Inspirasi

Setakat Mana Batas Sabar

Oleh Fizah Lee  •  16 May 2019  •  6 min baca

“Ya Allah, aku dah tak boleh nak sabar lagi, rasa nak putus asa sahaja.”

“Kenapalah banyak sangat masalah aku ni.”

“Sabar aku sampai sini sahaja, aku nak mengamuk sekarang.”

Seringkali kita mendengar luahan-luahan seperti ini, dari rakan terdekat, orang asing yang kita jumpa, mahupun perbualan di media sosial, ada yang mengadu lemah, ada yang mengadu sudah tidak kuat untuk menjalani hari-hari yang penuh dengan masalah.

Ada juga yang mengadu ujian yang Allah berikan ini terlalu berat buatnya dan sudah tidak tertanggung lagi.

Kadang-kadang kita melihat segelintir orang tidak dapat bertahan sehingga ingin bunuh diri kerana ingin lari daripada masalah yang menimpa. Ada yang sehingga didiagnos menghidap penyakit kemurungan kerana terlalu takut untuk meluahkan masalah walaupun kita sudah ada ramai pakar psikologi dan psikiatri sebagai tempat dan saluran yang betul.

Mengapa ini semua terjadi? Jawapannya ialah satu sahaja, iaitu sabar. Sabar tidak bermakna hanya menunggu berpeluk tubuh dan tidak berbuat apa-apa, namun sabar adalah berjuang dalam masa yang sama bertahan.

Setiap ujian yang diberikan oleh Allah merupakan tanda dan bukti bahawa Allah masih sayang dan ingat kepada hamba-Nya. Jangan kita pernah menganggap bahawa Allah membenci kita dengan melemparkan ujian tersebut bertubi-bertubi kepada kita.

أَحَسِبَ النَّاسُ أَن يُتْرَكُوا أَن يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ

Mafhum: Patutukah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? (Surah Al-Ankabut, 29:2)

Setiap ujian yang dihujani juga diberikan sesuai mengikut kemampuan kita. Allah tahu kita mampu untuk menggalas dan melalui ujian tersebut, sebab itu Allah lemparkannya kepada kita.

Allah tidak akan memberi sesuatu yang bukan milik kita, begitu juga dengan ujian. Seperti mana firman Allah yang berbunyi:

لَا يُكَلِّفُ اللَّـهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا

Mafhum: Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. (Surah al-Baqarah, 2:286)

Tiga Jenis Sabar

Ada tiga jenis sabar yang perlu kita amalkan dalam hidup kita, iaitu sabar dalam melakukan ketaatan, sabar dalam meninggalkan maksiat dan sabar dalam menerima qadar Allah.

#1 – Sabar Dalam Ketaatan

Sebagai muslim yang sentiasa mengejar rahmat Allah, kita perlu bersabar dalam melakukan ketaatan kepada-Nya. Sentiasa sabar untuk menunaikan solat walaupun dalam keadaan tidak sihat, sentiasa sabar untuk pergi ke masjid berjemaah bersama walaupun sedikit jauh dan macam-macam lagi perkara.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اصْبِرُوا وَصَابِرُوا وَرَابِطُوا وَاتَّقُوا اللَّـهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Mafhum: Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan, dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan), serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan). (Surah Ali-Imran, 3:200)

#2 – Sabar Dalam Meninggalkan Maksiat

Seringkali kita melihat sekeliling kita, ada orang melakukan maksiat dengan terang-terangan dan tanpa rasa bersalah. Mungkin pernah terlintas di hati kita untuk merasa ‘nikmatnya’ maksiat itu.

Apabila kita melihat kawan kita berfesyen dengan pakaian yang tidak menutup aurat, mungkin terbit di hati untuk bergaya sama. Apabila melihat pasangan yang tidak halal berdua-duaan sedang berdating dan macam-macam lagi dosa terang-terangan yang orang lakukan, mungkin pernah terlintas di hati untuk mempunyai pengalaman sama, namun percayalah, dengan menahan nafsu anda itu membuktikan bahawa kesabaran dan keimanan anda masih kuat.

Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa di akhir zaman, maksiat akan dilakukan secara terang-terangan tanpa rasa bersalah seperti pada zaman awal kedatangan Islam dulu.

Islam di akhir zaman juga akan kelihatan asing malah orang yang melakukan maksiat dan dosa pula yang akan disanjung tinggi. Sabda baginda yang bermaksud:

“Islam bermula dalam keadaan asing dan akan kembali dalam keadaan asing sebagaimana ia bermula maka beruntunglah orang yang asing. Sahabat-sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, siapakah orang asing itu?” Rasulullah SAW menjawab: “Orang yang melakukan pembaikan (islah) ketika rosaknya manusia, tidak bersengketa dalam agama Allah dan tidak mengkafirkan orang yang berada pada tauhid disebabkan dosa.” (Hadis Riwayat Muslim)

#3 – Sabar Dalam Menghadapi Qadar

Setiap ujian yang Allah berikan adalah takdir yang perlu diterima oleh kita. Jadi, kita perlu sabar dan terima setiap ujian itu dengan hati yang terbuka. Usah memberontak, jangan berfikir buruk terhadap taqdir yang diberikan Allah dan jangan pula berputus asa dalam mengharunginya.

Apabila kita bersabar dengan setiap yang berlaku, kita akan mendapat darjat dan tangga keimanan yang paling tinggi. Allah juga menyebut perktaan sabar sebanyak 90 kali di dalam al-Quran.

Jadi betulkah sabar itu ada batas?

Tidak. Sabar itu langsung tiada batas. Jika sabar itu berbatas, maka sudah ramai orang yang berputus asa dengan hidup.

Allah sudah memberitahu bahawa Allah membebani seseorang berdasarkan kekuatan dirinya sendiri. Jadi, atas alasan apa anda ingin berputus asa? Adakah kerana anda tidak percaya bahawa diri anda kuat dan boleh menanggung berat beban tersebut.

Kadang-kadang, jika ingin berputus asa dan mengeluh dengan ujian yang ditempuh, lihatlah sekeliling. Ada ramai lagi orang yang sedang menghadapi kesusahan yang sama dengan anda, malah mungkin lagi sulit dari anda.

Allah ada menerangkan melalui kalam-Nya bahawa pahala yang Allah kurniakan itu tidak terkira, sama juga dengan kesabaran yang perlu ada dalam diri kita, tanpa batas.

قُلْ يَا عِبَادِ الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا رَبَّكُمْ ۚ لِلَّذِينَ أَحْسَنُوا فِي هَـٰذِهِ الدُّنْيَا حَسَنَةٌ ۗ وَأَرْضُ اللَّـهِ وَاسِعَةٌ ۗ إِنَّمَا يُوَفَّى الصَّابِرُونَ أَجْرَهُم بِغَيْرِ حِسَابٍ

Mafhum: Katakanlah (wahai Muhammad, akan firmanku ini, kepada orang-orang yang berakal sempurna itu): “Wahai hamba-hamba Ku yang beriman! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu. (ingatlah) orang-orang yang berbuat baik di dunia ini akan beroleh kebaikan (yang sebenar di akhirat), dan (ingatlah) bumi Allah ini luas (untuk berhijrah sekiranya kamu ditindas). Sesungguhnya orang-orang yang bersabar sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira. (Surah Az-Zumar, 39:10)

Allah sentiasa mengasihi dan mencintai orang-orang yang bersabar. Ujian yang diberikan kepada nabi-nabi terdahulu sangatlah berat jika dibandingkan dengan ujian kita yang tidak seberapa.

Bayangkan Nabi Luth berdakwah kepada kaumnya dalam jangka masa yang lama, namun berapa kerat sahaja yang beriman kepada Allah sehinggakan daerahnya ditenggelamkan bumi.

Nabi Muhammad yang berdakwah kepada bapa saudara kesayangannya namun sehingga akhir hayatnya juga tidak menerima Islam. Kini, kita melihat ujian orang-orang beriman yang sangat dasyat, iaitu negeri Palestin diperangi kerana perebutan tanah demi memperluaskan pengaruh agamanya.

Berapa ramai anak-anak di Gaza yang menangis merindui orang tuanya kerana syahid dalam peperangan, malah tidak lama dahulu berapa ramai yang kehilangan ahli keluarga akibat ditembak oleh pengganas ketika ingin menunaikan solat Jumaat di Masjid di New Zealand.

Ini semua bukti Allah sayang malah kadang-kadang ujian itu tanda Allah ingin menyedarkan kita daripada kelekaan dan kelalaian dunia.

وَكَأَيِّن مِّن نَّبِيٍّ قَاتَلَ مَعَهُ رِبِّيُّونَ كَثِيرٌ فَمَا وَهَنُوا لِمَا أَصَابَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ وَمَا ضَعُفُوا وَمَا اسْتَكَانُوا ۗ وَاللَّـهُ يُحِبُّ الصَّابِرِينَ

Mafhum: Dan berapa banyak dari nabi-nabi (dahulu) telah berperang dengan disertai oleh ramai orang yang taat kepada allah, maka mereka tidak merasa lemah semangat akan apa yang telah menimpa mereka pada jalan (ugama) Allah dan mereka juga tidak lemah tenaga dan tidak pula mahu tunduk (kepada musuh). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang sabar. (Surah Ali-Imran, 3:146)

Pohonlah pada Allah agar diberikan hati yang sabar. Jika hari ini anda tidak mampu bersabar, cuba lagi esok. Jika esok anda tidak mampu bersabar, cuba lagi hari seterusnya. Cuba lah lagi dan lagi sehingga akhirnya Allah mengurniakan kepada anda hati yang benar-benar cekal dan kuat. Sesungguhnya tidak ada daya dan upaya melainkan dari Allah jua.

Sumber: Rumaysho


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami