Tokoh

Sirah Rasul 5: Unta Sebagai Mukjizat Buat Nabi Saleh A.S

Oleh Fieyzah Lee  •  20 May 2019  •  6 min baca

وَإِلَىٰ ثَمُودَ أَخَاهُمْ صَالِحًا ۗ قَالَ يَا قَوْمِ اعْبُدُوا اللَّـهَ مَا لَكُم مِّنْ إِلَـٰهٍ غَيْرُهُ

“Dan kepada kaum Thamud (kami utuskan) saudara mereka: Nabi Soleh. Ia berkata: “Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tiada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya.” (Surah Al-A’raf, 7:73)

Melalui sirah Nabi Hud sebelum ini, kita dapat mengetahui tentang bangsa Arab yang pertama iaitu Kaum Aad. Kaum Thamud pula merupakan bangsa Arab yang telah lahir setelah mereka. Kaum Thamud merupakan antara bangsa yang sangat terkenal dalam sejarah. Nama Thamud berasal daripada nama moyang mereka sendiri, iaitu Thamud bin Athir yang merupakan saudara Judais. Mereka adalah anak Athir bin Iram bin Saam bin Nuh a.s.

Kaum ini tinggal di Hajar, sebuah wilayah antara Hijaz dan Tabuk. Bangsa ini dikenali sebagai bangsa yang menyembah berhala. Kaum Thamud telah disebut sebanyak 26 kali di dalam Al-Quran. Mereka tidak mengambil iktibar daripada kisah Kaum Aad sebaliknya terus-menerus menyembah berhala.

Oleh hal yang demikian, Allah telah mengutus seorang nabi dari kalangan mereka sendiri untuk menyebarkan dakwah dan ajaran agama Allah, iaitu Nabi Saleh a.s.

Nama penuh beliau ialah Soleh bin Ubaid bin Maseh bin Ubaid bin Hadir bin Thamud bin Athir bin Iram bin Nuh a.s.

Tiada riwayat yang sahih berkenaan tarikh lahir dan kewafatannya. Begitu juga dengan tempat lahirnya. Namun, penceritaan Nabi Saleh dan Kaum Thamud telah diceritakan dalam beberapa surah, iaitu Surah Al-A’raf, Hud, an-Naml, Asy-Syu’ara, Qamar dan as-Syams.

Dakwah Nabi Saleh

Nabi Saleh a.s selalu mengingatkan kaumnya supaya meninggalkan aktiviti penyembahan berhala. Beliau juga sentiasa mengingatkan Thamud berkenaan nikmat-nikmat yang telah diberikan oleh Allah.

Kaum ini juga telah diberi nikmat dan kelebihannya yang tersendiri, iaitu kemampuan membina gedung dan rumah di bawah gunung dan bukit. Mereka boleh menebuk bukit-bukit tersebut dengan rapi untuk membina kediaman mereka.

وَاذْكُرُوا إِذْ جَعَلَكُمْ خُلَفَاءَ مِن بَعْدِ عَادٍ وَبَوَّأَكُمْ فِي الْأَرْضِ تَتَّخِذُونَ مِن سُهُولِهَا قُصُورًا وَتَنْحِتُونَ الْجِبَالَ بُيُوتًا ۖ فَاذْكُرُوا آلَاءَ اللَّـهِ وَلَا تَعْثَوْا فِي الْأَرْضِ مُفْسِدِينَ

Mafhum: “Dan kenanglah ketika Allah menjadikan kamu khalifah-khalifah sesudah kaum Aad dan ditempatkannya kamu di bumi, (dengan diberi kemudahan) untuk kamu mendirikan istana-istana di tanahnya yang rata, dan kamu memahat gunung-ganangnya untuk dijadikan rumah. Maka, kenangkanlah nikmat-nikmat Allah itu dan janganlah kamu bermaharajalela melakukan kerosakan di muka bumi.” (Surah Al-A’raf, 7:74)

Nabi Saleh telah menyampaikan dakwah secara terang-terangan dan lemah-lembut kepada kaumnya malah beliau tidak pernah menghina perbuatan kaumnya itu. Namun, beliau telah dianggap sebagai ahli sihir di atas dakwah yang dilakukannya kerana beliau mengetahui perkara yang tidak diketahui kaumnya.

Mafhum: “Mereka menjawab: “Sesungguhnya engkau ini hanyalah salah seorang dari golongan yang kena sihir.” (Surah As-Shu’ara, 26:153)

Malah, kaum Thamud ini telah menyuruh dan mencabar supaya Nabi Saleh membuat sesuatu yang tidak dapat dilakukan oleh manusia biasa sebagai bukti kenabiannya.

Unta Sebagai Mukjizat

Menurut pendapat para ahli tafsir, kaum Thamud telah dikumpulkan di suatu tempat yang turut dihadiri oleh Nabi Saleh. Beliau telah menyeru supaya kaumnya menyembah Allah dengan memberi nasihat dan juga peringatan.

Walau bagaimanapun, kaum ini ingkar malah turut menyuruh supaya dibuktikan kerasulannya dengan mengeluarkan unta di antara celah-celah batu keras tempat mereka berkumpul itu. Malah, unta tersebut telah diberi beberapa syarat dengan sifatnya yang tersendiri.

Kaum Thamud ini berjanji akan beriman kepada Allah jika Nabi Saleh berjaya melakukan cabaran tersebut. Nabi Saleh pun bangun dari tempat duduknya dan melakukan solat serta bermunajat kepada Allah supaya mengabulkan tuntutan mereka. Akhirnya, seekor unta betina yang cukup syarat dan sifat telah berjaya dikeluarkan melalui batu tersebut.

Hal ini ada diceritakan melalui kalam Allah yang bermaksud:

وَيَا قَوْمِ هَـٰذِهِ نَاقَةُ اللَّـهِ لَكُمْ آيَةً فَذَرُوهَا تَأْكُلْ فِي أَرْضِ اللَّـهِ وَلَا تَمَسُّوهَا بِسُوءٍ فَيَأْخُذَكُمْ عَذَابٌ قَرِيبٌ

“Dan wahai kaumku! Ini adalah unta betina dari Allah untuk kamu sebagai tanda (mukjizat) yang membuktikan kebenaranku. Oleh itu, biarkanlah dia mencari di bumi Allah dan janganlah kamu menyentuhnya dengan sesuatu yang menyakitinya, (kalau kamu menyakitinya) maka kamu akan ditimpa azab seksa yang dekat masa datangnya.” (Surah Hud, 11:64)

Walau bagaimanapun, apabila mereka telah melihat dengan mata kepala mereka sendiri, masih ramai di antara mereka yang ingkar dan tidak mahu beriman malah menganggap bahawa Nabi Saleh merupakan ahli sihir yang sangat nyata.

Seorang lelaki dalam kalangan kaumnya yang telah melakukan penentangan secara terbuka ialah Zuab bin Amru bin Lubaid bin Habbab, iaitu pemilik kepada berhala yang bernama Rabab bin Sha’ru bin Jalmas. Sepupunya yang bernama Syihaab bin Khulaifah pada asalnya mengakui kebenaran Saleh a.s namun Zuab telah mempengaruhinya supaya terus menyembah berhala.

Walau bagaimanapun, Nabi Saleh tetap bersyukur kerana melalui peristiwa tersebut ada juga sebahagian daripada kaumnya yang beriman kepada Allah.

Pembunuhan Unta Betina

Dikatakan melalui Tafsir Mafatih al-Ghaib bahawa susu unta tersebut boleh digantikan sebagai air jika daerahnya tiada air ketika itu, malah ia dikatakan cukup buat semua penduduknya.

Unta itu tidak dilahirkan dari mana-mana unta yang lain, namun ia dikatakan boleh melahirkan anaknya sendiri.

Walau bagaimanapun, beberapa orang ketua Kaum Thamud mengadakan pertemuan untuk membunuh unta milik Nabi Saleh. Mereka memutuskan bahawa Qadar bin Salaf untuk memenggal kepala unta tersebut.

Mafhum: “Dan di bandar (tempat tinggal kaum Thamud) itu, ada sembilan orang yang semata-mata melakukan kerosakan di bumi (dengan berbagai-bagai maksiat) dan tidak melakukan kebaikan sedikit pun.” (Surah An-Naml 27:48)

Dikatakan bahawa pembunuhan untuk itu dilakukan secara beramai-ramai dan diketuai oleh Qadar bin Salaf. Ia dimulai dengan memukul urat di bahagian tumit kaki sehingga ia rebah dan mereka segera merejamnya menggunakan pedang.

Mereka juga telah merancang untuk membunuh Nabi Saleh dan keluarganya, namun Allah telah menggagalkan rancangan jahat mereka itu dengan menurunkan hujan batu. Peristiwa ini dikatakan berlakunya pada hari Khamis. Kemudian wajah-wajah mereka berubah menjadi kuning-kekuningan seperti mereka yang terkena penyakit.

Pada hari kedua kejadian itu, wajah mereka bertukar menjadi warna merah-kemerahan. Apabila masuk hari ketiga, iaitu hari Sabtu, muka mereka berubah menjadi warna hitam.

Apabila masuk hari Ahad, kawasan itu telah mengalami gempa bumi yang sangat dahsyat dan dalam waktu yang singkat sahaja mereka bergelimpangan mengalami kematian. Para ahli mufassir mengatakan bahawa tiada seorang pun yang terselamat daripada tragedi itu.

Kewafatan Nabi Saleh a.s

Para ulama’ menerangkan bahawa, Nabi Saleh a.s telah berhijrah ke Tanah Haram dan menetap di sana sehingga wafat.

Walau bagaimanapun, tiada dicatatkan tarikh yang tepat berkenaan kewafatannya.

Kesimpulan

Beruntungnya kita yang telah dilahirkan dalam Islam ini, tidak perlu lagi mencari bukti untuk membenarkan agama ini. Hanya perlu membelek sahaja Al-Quran dan As-Sunnah sebagai panduan.

Umat Nabi Saleh meminta syarat yang terlalu banyak dan pelik sebagai bukti kenabian dan agama yang dibawa. Namun, apabila bukti telah ada di hadapan mata, masih ada yang menolak ajaran tersebut sehingga Allah menimpakan bencana sebagai peringatan kepada mereka.

Malah, sebagai umat Nabi Muhammad yang hidup di zaman ini, kita perlu bersyukur kerana setiap dosa yang kita lakukan, Allah tidak menimpakan bala dengan serta-merta, malah menangguhkannya sehingga ke hari akhirat. Ini adalah syafaat yang kita terima daripada Baginda SAW.

Tafsir Ibnu Kathir


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fieyzah Lee

Fieyzah Lee

Merupakan seorang pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami