Gaya Hidup

Siapkah Kita Menghadapi Kematian Yang Datang Tiba-Tiba

Oleh Fizah Lee  •  27 Feb 2020  •  3 min baca

Tiada istilah mati mengejut kerana kita semua telah diberi berita dan perkhabaran mengenai kematian. Setiap dari kita telah mengetahui akan kematian yang bakal datang sama ada cepat atau lambat. Bezanya ialah adakah kita menyedari akan hal tersebut atau tidak.

Sejak kebelakangan ini, kita disapa dengan berita kematian orang-orang ternama yang meninggal secara tiba-tiba. Tiada angin, tiada ribut, tiba-tiba sahaja mereka telah dijemput Ilahi.

Perkhabaran ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada kita semua terutamanya apabila amalan sepanjang kehidupan mereka satu persatu didedahkan dan mendapat perhatian umum. Semestinya kematian yang baiklah yang akan dicemburui ramai.

Pengakhiran yang disebut sebagai husnul khatimah ialah yang sedang dikejar dan didambakan oleh mereka yang percaya bahawa akhirat ialah alam abadi.

“Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan); maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka dikemudiankan walau sesaat pun dan tidak dapat pula mereka didahulukan.” (Surah Al-A’raf, 7:34)

Setiap yang bernyawa di muka bumi ini ada penamatnya. Seperti kata orang-orang tua, semuanya pasti ada tarikh luput sendiri.

Imam Al-Khatib Al-Baghdadi ada menukilkan kata-kata yang pernah diucapkan oleh Abu Abdullah Ahmad bin Ayyub melalui Iqtidha’ al-Ilm al-‘amal, 106:

“Peliharalah keutamaan rukukmu pada waktu lapang disebabkan kematian boleh datang kepada kamu secara tiba-tba. Berapa ramai orang yang sihat dan tidak sakit dirinya boleh pergi dalam keadaan yang sihat secara tiba-tiba.”

Sentiasa Bersiap-Sedia Menghadapi Kematian

Manusia itu sedang tidur. Mereka hanya akan terjaga daripada tidur yang panjang itu apabila telah mati. Para agamawan sering mengungkapkan perumpamaan ini dalam menunjukkan bahawa manusia sebenarnya berada dalam keadaan lalai.

Leka dengan dunia sehingga mengabaikan akhirat. Itulah perkara yang paling ditakuti jika ia terjadi kepada diri sendiri. Jangan sibuk mencari dunia sehingga akhirat dilupakan. Sebaliknya, carilah akhirat untuk dunia mengikuti.

Walau bagaimanapun, jangan terlalu berhati-hati sehinggakan anda hanya beribadah kepada tuhan dan mengabaikan perkara-perkara lain. Tidak memberi hak kepada tubuh badan dan tidak bersosial dengan orang lain serta mengabaikan kemajuan diri, ia adalah perkara yang dilarang.

Manusia diciptakan untuk saling membangun dan berkenal-kenalan. Sikap terlalu berhati-hati sehingga mengurung diri untuk mengelakkan kematian adalah perkara yang tidak akan menolak takdir.

Letaklah usaha yang jitu, namun jika Allah berkata si fulan ini akan meninggal pada tarikh dan masa yang telah ditetapkan, maka ia akan berlaku.

Kita lihat kisah yang pernah terjadi kepada jemaah Haji di Mina. Walaupun kerajaan telah menetapkan usaha dan menjaga keselamatan mereka dengan baik, namun Allah telah menetapkan bahawa kejadian tersebut akan berlaku.

Justeru, sebagai manusia dan hamba yang beriman, percayalah bahawa kematian itu akan datang pada bila-bila masa. Dengan ini kita akan sentiasa ingat akan kematian dan menjadi manusia yang sentiasa peka akan kehidupan ini.

Peringatan mengenai mati perlu sentiasa diberikan bagi menyedarkan manusia bahawa statusnya di muka bumi ini adalah sementara.

Oleh itu, beramallah seolah-olah kamu akan mati esok dan bekerjalah seolah-olah kamu akan hidup seratus tahun lagi.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami