Tokoh

Sirah Rasul 4: Ribut Pasir, Azab Yang Menimpa Kaum Nabi Hud

Oleh Fieyzah Lee  •  17 May 2019  •  9 min baca

وَإِلَىٰ عَادٍ أَخَاهُمْ هُودًا ۗ قَالَ يَا قَوْمِ اعْبُدُوا اللَّـهَ مَا لَكُم مِّنْ إِلَـٰهٍ غَيْرُهُ ۚ أَفَلَا تَتَّقُونَ

“Dan kepada kaum Aad, (Kami utuskan) saudara mereka: Nabi Hud. Ia berkata: “Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tidak ada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Oleh itu, tidakkah kamu mahu bertaqwa kepadaNya?” (Surah Al-A’raf, 7:65)

Setelah kita menyingkap sirah kerasulan Nabi Nuh yang telah diangkat sebagai Rasul Ulul Azmi pertama kerana usahanya yang sangat tinggi untuk menyampaikan dakwah, kini, kita beralih kepada zaman selepas banjir besar berlaku, iaitu zaman Nabi Hud.

Setelah surutnya banjir, Nabi Nuh telah membina penempatan baru bersama kaumnya. Umatnya telah bertebaran di muka bumi untuk membina hidupan baru. Namun, wujudnya kaum baru yang telah melakukan dosa yang sama buat pertama kali setelah kejadian banjir besar itu, iaitu menyembah berhala.

Melalui Saam, anak kepada Nabi Nuh, lahirnya seorang nabi yang bernama Hud. Jelas di sini bahawa Nuh merupakan moyang kepada beliau. Tugas beliau adalah untuk berdakwah kepada kaumnya sendiri, iaitu kaum Aad yang telah melakukan kemungkaran di muka bumi ini.

Nama penuh beliau ialah, Hud bin Syalikh bin Arfakhsyaz bin Saam bin Nuh a.s. Menurut catatan Ibnu Jarir, ada juga yang berpendapat namanya ialah Hud bin ‘Aabir bin Syalikh bin Arfakhsyaz bin Saam bin Nuh. Malah dalam pendapat lain mengatakan namanya Hud bin Abdullah bin Rabah al-Jarud bin ’Aad bin Aush bin Iram bin Saam bin Nuh.

Jika kita lihat melalui sabda Rasulullah yang lepas, bangsa Arab telah datang daripada anak Nabi Nuh, iaitu Saam. Maka, Nabi Hud termasuk dalam bangsa Arab dari golongan ‘Aad bin Aush bin Syam bin Nuh.

Menurut riwayat Abu Zar, terdapat empat orang nabi yang berasal dari keturunan bangsa Arab, iaitu Hud, Soleh, Syuaib dan Muhammad SAW. Dikatakan juga bahawa Nabi Hud merupakan orang pertama yang menggunakan loghat Arab. Wallahu a’lam.

Nabi Hud telah tinggal di Al-Ahqaf, iaitu di wilayah sekitar Gunung Ramal yang terletak di Yaman. Dalam al-Quran, ada sebuah surah yang dinamakan dengan Ahqaf. Ia bermaksud bukit-bukit pasir (boleh rujuk ayat 21). Melalui surah ini juga, Allah telah menceritakan mengenai kaum Nabi Hud yang telah ingkar dengan risalahnya sehingga diturunkan azab yang sangat besar.

Menurut pandangan Ibnu Zaid, Al-Ahqaf ialah satu kawasan yang banyak bukit dan padang pasir. Manakala, menurut pandangan Ikrimah, ia juga merujuk kepada makna gua-gua yang berada di padang pasir tersebut.

Saidina Ali bin Abi Talib pula mengatakan bahawa al-Ahqaf merupakan nama sebuah lembah yang terdapat di Yaman yang juga dikenali sebagai Barhud dan pandangan yang terakhir, iaitu Imam Qatadah, ia merujuk kepada sebuah wilayah di Yaman yang diberi nama as-Syarh. Wallahu a’lam.

Nama Hud juga ada disebut sebanyak 7 kali di dalam al-Quran dan kisahnya ada disebut menerusi beberapa surah, iaitu As-Syu’ara, Al-Ahqaf, Al-A’raf dan Fussilat.

Beliau dikatakan telah hidup sehingga 130 tahun. Namun, tiada dinyatakan riwayat yang sahih berkenaan tarikh lahir dan kewafatannya. Mengikut perkiraan ahli sejarah, jangka hayat kehidupannya ialah antara tahun 2450 sehingga 2320 sebelum masihi.

Beliau telah dikatakan wafat di bahagian Timur Hadramaut atau kini dikenali sebagai Kota Yaman. Makamnya juga dikatakan berada di sana.

Kelebihan Kaum ‘Aad

Kaum Nabi Hud sangat berbeza dengan kaum sebelumnya berdasarkan nikmat dan kelebihan yang telah Allah kurniakan kepada mereka. Dikatakan dalam tafsir Ibnu Kathir, kaum ini terkenal sebagai umat yang sangat bengis, berhati keras dan kafir. Kaum ini gigih mempertahankan tradisi mereka dalam penyembahan berhala.

Allah juga mengurniakan perwatakan yang menarik, kekuatan yang luar biasa dan kelebihan nikmat kepada mereka. Golongan ini dikatakan sangat angkuh dengan kelebihan mereka sendiri. Kelebihan kaum ini ada disebut melalui firman Allah:

وَاذْكُرُوا إِذْ جَعَلَكُمْ خُلَفَاءَ مِن بَعْدِ قَوْمِ نُوحٍ وَزَادَكُمْ فِي الْخَلْقِ بَسْطَةً ۖ فَاذْكُرُوا آلَاءَ اللَّـهِ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

“Dan kenanglah ketika Allah menjadikan kamu khalifah-khalifah sesudah kaum Nabi Nuh, dan Allah telah menambahkan kamu kelebihan (dan kekuatan) pada bentuk kejadian tubuh kamu. Maka kenanglah akan nikmat-nikmat Allah supaya kamu berjaya.” (Surah Al-A’raf 7:69)

Hal ini menyebabkan, kaum ini sinonim dengan pembinaan bangunan-bangunan, benteng, perindustrian dan sistem perparitan. Saliran perparitan ini telah dibina untuk mengalirkan sumber air kepada hasil tanaman mereka. Kaum ini juga ada disebut dalam sejarah Mesopotamia. Malah dalam Al-Quran, Allah juga ada menyebut mengenai ketamadunan mereka.

أَلَمْ تَرَ كَيْفَ فَعَلَ رَبُّكَ بِعَادٍ
إِرَمَ ذَاتِ الْعِمَادِ

Mafhum: “(Kami tetap akan membinasakan orang-orang yang menentangmu wahai Muhammad), tidakkah engkau perhatikan, bagaimana Tuhanmu telah melakukan terhadap kaum Aad (yang kufur derhaka). Iaitu penduduk ‘Iram’ yang mempunyai bangunan-bangunan yang tinggi tiangnya (sesuai dengan penduduknya).” (Surah Al-Fajr, 89:6-7)

Kaum ini juga telah menyembah berhala yang diberi nama Shamad, Shamud dan Hirr. Ia diperbuat daripada batu, tongkol dan juga tombok kayu. Disebabkan oleh kealpaan mereka inilah, Allah telah menimpakan kebinasaan kepada mereka dalam bentuk ribut padang pasir.

Menurut kajian yang telah dibuat oleh Pihak NASA pada tahun 1990, mereka telah menemui kota yang hebat, binaan yang besar dan sistem perparitan di bawah timbunan padang pasir tersebut. Kota tersebut dijangka boleh memuatkan lebih kurang 2000 penduduk. Ini membuktikan bahawa mereka mempunyai sebuah ketamadunan yang hebat pada suatu zaman dahulu.

Dakwah Hud Kepada Kaumnya

Sebelum Allah menghantar bala kepada mereka, Allah memberi peluang kepada hambaNya untuk bertaubat dengan menghantar Nabi Hud untuk berdakwah.

قَالَ يَا قَوْمِ لَيْسَ بِي سَفَاهَةٌ وَلَـٰكِنِّي رَسُولٌ مِّن رَّبِّ الْعَالَمِينَ

Mafhum: “Nabi Hud menjawab: “wahai kaumku! Tidak ada padaku sebarang kebodohan, tetapi aku adalah seorang Rasul dari Tuhan sekalian alam.” (Surah al-A’raf, 7:67)

Kaum Aad telah diperintah untuk menyembah Allah, mentaati dan memohon ampun kepadaNya dan Allah berjanji akan memberi kebaikan di dunia dan akhirat kepada mereka. Allah juga telah mengancam dengan azab dan bencana yang sangat berat kepada mereka sama ada di dunia mahupun di akhirat kelak jika mereka ingkar.

Nabi Hud telah menyampaikan dakwah dengan memberi nasihat yang baik kepada mereka dengan penuh kasih sayang. Nabi Hud juga dikatakan tidak mengharapkan balasan atau upah daripada kaumnya kerana Allah sendiri yang akan membalasnya.

يَا قَوْمِ لَا أَسْأَلُكُمْ عَلَيْهِ أَجْرًا ۖ إِنْ أَجْرِيَ إِلَّا عَلَى الَّذِي فَطَرَنِي ۚ أَفَلَا تَعْقِلُونَ

Mafhum: “Wahai kaumku! Tiadalah aku meminta sebarang upah daripada kamu tentang (ajaran yang aku sampaikan) itu. Upahku hanyalah dari Allah yang menciptakan aku; maka mengapa kamu tidak mahu menggunakan akal (untuk mengetahui kebenarannya?)” (Surah Hud, 11:51)

Namun, kaum Aad beranggapan bahawa Nabi Hud seorang yang tidak waras kerana dakwahnya tidak disertai dengan bukti yang kukuh. Bagi mereka, tradisi penyembahan berhala tidak akan ditinggalkan begitu sahaja hanya disebabkan pengaruh yang telah dibawa oleh Hud.

Mafhum: “Mereka berkata: “wahai Hud! Engkau tidak membawa kepada kami sebarang keterangan yang membuktikan kebenaranmu, dan kami tidak akan meninggalkan penyembahan tuhan-tuhan kami dengan sebab kata-katamu itu! Dan kami tidak sekali-kali percaya kepadamu! (Surah Hud, 11:53)

Akhirnya, Nabi Hud telah mengatakan bahawa, tuhannya akan menimpakan sesuatu yang amat dahsyat kepada mereka. Jika kaumnya percaya bahawa berhala itu merupakan tuhan yang boleh melakukan apa sahaja, sudah tentu Hud telah lama diapa-apakan. Malah, Hud tidak perah takut dengan berhala tersebut kerana beliau percaya bahawa Allah itu yang melindunginya.

Mafhum: “Nabi Hud menjawab: “Sesungguhnya aku menyeru Allah menjadi saksi tentang kebenaranku, dan kamu juga saksikanlah bahawa aku bersih dari dosa perbuatan syirik kamu.” (Surah Hud, 11:54)

Kaum Nabi Hud tetap berdegil dan terus-menerus mencabar Hud supaya Allah menurunkan azab kepada mereka jika benar agamanya wujud.

Mafhum: “Mereka berkata; “Adakah engkau datang kepada kami supaya kami hanya menyembah Allah semata-mata, dan meninggalkan apa yang pernah disembah oleh datuk nenek kami? (Kami tidak akan menurut) maka datangkanlah azab yang engkau anjikan kepada kami, jika betul engkau dari orang-orang yang benar.” (Surah Al-A’raf, 7:70)

Ribut Pasir Memusnahkan Kaum Aad

وَلَمَّا جَاءَ أَمْرُنَا نَجَّيْنَا هُودًا وَالَّذِينَ آمَنُوا مَعَهُ بِرَحْمَةٍ مِّنَّا وَنَجَّيْنَاهُم مِّنْ عَذَابٍ غَلِيظٍ

Mafhum: “Dan apabila datang azab Kami, Kami selamatkan Nabi Hud beserta dengan umatnya yang beriman, dengan rahmat dari Kami; dan kami selamatkan mereka dengan azab yang keras” (Surah Hud, 11:58)

Kaum ini telah meminta supaya disegerakan azab oleh Allah kerana mereka tidak percaya dan beriman denganNya. Nabi Hud terus berdoa kepada Allah dengan doanya yang telah dirakam dalam al-Quran pada surah Al-Mukminun ayat 39 hingga 41.

Menurut kitab tafsir Ibnu Kathir, sebelum Allah menimpakan azab kepada mereka, Allah telah menahan hujan dan memberi kemarau kepada kaumnya selama tiga tahun. Oleh itu, kaum ini berusaha untuk mencari tempat yang sesuai bagi meneruskan kelangsungan hidup. Mereka dikatakan telah berpindah ke Tanah Haram dan Baitullah.

Penempatan yang baru tersebut didiami oleh Bangsa Mamaliq yang merupakan kelompok etnik yang mempunyai salasilah dengan Mu’liq bin lawuz bin Saam bin Nuh. Penempatan tersebut telah dijadikan tempat kediaman bagi kaum Aad.

Qail bin Unuz telah dilantik sebagai pemimpin mereka. Setiap hari mereka berdoa agar diturunkan hujan. Tidak lama kemudian, datangnya awan hitam dari tiga warna, iaitu putih, merah dan hitam.

Kemudian, kedengaran suara dari langit yang menyuruh supaya Qail memilih salah satu daripada awan tersebut. Qail menganggap bahawa awan hitam itu membawa hujan, maka dia memilih awan tersebut.

Namun, awan itu merupakan azab yang telah ditimpakan oleh Allah kepada mereka. Kisah ini ada disebut menerusi firman Allah:

Mafhum: “Maka apabila mereka melihat azab itu sebagai awan yang menghala ke lembah-lembah mereka, mereka berkata: “Ini ialah awan yang akan membawa hujan kepada kita!” (mendengarkan kata-kata yang demikian, Nabi Hud berkata): “Tidak! Bahkan itulah (azab) yang kamu minta disegerakan kedatangannya, iaitu angin yang membawa azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” (Surah Al-Ahqaf, 46:24)

Kisah yang sama juga ada diceritakan melalui beberapa riwayat, oleh Imam Ahmad di dalam musnadnya berkenaan kedatangan awan-awan tersebut.

Beberapa riwayat mengatakan bahawa angin tersebut merupakan puting beliung yang amat kencang dan dingin dan ada juga mengatakan ia seperti ribut pasir yang sangat kuat yang telah menyebabkan semuanya hancur musnah dan menerbangkan manusia yang ingar.

Kejadian ini juga menyebabkan kota mereka telah hilang atau tertimbus akibat pasir tersebut. Tragedi ini dikatakan berlangsung selama lapan hari secara berterusan.

Mafhum: “Yang diarahkannya menyerang mereka tujuh malam lapan hari terus-menerus; (kalaulah engkau menyaksikannya) maka engkau akan melihat kaum itu bergelimpangan mati, seolah-olah mereka: batang-batang pohon kurma yang (tumbang dan) lompang.” (Surah Al-Haqqa 69:7)

Kesimpulan

Melalui sirah Nabi Hud ini, kita dapat melihat bahawa beliau merupakan bangsa Arab pertama yang telah lahir dan menyeru kaumnya untuk kembali kepada Allah. Jika dilihat sebelum ini, kaum Nabi Nuh yang telah ditenggelamkan melalui bencana banjir besar, namun akibat lupa dengan sejarah yang berlaku, maka tradisi penyembahan berhala terjadi lagi.

Allah terpaksa menurunkan bencana kepada mereka disebabkan keingkaran yang berlaku. Mereka yang ditimpakan bala tersebut suatu masa juga merupakan hamba Allah yang diberikan kelebihan dan nikmat yang banyak, namun kerana kelalaian yang berpanjangan, akhirnya Allah menghukum mereka.

Kisah-kisah sebegini bukanlah kisah biasa yang berlaku, seterusnya perlu dilupakan. Iktibar dan hikmah perlu digali agar kita dapat mengambil pelajaran.

Ustaz Auni; Kisah Nabi Hud
Kitab Ibnu Kathir: Kisah Para Nabi, Teladan bagi Orang Berakal


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fieyzah Lee

Fieyzah Lee

Merupakan seorang pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami