Tokoh

Sirah Rasul 6: Nabi Ibrahim Pencari Kebenaran

Oleh Fieyzah Lee  •  24 May 2019  •  10 min baca

Setiap zaman akan ada golongan yang beriman dan ada juga golongan yang menyimpang dari jalan yang benar. Setiap kali perkara itu terjadi, Allah menghantar nabi dan juga rasul untuk menyeru semula manusia ke arah kebenaran.

Setelah kita menelusuri kisah Nabi Saleh a.s, masih wujud kaum yang menyembah berhala dan tidak beriman kepada Allah. Maka, Allah turunkan kepada kaum ini seorang lagi nabi iaitu Nabi Ibrahim, dari keturunan Nabi Saleh a.s.

Nama penuh beliau ialah Ibrahim bin Tarikh bin Nahar bin Sarugh bin Raghau bin Faligh bin Aabir bin Soleh bin Arfakhsyaz bin Saam bin Nuh a.s.

Nama ibu beliau adalah Buna binti Karibta dan dia termasuk dalam kalangan Bani Arfakhsyaz bin Saam bin Nuh. Nabi Ibrahim dilahirkan apabila usia ayahnya, iaitu Tarikh mencapai 75 tahun.

Melalui kitab tafsir Ibnu Kathir, ada dinyatakan umur keturunan Nabi Saleh, iaitu usia Tarikh sebanyak 250 tahun, Nahar ialah 148 tahun, Sarugh pula sebanyak 230 tahun, Raghau pula selama 239 tahun, Faligh pula 439 tahun dan Aabir pula hidup selama 464 tahun. Usia Nabi Ibrahim pula dikatakan sebanyak 200 tahun.

Nabi Ibrahim dilahirkan di Ghautbah, Damsyik atau kini dikenali sebagai Damaskus, Syria. Lebih tepat, beliau dikatakan dilahirkan di sebuah kampung bernama Barzah yang terletak di kaki gunung Qasian. Walau bagaimanapun, tiada dinyatakan tarikh yang tepat berkenaan kelahirannya.

Beliau telah lahir pada zaman Raja Namrud, iaitu raja yang paling zalim dan kejam di zaman pemerintahannya. Kisah raja Namrud yang telah mati diserang nyamuk juga amat terkenal di kalangan kita semua.

Bentuk fizikal Nabi Ibrahim dikatakan sangat sasa, keras dan besar. Ini telah dinyatakan melalui beberapa riwayat, antaranya ialah:

Dari Jabir, dari Rasulullah SAW, baginda bersabda yang bermaksud: “Aku diperlihatkan kepada para nabi, Musa jika diperhatikan maka tubuhnya seperti orang yang keras. Aku lihat Isa, jika diamati dia mirip seperti Urwah bin Mas’ud, Ibrahim jika diamati kulihat seperti panglima perang (maksudnya tinggi, besar dan gagah).” (Hadis Riwayat Imam Ahmad)

Apabila mencapai usia dewasa, Nabi Ibrahim dikatakan telah menikahi Sarah, iaitu anak perempuan kepada bapa saudaranya, Harun. Atau dalam erti kata lain, Sarah merupakan sepupunya.

Kisah Nabi Ibrahim dan penyembelihan anaknya, iaitu Ismail tersingkap dalam sejarah dan dijadikan ibadah korban setiap tahun sempena Hari Raya Aidil Adha. Pasti kita semua tidak lupa akan sirah ini, bukan?

Beliau juga telah diangkat sebagai salah seorang Rasul Ulul Azmi yang kedua. Keimanannya yang tinggi terhadap Allah dan ujian yang hebat dalam usahanya untuk menyampaikan dakwah merupakan antara sebab beliau diangkat sebagai Rasul.

Bahkan, ayahnya sendiri merupakan pembuat berhala. Beliau telah dihalau oleh ayahnya tatkala mengajaknya ke arah kebenaran.

وَإِذْ قَالَ إِبْرَاهِيمُ لِأَبِيهِ آزَرَ أَتَتَّخِذُ أَصْنَامًا آلِهَةً ۖ إِنِّي أَرَاكَ وَقَوْمَكَ فِي ضَلَالٍ مُّبِينٍ

“Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berkata kepada bapanya Aazar: “Patutkah ayah menjadikan berhala-berhala sebagai tuhan-tuhan? Sesungguhnya aku melihatmu dan kaummu dalam keadaan kesesatan yang nyata.” (Surah Al-An’am, 6:74)

Nabi Ibrahim telah digelar Khalilullah (kekasih/sahabat Allah) disebabkan oleh keyakinannya terhadap Allah dalam menjalani ujian yang diberikan.

Ibrahim Mencari Tuhan

Nabi Ibrahim tidak percaya kepada penyembahan berhala yang dilakukan oleh masyarakat Babilon kuno pada zaman itu. Bahkan, ada juga kepercayaan masyarakat yang menyembah unsur alam, iaitu bintang, bulan dan matahari.

Namun, beliau tidak mempercayai penyembahan tersebut, lalu beliau mencuba sendiri untuk melihat kepada unsur alam tersebut. Kisah ini lah yang ada disebutlkan dalam Al-Quran tentang proses Nabi Ibrahim mecari Tuhan.

Walau bagaimanapun, Nabi Ibrahim menolak kepercayaan kepada matahari tersebut kerana mereka akan hilang apabila sampai waktunya dan muncul apabila tiba waktunya. Hal ini jelas membuktikan bahawa ia hanyalah zat yang lemah yang pasti sedang diatur oleh zat yang Maha Kuasa.

Walau bagaimanapun, tatkala Nabi Ibrahim cuba menjelaskan kepada kaumnya, mereka tetap menolak. Bahkan, Nabi Ibrahim telah menjelaskan bahawa alam ini tidak layak untuk disembah kerana ia akan hilang apabila sampai waktunya.

Ia juga merupakan unsur yang dikawal berbeza dengan Allah yang merupakan zat yang abadi dan yang tetap ada tanpa mengalami zawal (hilang).

Hal ini ada diriwayatkan melalui kalam Allah yang berbunyi:

Mafhum: Maka ketika ia berada pada waktu malam yang gelap, ia melihat sebuah bintang (bersinar-sinar), lalu ia berkata: “Inikah tuhanku?” Kemudian apabila bintang itu terbenam, ia berkata pula: “Aku tidak suka kepada yang terbenam hilang.”

“Kemudian apabila dilihatnya bulan terbit (menyinarkan cahayanya), dia berkata: “Inikah tuhanku?” Maka setelah bulan itu terbenam, berkatalah dia: “Demi sesungguhnya, jika aku tidak diberikan petunjuk oleh tuhanku, nescaya menjadilah aku dari kaum yang sesat.”

Kemudian apabila dia melihat matahari sedang terbit (menyinarkan cahayanya), berkatalah dia: “Inikah tuhanku?” Ini lebih besar.” Setelah matahari terbenam, dia berkata pula: “Wahai kaumku, sesungguhnya aku berlepas diri (bersih) dari apa yang kamu sekutukan (Allah dengannya).”(Surah Al-An’am, 6: 76-78)

Penciptaan Kaabah

إِنَّ أَوَّلَ بَيْتٍ وُضِعَ لِلنَّاسِ لَلَّذِي بِبَكَّةَ مُبَارَكًا وَهُدًى لِّلْعَالَمِينَ

“Sesungguhnya Rumah Ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah yang di Makkah yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi umat manusia.” (Surah Al-i-Imran, 3:96)

Rumah ibadat pertama yang didirikan ialah Kaabah atau dikenali sebagai Baitullah. Ia dicipta di Tanah Haram oleh Ibrahim dan anaknya, Ismail. Menurut Imam Ali bin Abu Talib, Ibrahim a.s telah mendapat wahyu daripada Allah untuk membangunkan Kaabah di tempat itu.

Dikatakan juga bahawa kewujudan Kaabah tepat dengan satu garis lurus di bawah Baitul Makmur, iaitu tempat di mana para Malaikat tawaf (di langit).

Melalui sahih Bukhari dan Muslim, “Sesungguhnya negeri ini adalah negeri yang dimuliakan Allah sejak Allah menciptakan langit dan bumi. Maka negeri yang bertaraf mulia akan dimuliakan oleh Allah sehingga hari kiamat.”

Ini adalah sebagaimana yang dikatakan oleh para ulama’ salaf, bahawa di langit terdapat sebuah bait, iaitu rumah ibadah yang digunakan oleh penduduk langit untuk beribadah kepadaNya. Allah SWT memerintahkan Nabi Ibrahim untuk membangunkan sebuah rumah (Baitul Atiq) bagi para penduduk bumi seperti yang dimiliki oleh para malaikat di kawasan langit.

Apabila pembinaan itu telah selesai, Nabi Ibrahim a.s telah memerintahkan kepada Nabi Ismail untuk mengangkat batu yang elok untuk diletakkan di satu sudut. Walau bagaimanapun, Nabi Ismail tidak mempunyai daya kekuatan yang cukup untuk mengangkat batu yang lebih besar. Beliau pun pergi mencari batu lain yang sesuai dengan kekuatannya.

Pada ketika itu, Jibril a.s datang dengan membawa seketul batu. Pada asalnya batu tersebut berwarna putih berkilau seperti thaghumah, iaitu sebatang pohon bebunga putih yang tumbuh di kawasan pergunungan.

Namun, seiring dengan waktu, ia berubah menjadi hitam-kehitaman akibat daripada dosa manusia sendiri. Itulah batu yang dikenali sebagai Hajarul Aswad.

Nabi Ibrahim juga sedar bahawa di tempat itu tidak ada air yang mencukupi malah pohon dan tanaman juga tidak tumbuh, ibarat padang jarak padang terkukur.

Oleh hal yang demikian, beliau berdoa kepada Allah agar negeri itu dihormati dan menjadi aman sejahtera dengan limpahan rahmat-Nya. Melalui doanya juga beliau memohon supaya mereka yang melewati tanah itu adalah daripada bangsanya sendiri.

Ini adalah untuk menjaga kelestarian bahasa yang digunakan dalam perhubungan mereka agar segala dakwah dan ajaran yang disampaikan dapat diresap dengan sempurna.

Allah turut mengabulkan doa beliau dengan mengutuskan Nabi Muhammad sebagai nabi yang terakhir dari kalangan beliau sendiri. Malah, sifat dakwahnya telah dilakukan kepada segenap lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa dan warna kulit.

Kaabah pada hari ini bukan sahaja dikunjungi oleh manusia yang cuba melaksanakan ibadah Haji, malah setiap hari ia akan dikunjungi sebanyak 70 000 para malaikat untuk beribadah kepada Allah.

Nabi Ibrahim Pernah Berdusta

Hebatnya Nabi Ibrahim, sehingga Allah mengabulkan permintaannya. Nabi Muhammad juga telah lahir dari keturunannya sendiri.

Namun, tahukah anda, Nabi Ibrahim pernah berdusta sebanyak tiga kali di dalam hidupnya. Kisah ini ada diceritakan melalui riwayat Al-Bukhari yang bersanadkan Abu Hurairah.

Seperti yang kita ketahui, apabila tiba hari kiamat, manusia akan meminta agar diberikan syafa’at. Kita semua akan beratur bermula daripada Nabi Adam sehinggalah kepada Nabi Muhammad SAW.

Namun, ketika manusia sampai kepada Nabi Ibrahim a.s., mereka berkata: “Wahai Ibrahim, engkau adalah Nabi dan kekasih Allah dari penduduk bumi, syafa’atilah kami kepada Rabb-mu! Tidakkah kau lihat apa yang menimpa kami?”

Maka Ibrahim menjawab: “Sesungguhnya Rabb-ku pada hari ini marah dengan kemarahan yang tidak pernah marah seperti ini, dan tidak akan marah seperti ini sesudahnya, dan sesungguhnya aku telah berbohong tiga kali. Nafsi, nafsi, pergilah kalian kepada selainku, pergilah kalian kepada Musa a.s.!”

Apakah tiga perkara yang telah beliau dustakan itu?

#1 – Berdusta Sakit

فَقَالَ إِنِّي سَقِيمٌ

Mafhum: “Lalu berkata: “Sesungguhnya aku merasa sakit (tak dapat turut berhari raya sama)” (Surah As-Saffat, 37:89)

Diceritakan bahawa, kaumnya telah mengajak beliau untuk meraikan sebuah perayaan bersama. Namun dalam perayaan tersebut terkandung maksiat seperti penyembahan berhala dan minum arak. Beliau takut akan kemurkaan Allah. Oleh itu, beliau berbohong kepada kaumnya bahawa beliau sedang sakit.

Namun, di sini dinyatakan bahawa beliau bukanlah sakit fizikal, tetapi sakit hati dengan kemaksiatan yang telah dilakukan.

#2 – Berdusta Patung Yang Menghancurkan

قَالَ بَلْ فَعَلَهُ كَبِيرُهُمْ هَـٰذَا فَاسْأَلُوهُمْ إِن كَانُوا يَنطِقُونَ

Mafhum: “Ia menjawab: “(tidak) bahkan yang melakukannya ialah (berhala) yang besar di antara mereka ini! Maka bertanyalah kamu kepada mereka kalau-kalau mereka dapat berkata-kata.” (Surah Al-Anbiya, 21:63)

Setelah kaumnya pulang daripada perayaan tersebut, mereka melihat seluruh berhala telah hancur musnah. Mereka mengesyaki bahawa Nabi Ibrahim yang telah memusnahkan patung-patung tersebut kerana hanya beliau seorang sahaja yang tidak mengikuti perayaan tersebut.

Apabila ditanyakan kepada Ibrahim, beliau menafikan perbuatan itu adalah darinya, malah terus menuding ke arah sebuah patung yang paling besar kerana, terdapat kapak pada tangannya.

Namun, kaum itu mengatakan bahawa beliau telah berdusta kerana tidak mungkin patung yang tidak boleh bergerak mampu memusnahkan patung yang lain.

Nabi Ibrahim terus membalas dengan mengucapkan: “Mengapa disembah benda yang tidak bernyawa yang tidak mampu melindungi dirinya sendiri apatah lagi orang yang turut menyembahnya.”

Disebabkan kisah inilah, beliau telah diarahkan untuk dibakar hidup-hidup di atas api yang membara. Namun, api tersebut tidak membakarnya, malah beliau terselamat. Kisah ini ada tercatat menerusi al-Quran, Surah as-Saffat ayat 95 hingga 98 dan Surah al-Anbiya ayat 69.

#3 – Berdusta Saudara Perempuannya

Ketika sedang melakukan hijrah bersama dengan isterinya, Sarah, seorang raja telah mengetahui pergerakannya. Raja itu mengarahkan pembantunya untuk bertanya kepada Ibrahim perihal perempuan itu. Namun, Ibrahim bimbang jika raja tersebut akan mengapa-apakan isterinya. Oleh yang demikian, beliau telah menipu dengan menjawab bahawa Sarah itu ialah saudara perempuannya.

Apabila Sarah pergi menghadap raja, raja tersebut cuba melakukan perbuatan yang kurang elok terhadapnya, namun belum sempat dia melakukan apa-apa, tangannya tiba-tiba menjadi kaku seakan-akan lumpuh.

Raja tersebut kemudian menyuruh Sarah berdoa kepada tuhannya supaya memulihkannya dan doa beliau dimakbulkan. Namun, raja tersebut sekali lagi cuba untuk melakukan perbuatan buruk ke atasnya dan sekali lagi tangannya menjadi kaku.

Sarah diminta berdoa kepada tuhannya untuk menyembuhkan raja tersebut dan beliau berjanji untuk tidak melakukannya lagi. Sarah berdoa kepada Allah supaya menyembuhkan raja tersebut. Akhirnya, raja tersebut kembali pulih seperti biasa dan beliau telah melepaskan Sarah. Sarah dilepaskan kepada Ibrahim dan diberikan Hajar sebagai hamba.

Mengenai riwayat ini, para ulama’ berpendapat bahawa saudara perempuan yang dimaksudkan ialah sebagai saudara seagama. (Hadis Riwayat Bukhari)

Melalui tiga kisah ini, Nabi Ibrahim sebenarnya tidak pernah menipu untuk kepentingan diri sendiri, namun dia hanya mengatakan perkara benar yang mempunyai isi tersirat.

Kewafatannya

Berdasarkan beberapa riwayat, Nabi Ibrahim wafat ketika usianya mencapai 200 tahun akibat bersedih dengan kematian isterinya, Sarah.

Sarah yang dikatakan sebagai perempuan yang tidak boleh melahirkan anak akhirnya melahirkan seorang putera yang diberi nama Ishak. Kelahirannya dikatakan apabila Nabi Ibrahim menjangkau umur 99 tahun.

Sarah dikatakan telah meninggal dunia ketika umurnya berusia 127 tahun. Nabi Ibrahim sangat sedih dengan kematian isterinya sehingga jatuh sakit. Ada riwayat lain yang mengatakan bahawa beliau meninggal ketika berusia 170 tahun dan 190 tahun. Beliau telah dikebumikan berhampiran dengan makam isterinya.

Wallahu a’lam.

Kesimpulan

Banyak hikmah yang boleh didapati melalui kisah Nabi Ibrahim. Apa yang telah diceritakan di atas diringkaskan semula seperti di bawah:

1. Nabi Ibrahim berusaha mencari Tuhan meskipun sukar. Beliau bukan hanya menggunakan logik akal, namun hati yang suci yang dicampakkan cahaya sehingga beliau dapat melihat kebenaran di akhirnya.

2. Nabi Ibrahim juga berusaha menyebarkan kepercayaan Tauhid sesudah memperoleh hidayah buat diri sendiri.

3. Nabi Ibrahim adalah orang yang memulakan pembinaan tempat ibadah sehingga ia boleh dikunjungi hingga ke saat ini oleh ribuan manusia.

Semoga dengan mengetahui kisah nabi dan rasul, kita lebih menghargai apa jua hasil tinggalan yang masih kekal sehingga ke hari ini terutamanya pegangan tauhid dan juga tempat ibadah Kaabah dan Masjidil Haram.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fieyzah Lee

Fieyzah Lee

Merupakan seorang pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami