Ibadah

Status Hadis – Penghafaz Al-Quran Menarik 10 Ahli Keluarga Ke Syurga

Oleh Fizah Lee  •  13 Mar 2020  •  3 min baca

Seseorang yang menghafaz Al-Quran bukan sahaja mendapat pahala sunnah kerana mengikut amalan nabi dan para sahabat, namun diberikan ganjaran yang sangat besar ke atasnya.

Menjadi mudah bagi seseorang yang menghafaz Al-Quran apabila isi kandungannya berada terus di dalam hati kerana dadanya diisi dengan kalam Allah. Hati yang kosong mudah untuk dimasuki benda-benda yang melalaikan dan tidak baik. Disebabkan itu, manusia disuruh untuk membaca dan mengamalkan Al-Quran bagi mengisi kekosongan tersebut dan mengelakkan daripada tersasar.

Bahkan, sahabat yang paling baik di sisi manusia ialah Al-Quran kerana ia memberikan petunjuk yang sangat bernilai sepanjang zaman. Walau badai melanda, walau tiada kawan yang setia di sisi, namun ingatlah bahawa Al-Quran akan sentiasa dekat di hati anda.

إِنَّ الَّذِي لَيْسَ فِي جَوْفِهِ شَيْءٌ مِنَ القُرْآنِ كَالبَيْتِ الخَرِبِ

Maksud: “Orang yang tidak ada di dalam dadanya sepotong ayat ibarat Al-Quran adalah seperti rumah yang ditinggalkan kosong.” (Hadis Riwayat Tirmizi, no. 2913)

Al-Quran tidak pernah meninggalkan manusia, sebaliknya manusialah yang sentiasa meninggalkannya. Bahkan, kadang-kadang Al-Quran hanya akan dicari apabila perlu sahaja.

Apabila sedih, baru seseorang itu akan mencari Al-Quran untuk membaca potongan ayat bagi menghilangkan kesedihan. Apabila ada kematian, barulah seseorang itu akan mengambilnya bagi membaca Surah Yaasin.

Wahai pembaca, elakkan mempunyai sifat yang sedemikian. Manusia pun benci dan tidak suka akan sifat seseorang yang mencari kawan apabila perlu dan meninggalkannya apabila senang. Bagaimana jika anda yang diperlakukan begitu, pasti marah bukan?

Justeru, buat seorang penghafaz Al-Quran, pastinya kalam-kalam Allah ini menjadi teman dan sahabatnya saat susah dan juga senang. Ramai yang sedar mengenai kelebihan dan ganjaran besar yang akan diperoleh oleh mereka yang menghafaz Al-Quran.

Status Hadis Membawa Ahli Keluarga Ke Syurga

Antara hadis yang popular dan sering meniti di bibir bagi dijadikan pembakar semangat untuk menghafaz Al-Quran ialah mereka akan diberikan ganjaran yang boleh menarik 10 orang ahli keluarga untuk bersama-sama memasuki syurga.

Maksud: “Barangsiapa yang membaca dan menghafal al-Quran lalu menghalalkan yang halal di dalamnya dan mengharamkan yang haram di dalamnya, nescaya Allah akan memasukkannya dengan sebab itu ke dalam jannah dan menerima syafaatnya untuk 10 orang daripada keluarganya yang kesemuanya mesti masuk ke dalam neraka.”

Imam al-Tirmizi dan Baihaqi mengatakan hadis ini sebagai dhaif kerana jalur perawi yang tidak jelas dalam periwayatannya.

Tambah mereka lagi, salah seorang yang meriwayatkan hadis ini adalah lemah jalurnya dan dia seorang yang dhaif dalam meriwayatkan hadis. Beliau ialah Hafs bin Sulaiman.

Justeru, hadis ini adalah lemah kerana perawinya yang dhaif dan tidak jelas jalurnya. Banyak hadis lain berkenaan kelebihan menghafal al-Quran, namun berkenaan 10 orang ahli keluarga yang bakal ditarik bersama-sama ke syurga adalah lemah.

Walau bagaimanapun, terdapat sebuah hadis yang syawahid (menyokong kepada suatu hadis tersebut), yang telah dinyatakan oleh syeikh Syu’aib al-Arnaouth.

Hadis tersebut ialah yang diriwayatkan oleh Buraidah Al-Aslamiy RA, Nabi SAW bersabda – “Akan dipakaikan di kepalanya mahkota dan kedua ibu bapanya akan diberi perhiasan yang tidak boleh dinilai oleh penduduk dunia. Lalu, mereka bertanya: “Mengapa kamu diberi perhiasan seperti ini” Allah menjawab: “Kerana anak kamu mempelajari Al-Quran.” Kemudian dikatakan kepadanya: “Bacalah dan naiklah ke tingkat syurga dan bilik-biliknya.” Dia akan terus naik selama dia membaca (ayat Al-Quran).” (Hadis Riwayat Ahmad, no. 22950)

Tuntasnya, hadis berkenaan menarik 10 orang ahli keluarga ke syurga sebagai syafaat ke atas penghafaz A-Quran itu adalah dhaif. Justeru, amalan menghafaz Al-Quran itu perlu dilakukan dengan ikhlas dan ibu bapa perlu mendidik anak-anak mereka menghafaz bukan untuk kepentingan diri sendiri tetapi kebaikan dunia dan akhirat mereka.

Wallahu a’alam.

Sumber:
Mufti Wilayah


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami