Tokoh

Siapa Sebenarnya Ibnu Hajar Al-Asqalani

Oleh Natirah Azira  •  4 Oct 2018  •  6 min baca

Nama Ibnu Hajar al-Asqalani yang sebenar ialah Ahmad bin ‘Ali bin Muhammad bin Muhammad bin ‘Ali. Selain daripada nama sebenar ini beliau juga dikenali sebagai Ibn Hajar, al-Kinani dan AI-‘Asqalani. Ibn Hajar telah dilahirkan pada bulan Sha’ban pada tahun 773 Hijrah di dalam sebuah rumah yang terletak di tepi Sungai Nil berdekatan dengan Dar al-Nahhas di Qaherah.

Ibnu Hajar sememangnya berasal daripada keturunan para ilmuwan agama khususnya dalam bidang fiqh dan hadis. Sebagai contoh, datuk dari sebelah ayah Ibnu Hajar bemama ‘Uthman bin Muhammad yang bermazhab Shafi’e pernah menjadi ketua mufti di Iskandariyyah.

Bapanya pula yang bernama Nur al-Din ‘Ali memiliki kecenderungan terhadap ilmu pengetahuan dan merupakan seorang sarjana di bidang fiqh, bahasa dan kesusasteraan. Beliau juga merupakan seorang penyajak yang disanjungi dan mempunyai beberapa antologi yang termasyur seperti Diwan al-Haram yang mengisahkan pujian terhadap Nabi dan kota Mekah.

Walaupun beliau mempunyai bakat di bidang kesusasteraan tetapi ‘Ali lebih cenderung kepada bidang fiqh dan pernah dilantik sebagai qadi bagi menggantikan tempat Ibn Aqil.

Hasil perkahwinan antara Ali’ dan Tujjar binti Muhammad bin Ibrahim al-Ziftawi, lahirlah Ibnu Hajar Al-Asqalani sebagai anak terakhir. Kedua-dua ibu bapanya meninggal dunia tidak lama selepas itu.

Ibnu Hajar telah memulakan pendidikan ketika umurnya lima tahun dan beliau telah dapat menghafaz Al-Quran apabila umurnya meningkat sembilan tahun di bawah bimbingan seorang pengajar yang bernama Sadr al-Din al-Sufti.

Ketika umur 12 tahun, penjaga Ibnu Hajar yang bemama al-Kharrubi telah membawa beliau ke Mekah bagi mengerjakan haji pada tahun 784 Hijrah. Ibn Hajar telah menetap selama dua tahun di Mekah dan sempat berguru dengan Sheikh Afif al-Din al-Nishawari yang mengajarnya kitab Sahih al-Bukhari.

Pada tahun 786 Hijrah (1384 Masihi), Ibnu Hajar dan al-Kharrubi telah meninggalkan Mekah untuk pulang ke Mesir. Setahun kemudian al-Kharrubi telah meninggal dunia dan kematiannya telah menyebabkan Ibnu Hajar tidak meneruskan pengajiannya selama tiga tahun.

Pada tahun 790 Hijrah, Ibnu Hajar telah menyambung semula pengajiannya dengan penjaganya yang baru iaitu Muhammad al-Qattan al-Misri.

Melalui Muhammad al-Qattan, Ibnu Hajar telah mempelajari asas-asas ilmu usul al-fiqh, ilmu bahasa dan matematik. Ketika umurnya 19 tahun, Ibn Hajar mula meminati ilmu kesusteraan dan telah menghasilkan satu antologi yang berjilid-jilid banyaknya yang dikenali sebagai Diwan Ibnu Hajar.

Keistimewaan Ibnu Hajar

Ulama Berjiwa Besar

Ibnu Hajar dikenali sebangai seorang ulama yang berjiwa besar, mempunyai ketajaman pemikiran dan daya ingatan yang kuat. Sebagai satu contoh peristiwa, Ibn Hajar pernah menghafal surah Maryam hanya dalam masa sehari. Di samping itu beliau telah menghadiri sebanyak 1150 kali majlis ujian yang dinamakan sebagai imla al-Hadis yang bertujuan untuk menguji hadis-hadis yang dihafalnya.

Ibnu Hajar telah dikenali semasa hidupnya sebagai seorang yang mempunyai kesungguhan dan komitmen yang tinggi terhadap ilmu pengetahuan. Sepanjang 79 tahun hayatnya beliau telah menggunakan tidak kurang dari 55 tahun dari hidupnya bagi menumpukan perhatian terhadap ilmu pengetahuan.

Beliau menggunakan masa dengan sebaiknya untuk membaca walaupun ketika makan atau menunggang kuda. Oleh yang demikian tidak hairanlah sekiranya Ibnu Hajar mampu menghasilkan sebuah kitab yang bertajuk Muntaqa Fihrist al-Salafi dalam keadaan beliau menunggang unta dalam perjalanannya dari Mesir menuju ke Mekah.

Bagi memperlihatkan komitmen Ibnu Hajar terhadap ilmu pengetahuan, al Sakhawi telah merakamkan kehidupan harian yang biasa dilakukan oleh Ibnu Hajar seperti berikut (teks asal telah diceraikan dalam bentuk point):

1. Bangun Awal Untuk Mendirikan Solat Tahajjud

Sebagai seorang ulama, beliau telah bangun awal untuk mendirikan solat tahajjud, solat fardu subuh dan sehinggalah solat fajr.

2. Membaca Al-Qura’n dan Menulis Buku

Sekiranya tidak mempunyai tetamu di rumahnya maka beliau mula membaca Al-Qur’an dan kemudian menulis buku sehinggalah waktu dhuha.

3. Menunaikan Solat Dhuha dan Mengajar

Setelah mendirikan solat dhuha maka Ibnu Hajar menemui murid-muridnya untuk mengajar sehinggalah masuk waktu zuhur. Setelah masuk waktu zuhur maka beliau masuk kebiliknya untuk berehat sebentar dan kemudian mendirikan solat zuhur di dalam biliknya.

Selepas solat zuhur Ibnu Hajar mula menyambung pembacaannya atau menulis buku sehinggalah masuk waktu Asar.

4. Bermuzakarah (bertukar-tukar pendapat) mengenai fatwa

Selepas mendirikan solat Asar beliau menyambung tugas mengajar murid-muridnya dan menulis fatwa. Di samping itu beliau juga akan bermuzakarah dengan rakan-rakannya mengenai sesuatu fatwa.

5. Berpuasa

Apabila hampir masuk azan Maghrib, beliau mengambil kesempatan untuk berbuka puasa sekiranya beliau berpuasa atau untuk menjamah makanan sekiranya beliau menyambung semula pembacaan atau penulisan buku-bukunya sehinggalah masuk waktu Isya’.

6. Mengajar pada waktu malam

Selepas waktu Isya’, Ibnu Hajar menyambung semula tugasnya sebagai pengajar dalam masa sejam hingga dua jam. Setelah mengajar beliau masuk ke rumahnya dan kemudian barulah beliau mendirikan solat Isya’.

Beginilah diari kehidupan yang biasa dilalui setiap hari kecuali beliau terpaksa menjalankan tugas-tugas rasmi yang pernah disandangnya.

Boleh Membaca Dengan Cepat

Ibnu Hajar juga dikenali sebagai seorang yang mempunyai kemahiran membaca secara cepat. Menurut al-Sakhawi, Ibnu Hajar pernah membaca seluruh kitab Sahih al-Bukhari hanya dengan sepuluh kali duduk dan setiap kali duduk untuk membaca memakan masa 4 jam.

Di dalam perjalanannya menuju ke Syria beliau pernah membaca kitab Mu’jam al-Saghir yang dikarang oleh Tabrani yang mengandungi 1500 hadis berserta dengan isnad hanya dengan sekali duduk di antara waktu Zuhur hingga ke Asar.

Ahli Kaligrafi

Ibn Hajar juga mampu menulis dan menyalin segera dengan cantik sehingga dianggap sebagai ahli kaligrafi. Sebagai satu bukti, beliau pernah menyalin seluruh kitab Sahih Bukhari hanya dalam masa 30 hari.

Sehubungan dengan itu al Sakhawi telah menyenaraikan tajuk-tajuk kitab yang pernah disalin oleh Ibn Hajar semasa hayatnya seperti Sahih at-Bukhari, Sunan Abu Dawud dan Sharh jam’ al-jawami’ oleh Zarkashi.

Seorang Yang Bersederhana

Dari aspek peribadi yang lebih khusus, Ibnu Hajar mempunyai sifat kesederhanaan yang terserlah dalam banyak perkara. Dari sudut makan minum, Ibn Hajar tidak mempunyai masa makan yang teratur. Beliau menjamah makanan mengikut keperluan sahaja.

Beliau menjamah sedikit sahaja makanan di waktu malam hari. Menurut Sakhawi, Ibnu Hajar amat sukakan kepada makanan yang manis. Walau bagaimanapun beliau terlalu teliti dalam kebersihan dan menjaga dari sudut halalnya sesuatu makanan.

Di samping itu beliau sentiasa mengelakkan dari memakan makanan yang shubhah atau yang diragui. Beliau juga lebih suka berjalan kaki dari menaiki kenderaan tunggangan yang disediakan oleh pihak pemerintah. Melalui cara ini dapat mengelakkan dirinya dari menggunakan kemudahan mewah kerajaan yang disediakan sedangkan beliau masih lagi berupaya untuk berjalan.

Dermawan

Antara sifat Ibnu Hajar yang disukai oleh orang ramai pada zamannya ialah beliau bersifat dermawan terutamanya terhadap fakir miskin. Mengikut catatan Sakhawi, Ibnu Hajar pernah mendermakan sebanyak 1,000 dinar pada Hari Raya Aidil Adha untuk diagih-agihkan terhadap fakir miskin dan orang-orang yang memerlukannya.

Walau bagaimanapun derma-derma tersebut telah diagihkan dengan cara yang rahsia dan tersembunyi agar si penerima tidak mengetahui latar belakang penderma.

Sebagai seorang ulama mujtahid dan Sheikh al-Islara, Ibnu Hajar banyak mendirikan ibadah-ibadah wajib dan sunat. Beliau terlalu prihatin terhadap penjagaan dan penggunaan masa. Masa malam digunakan untuk beribadat seperti solat dan bertahajjud manakala waktu siang digunakan untuk mengajar di samping berpuasa.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Psikologi di universiti yang sama. Seorang yang suka membaca pelbagai genre bahan bacaan terutama sejarah, sastera, motivasi dan psikologi.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami