Gaya Hidup

Seorang Lelaki Dan 5 Bulu

Oleh Ariffuddin  •  11 Feb 2015  •  4 min baca

Bakal ibu mertua Abu: “Janggut memang sunnah, tetapi trimlah dengan kemas.”

Lee Da Hae: “Rimas betul bila tengok jambangnya itu.”

Yoona: “Gaya rambut dia, kutu pun boleh sesat jalan.”

Park Shin Hye: “Itu misai ke penapis teh. Agamanya tidak ajar cara kemaskan dirikah?”

Siti Apple: “Bulu hidung pun dia tak boleh jaga. Bagaimana hendak jaga aku bila kahwin nanti. Eww!”

Bezakan Misai dan Penapis Teh

Dialog di atas ini adalah rekaan semata-mata. Ia tidak ada kena mengena dengan mereka yang bermisai, berjambang, berjanggut dan berbulu hidung di bumi ini. Namun, gambaran-gambaran seperti dalam dialog itu biasa dan boleh dilihat dalam kehidupan seharian.

Pada masa dan ketika itu, kita tidak boleh luahkan kemarahan kepada mereka. Hanya mampu panas telinga saja. Ini kerana mereka bertindak dan berkata berpandukan apa yang mereka lihat pada diri kita. Boleh jadi sebelum ini mereka sudah ada pengalaman ngeri berdepan dengan penjenayah yang berpenampilan kusut masai.

Omar Borkan

Islam menggalakkan kita menguruskan diri dengan baik dan sempurna. [Omar]

Kemudian, bayangkan apabila seorang lelaki yang tidak terurus janggut, misai dan rambutnya pergi berdakwah. Mereka berjalan dan mengajak orang ramai supaya kembali kepada cara hidup islam, kembali mengamalkan sunnah dan fitrah sebagai orang Islam.

Apabila mereka melihat penampilan pada wajah kita yang kusut masai itu. Mereka akan berkata:

“Jika beginilah keadaan islam, lebih baik aku kekal jahil, sekurang-kurangnya aku menjaga kebersihan, sikat rambut kemas, memotong bulu-bulu yang sudah terlebih panjang suapaya kemas.”

Pada masa itu apa yang kita mahu hujahkan? Akhirnya orang akan menilai bahawa sebenarnya Islam bukanlah agama pembersih kerana orang Muslim itu sendiri tidak bersih dan kemas. Orang yang tidak tahu tentang Islam akan menilai agama itu melalui sikap penganutnya.

Jika benar Islam itu agama yang sejahtera, pasti umatnya juga pembersih. Kerana daripada kebersihan akan datang kesejahteraan.

Gunting Atau Cukur?

gunting vs cukur

Gunting dan cukur mempunyai kelebihannya yang tersendiri.

Apa solusinya jika mahu uruskan janggut?

Gunakan mesin trim janggut. Mesin dua hari sekali ataupun jika tidak ada masa seminggu sekali. Sekiranya tidak ada mesin boleh saja gunakan gunting dan sikat. Namun ia mengambil masa kerana tersilap potong, tidak kemas pula nanti.

Apa solusinya jika mahu uruskan jambang?

Cukur ataupun guna mesin trim jambang, ataupun boleh juga gunakan mesin potong rambut, lebih mudah dikendalikan dan masa juga cepat dihabiskan. Peruntukkan masa seminggu sekali untuk mencukur ataupun selang tiga hari. Ia bergantung kepada berapa tempoh masa jambang seseorang itu tumbuh semula selepas dicukur.

Apa solusinya jika mahu uruskan rambut?

Gunakan sikat, potong pendek dan kemas, jika panjang kemaskan dan pastikan tidak serabut dipandang. Saya tidak mahu sentuh rambut pendek ataupun panjang. Sebaliknya pastikan rambut kita itu kemas supaya imej Islam dapat dijaga. Siapa tahu, kekemasan rambut kita boleh jadi asbab untuk orang mahu mengenal apa itu Islam.

Apa solusinya jika mahu uruskan misai?

Gunakan mesin ataupun gunting dan sikat. Trim nipis supaya ia tidak menjadi penapis teh ataupun kopi. Kadang-kadang ada yang minum teh tarik sampai buihnya melekat pada misai sehingga dia terjumpa cermin. Itu tidak mencerminkan imej Islam yang pembersih. Orang yang mahu membela misai perlu luangkan masa setiap hari supaya dapat menggunting misai pendek dan kemas.

Apa solusinya jika mahu pastikan bulu hidung kemas?

Gunakan gunting dan potong bulu hidung yang sudah melepasi pintu gerbang. Namun, jangan pula dicabut bulu hidung itu, ia menyakitkan dan boleh berikan kesan yang lebih bahaya. Ada satu cerita seorang pemuda yang punya kerjaya bagus tetapi cintanya ditolak kerana tidak mengaja kekemasan bulu hidungnya.

Sebaiknya sebelum keluar dari rumah gunakan cermin sepenuhnya. Lihat adakah imej kita bertepatan dengan imej islam. Adakah apabila orang melihat penampilan kita mereka akan terpikat untuk mengenal Islam dengan lebih dekat.

Apa Ganjarannya?

Hidayah adalah kurniaan daripada tuhan, sehebat mana pun kita berdakwah hanya tuhan yang dapat berikan hidayah kepada orang yang dikehendakinya. Namun kita masih boleh teruskan usaha untuk berdakwah. Antara cara untuk kita berdawah adalah melalui penampilan.

Seorang pemuda Islam yang kemas pada akhlak dan wajahnya akan membuatkan orang ramai berasa senang untuk bekerja denganya. Sekiranya kita ada bakat yang diperlukan, orang juga tidak akan teragak-agak untuk mencadangkan dan bekerjasama dengan kita.

Penampilan pada wajah kita boleh menjadi alat dakwah yang berkesan apabila kita menjaga kekemasan dan penampilan. Ia memudahkan tugas-tugas dakwah. Walaupun kita tidak mampu berhujah dan menerangkan apa itu islam, dengan hanya mengamalkan akhlak Islam, insya-Allah mata yang melihat akan berminat untuk mengenal apa itu Islam.

Sekurang-kurangnya kita tidak perlu mengajar-ngajar orang ramai untuk mengenal Islam. Kita hanya perlu tunjukkan bagaimana akhlak Islam yang sebenar melalui penampilan pada wajah.

“Berceramah di masjid bukanlah satu-satunya jalan untuk berdakwah. Penampilan dan pengurusan wajah seorang pemuda juga berpotensi menjadi alat yang dapat menjadi pencetus kepada pertanyaan ‘Apa itu Islam?’ Bagaimana caranya untuk saya mengenal Islam?” HajiDell


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Ariffuddin

Ariffuddin

Beliau merupakan seorang usahawan dan penulis yang telah menghasilkan beberapa karya buku seperti Usahawan Cilik, Beruslah Gigi, 23+1 Amalan Penulis Novel Bestseller dan sebagainya.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami