia adalah antara perbuatan mulia dan sunnah yang digalakkan untuk dilakukan. Sebagaimana dalil daripada Baginda SAW:

مَنْ تَزَوَّجَ فَقَدِ اسْتَكْمَلَ نِصْفَ اْلإِيْمَانِ، فَلْيَتَّقِ اللهَ فِي النِّصْفِ الْبَاقِى

Maksud: “Barangsiapa menikah, maka ia telah melengkapi separuh imannya. Dan hendaklah ia bertakwa kepada Allah dalam memlihara yang separuhnya lagi.” (Hadis Riwayat Anas b Malik, 8/335)

Hukum Hidup Membujang

Namun, jodoh itu bukanlah sesuatu yang mudah seperti rezeki yang turun dari langit. Setiap daripada kita perlu meletakkan usaha untuk mendapatkan jodoh yang baik.

Dan salah satu usahanya adalah dengan berdoa agar dijodohkan dengan pasangan yang sesuai dan ia datang pada masa yang sesuai.

Jangan pula meminta kepada Allah untuk diberikan kehidupan membujang sehingga bila-bila, itu adalah perkara yang sepatutnya dielakkan.

Sebagaimana ada sebuah kisah yang pernah berlaku dalam kalangan para sahabat yang ingin menyibukkan diri dalam beribadah sehingga melupakan fitrah.

Anas bin Malik berkata – “Ada tiga orang yang pernah datang ke rumah isteri Nabi SAW, mereka bertanya mengenai ibadahnya kepada Nabi SAW. Mereka berkata: “Di mana kita jika dibandingkan dengan Nabi SAW? Padahal dosa beliau yang lalu dan akan datang telah diampuni.”

Salah seorang daripada mereka berkata: “Adapun aku, aku ingin solat malam selamanya.”

Ada sahabat lain pula berkata: “Aku ingin berpuasa terus menerus sehingga tiada hari aku yang dilalui tanpa puasa.”

Dan seorang lagi sahabat berkata: “Aku akan meninggalkan wanita dan tidak akan berkahwin selamanya.”

Baginda SAW kemudian berkata: “Kalian yang berkata demikian dan demikian. Demi Allah, aku sendiri yang paling takut dan paling takwa kepadaNya. Aku juga berpuasa, tetapi ada masa untuk berehat dan tidak berpuasa. Aku mengerjakan solat malam dan ada waktu untuk aku tidur. Aku juga menikahi wanita. Siapa yang membenci ajaranku, maka ia tidak termasuk golonganku.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 5063)

Ibn Hajar Al-Asqalani ketika membahaskan mengenai hadis ini menyebut; sesiapa yang membenci ajaran yang dinyatakan dan itu termasuklah sesiapa yang berniat untuk tidak ingin berkahwin, maka ia tidak termasuk dalam golongannya.

Disebabkan itu, ulama berkata, jangan bencikan perkahwinan. Seeloknya, jika belum mempunyai niat atau kemampuan untuk berkahwin, sentiasa letakkan doa dan pengharapan kepada Allah agar dikurniakan jodoh yang baik dan semoga diri sendiri juga mampu menjadi pasangan yang baik.

Menurut Ibn Taimiyah dan Imam Nawawi pula, perkahwinan itu mempunyai hukum yang perlu dilihat berdasarkan keadaan dan situasi sendiri.

Hadis Daif Kehinaan Membujang

Hukum asal perkahwinan itu adalah sunat. Jika sudah mencapai tahap mampu dan wajib untuknya berkahwin, maka kahwinlah.

Namun, jika belum dan memilih untuk hidup bujang lagi, itu juga adalah tidak mengapa asalkan tidak menolak sunnah perkahwinan.

Ada sebuah hadis yang diriwayatkan berkenaan hinanya orang yang memilih untuk hidup bujang.

Maksud: “Sesungguhnya di antara sunnah kami adalah bernikah, sehina-hina kamu adalah orang yang bujang dalam kalangan kamu dan sehina-hina mayat di antara kamu adalah orang yang membujang daripada kalangan kamu.”

Namun, hadis ini dinukilkan daif oleh ulama dengan melihat kepada matannya yang lemah.

Imam Al-Haitami mengatakan bahawa ia adalah riwayat daripada Abu Zar RA yang mempunyai perawi yang tidak dikenali.

Manakala, riwayat daripada ‘Ukkaf bin Wada’ah RA pula terdapat juga perawi yang daif, iaitu Mu’awiyah bin Yahya Al-Sadafiy.

Namun, jumhur berpendapat bahawa hadis ini tidak mencapai tahap palsu. Ia adalah daif kerana wujudnya perawi yang lemah.

Imam Nawawi menyimpulkan bahawa hadis ini adalah untuk orang yang mampu untuk berkahwin namun lebih memilih untuk hidup bujang dan bergelumang dengan dosa seperti berzina dan sebagainya.

Kesimpulan

Tidaklah hina golongan yang bujang. Kita melihat setiap dari mereka ini pasti punya sebabnya yang tersendiri, sama ada belum bertemu jodoh, masih belum kukuh kewangan dan ilmu ataupun ada yang memilih untuk berbakti kepada orang tua terlebih dahulu.

Yang paling penting adalah dengan menjaga diri sendiri dan sentiasa berdoa agar Allah memberikan yang terbaik buat diri anda.

Wallahu a’alam.

Rujukan:
Mufti Wilayah Persekutuan
Rumaysho.com


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami