Tokoh

Shifa Binti Abdullah – Guru, Jururawat Dan Pegawai Di Pasar Madinah

Oleh Natirah Azira  •  26 Feb 2020  •  2 min baca

Pada zaman Islam baru mula bertapak di tanah arab, masyarakat Arab diketahui kurang mempunyai kemahiran membaca dan menulis. Walaupun begitu, hal ini tidak bermakna mereka langsung tidak memiliki kemampuan intelek. Kemahiran yang dipunyai oleh mereka lebih terserlah dalam ketinggian bahasa yang diguna contohnya dalam syair yang banyak diutarakan secara lisan.

Salah seorang wanita yang memiliki kemahiran intelek yang tinggi ketika itu adalah Asy-Shifa binti Abdullah atau nama asalnya Laila binti Abdullah.

Di saat pendidikan merupakan suatu yang sangat asing bagi wanita pada zaman tersebut, ditambah dengan penindasan masyarakat Jahiliyah ke atas golongan ini, Shifa dilihat sebagai sosok wanita yang mampu memecah tembok keterasingan tersebut.

Shifa bukan hanya tahu membaca dan menulis, dia juga menjadi guru dan mengajar wanita-wanita di sekelilingnya.

Rahsia di sebalik nama As-Shifa pula kerana kemahirannya merawat dan mengubati penyakit dengan kaedah ruqyah yang diperakui oleh Nabi SAW, malah beliau aktif dengan aktiviti tersebut sejak sebelum Islam lagi.

Rasulullah SAW sendiri pernah meminta beliau mengajarkan kepada isterinya Hafsah bagaimana untuk merawat penyakit kulit. Kemahiran ini pastinya memerlukan ketelitian dan juga kesabaran yang tinggi.

Shifa memeluk Islam semasa di Mekah, dan termasuk dalam rombongan awal yang mengikut Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah. Beliau masih meneruskan aktiviti menuntut ilmu di Madinah dengan menghadiri masjid serta mendengar perkongsian daripada Nabi SAW sendiri, sama ada berkaitan hadis, amalan dan juga kehidupan sosial sehari-hari.

Apabila Madinah semakin berkembang dan jawatan khalifah pula sudah beralih ke tangan Saidina Umar Al-Khattab, terdapat kekosongan yang dilihat dapat dipenuhi oleh seorang yang bijak dan berkemampuan seperti Shifa.

Beliau dilantik sebagai ‘pegawai pasar’ di pasar Madinah yang bertugas untuk memantau segala aktiviti jual beli yang berlaku. Shifa juga akan memastikan bahawa tidak berlaku sebarang perbuatan menipu dan menindas dalam perniagaan di pasar. Jika berlaku sebarang kemusykilan, beliau akan menjadi orang yang terlebih dahulu dirujuk sebelum ia sampai kepada Saidina Umar.

Apabila menyedari bahawa pelantikan tersebut membawa manfaat daripada segi kualiti jual beli dan pengurusan pasar, Saidina Umar turut melantik pegawai pasar untuk bertugas pula di Mekah. Sekalipun pasar dilihat sebagai tempat yang didominasi oleh lelaki dalam urusan perniagaan, Shifa menjadi orang yang berkemampuan mengawal selia, melakukan proses audit dengan saksama serta mempunyai kredibiliti dalam menjalankan tugas.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Psikologi di universiti yang sama. Seorang yang suka membaca pelbagai genre bahan bacaan terutama sejarah, sastera, motivasi dan psikologi.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami