Inspirasi

Siapa Yang Menghafal Nama Allah Akan Masuk Syurga?

Oleh Natirah Azira  •  27 Jul 2020  •  2 min baca

Kita mengetahui Allah SWT mempunyai 99 nama berdasarkan apa yang disebutkan dalam Al-Quran serta hadis yang diriwayatkan daripada Rasulullah SAW. Ia dilagukan juga dalam bentuk nasyid serta dihafal oleh anak-anak kecil.

Mungkin ada yang pernah mendengar tentang satu hadis yang menyebutkan bahawa sesiapa yang menghafal nama-nama Allah, maka akan masuk syurga.

Ia disandarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

إن للهِ تسعةً وتسعين اسمًا ، مائةً إلا واحدًا ، مَن أحصاها دخلَ الجنةَ

Maksudnya: “Sesungguhnya bagi Allah SWT sembilan puluh sembilan nama, seratus kecuali satu, barangsiapa yang menghafalnya akan masuk syurga”. Hadis riwayat Imam al-Bukhari (6410) dalam Sahih al-Bukhari, dalam Kitab Doa-Doa, Bab Allah Mempunyai 100 Nama Kecuali 1

Mudah bunyinya. Namun benarkah cukup dengan menghafal sahaja?

Bagi memahami hadis ini, pihak Tzkrh telah merujuk penerangan yang telah ditulis di laman web Mufti Wilayah Persekutuan.

Jika dilihat perkataan “من أحصاها” dalam hadis di atas, ia diterjemahkan kepada maksud “sesiapa yang menghafalnya”. Walau bagaimanapun, sebenarnya ia mempunyai makna yang lebih luas selain menghafal sahaja.

Antara yang disebutkan oleh Al-Khattabi di dalam kitab ‘Umdah Al-Qari’, antara maksud perkataan tersebut ialah:

1. Sesiapa yang mampu mendirikan hak-hak tersebut dan dalam masa yang sama beramal dengannya. Dengan makna lain kita mengambil iktibar daripada makna nama-nama dan sifat-sifat Allah dan meletakkannya di dalam diri kita.

2. Sesiapa yang sentiasa berfikir dengan makna nama-nama dan sifat-sifat Allah.

3. Sesiapa yang menghafal, berfikir tentang makna-maknanya seterusnya beramal dengannya.

4. Ibnu Al-Jauzi berpendapat yang dimaksud dengan lafaz tersebut ialah sesiapa yang membaca Al-Quran sehingga tamat dan memahami isi kandungan keseluruhannya kerana di dalamnya terletak semua nama-nama dan sifat-sifat Allah SWT.

Menurut pihak Mufti Wilayah Persekutuan, mereka lebih cenderung kepada makna bertadabbur yang bermaksud usaha manusia untuk mendalami hakikat satu perkara, melihat kepada makna-makna dan dalam masa sama menghafalnya. Akhirnya, setelah syarat ini disempurnakan, sudah pasti Allah tidak akan menafikan syurga buat mereka.

Rujukan:
Mufti Wilayah Persekutuan


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami