Ibadah

Siapa Yang Diikat Pada Bulan Ramadan

Oleh Fieyzah Lee  •  2 Jun 2019  •  6 min baca

Apabila tibanya bulan Ramadan, pasti anda selalu diusik oleh rakan-rakan anda dengan dialog sebegini:

“Dah nak bulan puasa, kau kena bersedia untuk diikat.”

“Eh, aku ingatkan kau dah kena ikat dengan kawan-kawan kau.”

Jika Ramadan sudah semakin di penghujung, ada pula dialog-dialog seperti,

“Hah, jaga-jaga syaitan dah nak kena lepas balik ni”

Atau banyak lagi dialog yang hampir serupa pernah bermain di cuping telinga anda. Bahkan, mungkin anda sendiri yang pernah mengucapkan kata-kata tersebut kepada rakan-rakan anda.

Perbuatan ini jika tujuannya untuk bergurau, maka tidak mengapa. Namun, harus diingat, ia perlu dilakukan secara berpada-pada dan jangan sehingga menyinggung hati rakan anda. Bukankah menjaga hati orang sekeliling itu perlu untuk mengelakkan pergaduhan dan bermusuhan?

Namun, bukan itu yang ingin disampaikan pada hari ini. Malah, kita akan membincangkan sedikit permasalahan di bulan Ramadan ini dengan beberapa persoalan yang timbul berkaitan syaitan yang dibelenggu?

Adakah benar pada bulan puasa sahaja syaitan dan seluruh kaumnya akan dirantai? Adakah benar tiada hantu pada bulan Ramadan? Jika benar persoalan ini, mengapa masih lagi terjadi kes-kes kerasukan yang melanda umat Islam. Malah, mengapa masih ada lagi umat Islam yang giat melakukan dosa dan maksiat?

Perbezaan Anntara Jin, Iblis Dan Syaitan

Sebelum kita pergi lebih lanjut berkenaan persoalan di atas, lebih elok jika kita merungkai sedikit, siapakah sebenarnya yang digelar jin, syaitan dan iblis serta apa pula perbezaannya?

#1 – Jin

وَأَنَّا مِنَّا الصَّالِحُونَ وَمِنَّا دُونَ ذَٰلِكَ ۖ كُنَّا طَرَائِقَ قِدَدًا

Mafhum: “Dan bahawa sesungguhnya (memang maklum) ada di antara kita golongan yang baik keadaannya dan ada di antara kita yang lain dari itu; kita masing-masing adalah menurut jalan dan cara yang berlainan.” (Surah Al-Jinn, 72:11)

Jin merupakan golongan yang telah wujud di muka bumi sebelum manusia diciptakan lagi. Malah, tujuan diciptakan adalah sama dengan manusia, iaitu untuk beribadah dan taat kepada Allah. Namun, sama juga dengan manusia, ada yang ingkar dan ada yang soleh.

#2 – Iblis

Mafhum: “Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika kami berfirman kepada malaikat: “Sujudlah kamu kepada Adam.” Lalu mereka sujud melainkan Iblis; ia ada berasal dari golongan jin, lalu ia menderhaka terhadap perintah tuhannya. Oleh itu, patutkah kamu hendak menjadikan iblis dan keturunannya sebagai sahabat-sahabat karib yang menjadi pemimpin selain daripadaKu? Sedang mereka itu ialah musuh bagi kamu. Amatlah buruknya bagi orang-orang yang zalim: pengganti yang mereka pilih itu.” (Surah Al-Kahf, 18:50)

Iblis ialah golongan yang ingkar kepada Allah. Jika malaikat diciptakan untuk mentaati Allah, jin pula sebaliknya. Bukti keingkarannya ialah, mereka sombong dengan tidak sujud kepada Nabi Adam.

#3 – Syaitan

Mafhum: “Dan demikianlah kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh dari syaitan-syaitan manusia dan jin, setengahnya membisikkan kepada setengahnya yang lain kata-kata dusta yang indah-indah susunannya untuk memperdaya pendengarnya.” (Surah Al-An’am, 6:112)

Syaitan terdiri daripada golongan jin dan manusia yang cuba untuk menjauh dan menyesatkan hambaNya. Jika jin itu tidak soleh, ia dianggap syaitan, begitu juga manusia. Tugasnya adalah untuk menyesatkan manusia untuk berpaling dari ajaran yang benar sehingga ke hari kiamat.

Sebagaimana dalam firman Allah yang bermaksud:

“Iblis berkata: “Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalanMu yang lurus.” (Surah Al-A’raf, 7:16)

Syaitan itu berasal daripada perkataan syatana شطن yang bermaksud jauh dari rahmat Allah dan juga membawa maksud terbakar. Ia juga adalah gelaran yang diberi bagi setiap yang derhaka dari bangsa jin dan manusia.

Mafhum: “Sesungguhnya syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan syaitan-syaitan itu teman rapat bagi orang-orang yang tidak beriman.” (Surah Al-A’raf, 7:27)

Siapa Yang Diikat

Menerusi sebuah hadis sahih yang telah diriwayatkan oleh Yahya menerusi Abu Suhayl ibn Malik yang berbunyi:

إِذَا دَخَلَ رَمَضَانُ فُتِّحَتْ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ النَّارِ وَصُفِّدَتِ الشَّيَاطِينُ‏

“Jika masuknya bulan Ramadan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka dan syaitan-syaitan dibelenggu.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Menerusi kata-kata Imam al-Baihaqi yang bermaksud: “Syaitan tidak bebas di bulan Ramadan untuk merosakkan manusia kerana kebanyakan muslimin sedang fokus berpuasa. Puasa dapat mengawal nafsu syahwat ditambah dengan membaca al-Quran dan ibadah lainnya.” (Fadhail al-Awqat, 1/141)

Melalui riwayat yang telah dinyatakan di atas, jelaslah bahawa syaitan memang diyakini dibelenggu pada bulan Ramadan. Dibelenggu di sini bermaksud tidak bebas untuk menggoda anak cucu nabi Adam dariada melakukan maksiat.

Berdasarkan Imam Ibn Abdil Barr yang bermaksud: “Allah menjaga orang Islam atau kebanyakan daripada mereka daripada maksiat dan syaitan-syaitan tidak bebas kepada mereka sebagaimana mereka bebas sepanjang tahun.” (Al-Tamhid, 16/153)

Hal ini kerana, Ramadan merupakan bulan untuk tazkiyatun nafs, iaitu membersihkan jiwa dan rohani. Ini adalah bertujuan mendidik diri kita untuk menadji mukmin sejati.

Namun, syaitan jenis apa yang dibelenggu? Menurut Ibn Hajar Al-Asqalani:

“Yang dimaksudkan syaitan-syaitan (dibelenggu) ialah sebahagian syaitan besar/ganas. Ia disebutkan oleh Ibn Khuzaimah dalam sahihnya.” (Fath Al-Bari 4/114)

Hal ini dapat diertikan bahawa hanya syaitan yang otai, ganas dan hebat sahaja yang dibelenggu. Dalam kata mudahnya, bapa-bapa atau ketua-ketua syaitan sahaja yang diikat. Manakala, menurut pendapat Hajar al-Asqalani, jin tidak dirantai. Wallahu a’lam.

Menerusi pandang Imam Syafi’e pula, syaitan dan jin yang bengis sahaja yang dibelenggu, manakala bagi syaitan yang bertaraf biasa, masih bebas, namun mereka tidak bebas menghasut manusia pada bulan Ramadan.

Bahkan, jika mereka dapat menghasut manusia sekali pun, keteguhan iman dan ibadah seseorang itu sebenarnya yang dapat membelenggu diri daripada hasutan syaitan.

Berdasarkan pandangan beberapa ulama’, jin yang menjadi belaan manusia tidak dibelenggu, malah ia akan bebas berkeliaran seperti biasa. Golongan inilah yang dikatakan bebas merasuk sesiapa sahaja. Wallahu a’lam.

Hati-hati Dengan ‘Syaitan Manusia’

Sebenarnya, maksiat boleh terjadi dengan apa jua tanpa hasutan syaitan jika kita mempunyai jiwa dan hati yang kurang bersih. Disebabkan itulah, Allah telah memberi peluang kepada manusia pada bulan Ramadan untuk membersihkan diri tanpa hasutan syaitan-syaitan yang otai.

Menurut kata As-Sindi: “Boleh jadi maksiat itu ada disebabkan pengaruh jiwa yang buruk dan jahat. Dan timbulnya maksiat, tidak selalu berpunca daripada syaitan.” (Hashiyah As-sindi ‘ala Sunan An-Nasaie, 1/503)

Orang yang berpuasa namun masih lagi melakukan maksiat seperti meninggalkan solat atau solat di akhir waktu, menipu, tidur yang berpanjangan, kuat mengeluh dan sebagainya itu adalah mungkin disebabkan oleh tidak menghayati maksud dan nilai puasa itu sendiri.

Mungkin juga disebabkan oleh syarat-syarat puasa yang tidak ditepati sepenuhnya. Disebabkan inilah pengaruh syaitan tetap akan berkekalan walaupun mereka telah dirantai.

Malah, Imam al-Ghazali berpesan supaya kita berhati-hati dengan syaitan manusia. Kadang-kadang mereka ialah orang terdekat yang sentiasa mempengaruhi kita untuk melakukan maksiat atau meninggalkan ibadah.

Sama juga dengan pesanan oleh beberapa ulama’ bahawa, berkawanlah dengan mereka yang boleh memimpin tanganmu ke syurga dan jika kamu merasa lemah dan tidak sanggup untuk berkawan dengan mereka yang melakukan kejahatan maka tinggalkanlah. Kerana bimbang kamu akan mengikutinya.

Malik bin Dinar pernah berkata: “Sesungguhnya syaitan manusia itu lebih hebat ke aatsku daripada syaitan jin; apabila aku berlindung kepada Allah, maka berlalulah syaitan jin. Sedangkan syaitan manusia itu datang kepadaku maka diseretlah aku kepada segala kemaksiatan.

Kesimpulan

Tidak kiralah siapa yang dirantai atau tidak, sebagai hamba Allah sendiri, kita wajib untuk taat kepadaNya. Pada bulan yang mulia inilah kita boleh mengambil sebanyak mana peluang yang ada untuk mengejar rahmatNya.

Latih diri untuk beribadah kepadaNya. Semoga dengan berakhirnya bulan Ramadan yang tinggal tidak berapa lama lagi, kita sudah mampu untuk menahan godaan syaitan.

Waallahu a’lam

Ustaz Addien: Bulan Ramadan, Syaitan Dibelenggu


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fieyzah Lee

Fieyzah Lee

Merupakan seorang pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami