Ibadah

Status Hadis – Hati Tidak Akan Mati Jika Menghidupkan Malam Raya Dengan Ibadah

Oleh Natirah Azira  •  23 May 2020  •  3 min baca

Tinggal beberapa jam lagi sebelum kita menyambut ketibaan Syawal. Terbenamnya matahari pada hari ini menandakan berakhirlah Ramadan yang telah kita jalani selama sebulan. Mungkin bercampur baur perasaan yang muncul – sayu kerana Ramadan telah pergi dalam masa sama gembira kerana telah sempurna ibadah puasa di bulan Ramadan pada tahun ini.

Jika Ramadan datang bersama anjuran menghidupkan malam dengan solat Tarawih serta membaca Al-Quran, maka pada malam 1 Syawal juga kita dianjurkan untuk beribadah serta memperbanyakkan doa.

Imam Syafie berkata: “Telah sampai kepada kami bahawa doa dimakbulkan pada lima malam – Malam Jumaat, malam Aidiladha, malam Aidilfitri, malam pertama bulan Rejab dan malam Nisfu Syaaban”

Walau bagaimanapun, terdapat juga hadis yang perlu diberi perhatian kerana tarafnya yang dhaif iaitu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Umamah Al-Bahili:

مَنْ قَامَ لَيْلَتَيْ الْعِيدَيْنِ مُحْتَسِبًا لِلَّهِ لَمْ يَمُتْ قَلْبُهُ يَوْمَ تَمُوتُ الْقُلُوبُ

Maksudnya: “Sesiapa yang menghidupkan dua malam hari raya (aidiladha dan aidilfitri) kerana mengharapkan ganjaran kerana Allah. Maka hatinya tidak akan mati pada hari di mana matinya hati-hati (manusia).” (Riwayat Ibnu Majah, no. 1782)

Sanad hadis ini dinilai dhaif kerana terdapat perawi yang dhaif iaitu Baqiah bin Walid. Manakala Imam Al-Baihaqi menukilkan hadis ini dalam beberapa kitabnya sebagai hadis yang mauquf. Syeikh Syua’ib Al-Arnaut juga mengatakan bahawa hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah ini adakah hadis yang dhaif.

Selain itu, ada sebuah lagi hadis yang mempunyai makna yang hampir sama. Ia diriwayatkan oleh Imam Al-Thabrani daripada Ubadah bin Somit bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ َصلَّى لَيلَةَ الفِطْرِ وَالأَضْحَى لَمْ يَمُتْ قَلْبُهُ يَومَ تَمُوتُ القُلُوب

Maksudnya : “Sesiapa yang mendirikan solat (sama ada solat fardhu atau sunat) pada malam hari raya aidilfitri dan aidiladha, maka hatinya tidak akan mati pada hari di mana matinya hati-hati (manusia).” (Riwayat Al-Tabarani, no.159 di dalam Al-Mu’jam Al-Awsat)

Hadis ini juga dikatakan sebagai hadis yang lemah oleh Al-Haithami. Ia disebabkan terdapat seorang perawi yang bernama Umar bin Harun Al-Balkhi yang lemah hafalannya dan dikritik hebat oleh kebanyakan pakar hadis di zamannya.

Sungguhpun hadis-hadis tentang menghidupkan malam raya ini kebanyakannya adalah hadis yang lemah, namun ia boleh dimasukkan di bawah kategori ‘fadhail amal’ yang tidak bersangkut paut dengan hukum hakam. Ia masih dibenarkan untuk beramal oleh jumhur ulama, namun tidak seharusnya disandarkan kepada perbuatan atau sunnah Nabi SAW.

Kesimpulannya, amalan yang baik seperti bersolat, zikir mengingati Allah dan bersedekah secara ikhlas dapat menghidupkan hati dengan cahaya keimanan. Ia tidak dihadkan kepada amalan pada malam-malam tertentu sahaja. Teruskan beristiqamah dalam melakukan amal kebaikan meskipun Ramadan akan pergi meninggalkan kita. Ingat, hakikat sebenar ibadah bukan kerana musim atau suasana tetapi kerana ingin menzahirkan keaatan kepadaNya.
Wallahua’lam.

Sumber:
Mufti Wilayah Persekutuan


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Psikologi di universiti yang sama. Seorang yang suka membaca pelbagai genre bahan bacaan terutama sejarah, sastera, motivasi dan psikologi.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami