Inspirasi

Seni Bina Tanda Keindahan Islam

Oleh Asyiqin Rosmahadir  •  26 Feb 2018  •  4 min baca

“Siapa bilang seni tak menawan? Tak menarik hati, tiada memikat?”

Manusia sememangnya telah diciptakan Allah SWT dengan memiliki fitrah yang mencintakan kesenian. Seni bina terutamanya, yang merupakan cabang seni.

Adakah anda tahu bahawa kesenian ini boleh mendatangkan kebahagiaan? Ya! Cuba kamu semua melihat sekeliling. Keluar dan perhatikan.

Persekitaran yang pesat membangun, dengan adanya bangunan-bangunan yang pelbagai reka bentuk seperti masjid dan rumah. Indah bukan?

Seni bina juga menjadi lambang kepada keindahan Islam. Keindahan merupakan salah satu ciri keesaan, kebesaran dan kesempurnaan Allah SWT. Dan segala yang diciptakanNya juga merupakan pancaran keindahanNya. Rasulullah SAW bersabda;

“Sesungguhnya Allah itu indah dan sukakan keindahan.”

#1 – Ciri-Ciri Dalam Seni Bina Islam

Identiti kepada seni bina Islam adalah mempunyai ruang bagi masuknya cahaya ke dalam bangunan. Cahaya serta pengudaraan yang beredar dalam bangunan dengan baik dapat memberikan keselesaan. Oleh itu, umat Islam dapat mengekalkan kesihatan yang baik di samping selesa untuk mengerjakan ibadat.

Seterusnya, dalam seni bina Islam mengutamakan untuk membuat pemisah antara ruang lelaki dan perempuan. Ini jelas ditampilkan di masjid-masjid serta rumah kediaman. Maka, pergaulan akan lebih selesa.

Tambah pula, keselamatan bangunan amat dititikberatkan. Bangunan yang dibina semestinya dapat digunakan dalam masa yang lama. Ini terbukti bahawa sesetengah masjid dan bangunan yang dibangunkan hampir 1000 tahun masih boleh digunakan.

Dalam seni bina Islam juga, perabot-perabot yang diletakkan mestilah sederhana dan indah. Maka, sesiapa sahaja yang berkunjung ke situ akan berasa tenang dan selesa. Ini dapat dibuktikan melalui masjid-masjid di Malaysia.

Begitu juga, saya terlihat di internet akan masjid-masjid di Turki yang dihias indah. Di dalamnya, mempunyai corak seperti berada di sebuah taman yang cantik dengan adanya reka bentuk kayu-kayan dan pokok.

#2 – Contoh Binaan Hebat

Seni bina Islam ternyata indah dan kukuh. Antaranya, pembinaan Kaabah yang diwahyukan oleh Allah SWT kepada Nabi Ibrahim A.S, seni bina Islam yang masih kekal sehingga ke hari ini. Maka, ingatlah bahawa karya seni bina Islam mesti dihargai dan disyukuri.

Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama Nabi Ismail meninggikan binaan asas-asas (tapak) Baitullah (Kaabah) itu, sambil kedua-duanya berdoa dengan berkata:Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami), sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. Surah al-Baqarah:127

Pembinaan masjid juga dicatatkan sebagai perkara yang terawal. Ini dilakukan Rasullulah SAW setelah baginda tiba di Madinah.

Masjid dalam Islam mempunyai beberapa bahagian yang tersendiri. Antaranya ialah menara, kubah, mihrab, mimbar dan tempat berwuduk.

Kemudian, perkembangan seni bina Islam bermula selepasnya pembinaan Masjid Quba, Masjid Nabawi dan bermacam-macam lagi.

#3 -Impak Seni Bina Islam

Setelah melihat dan menghayati seni bina Islam, keunikan seni bina itu jelas terserlah. Keunikan itu berkaitan dengan struktur bangunan tersebut, identiti mahupun dekorasinya. Oleh itu, hasil seni bina Islam harus dibanggakan oleh umat Islam.

Seni bina Islam juga menonjolkan lambang keagungan sekaligus menonjolkan identiti Islam. Seni yang terhasil akan menjadi mercu kegemilangan sesuatu bangsa atau negara.

Situasi ini sudah dinyatakan Ibnu Khaldun. Sememangnya, keagungan dan ketinggian sesuatu tamadun itu dapat diukur berdasarkan pencapaiannya dalam bidang ini.

Sebagai contoh, tamadun Kaum Thamud, mempunyai kemahiran memahat gunung-ganang untuk dijadikan kediaman mereka. Peninggalan mereka itu terbukti dengan adanya Mada’in Saleh. Menakjubkan bukan?

Namun, sehebat manapun hasil kesenian ciptaan manusia, tiada apa pun yang dapat menandingi kehebatan dan kebesaran ciptaan Allah SWT. Kesenian adalah bertujuan untuk melahirkan rasa kagum akan kebesaran dan keindahan alam ciptaan Allah.

Konklusinya, seni tidaklah bermatlamatkan hiburan atau keseronokan semata-mata. Hal ini kerana, Islam telah menggariskan bahawa kesenian adalah mengikut fitrah dan naluri manusia.

Manusia yang sepatutnya memimpin seni bagi mengikut fitrah kejadian ini dan berfungsi memberi ketenangan. Lalu, seni bina Islam haruslah menuruti apa-apa yang boleh mendapatkan keredaan daripada Allah SWT.

Seni bina Islam turut merangkumi aspek material dan spiritual yang mempunyai hubungannya dengan ketauhidan terhadap Allah.

Melalui bangunan-bangunan masjid di atas muka bumi ini, maka terciptalah pelbagai reka bentuk yang mempunyai ciri-ciri tersendiri.

Ciri-ciri yang mengambil konsep ketauhidan dan kreativiti tokoh Islam dalam menonjolkan ciri-ciri seni bina Islam yang unggul. Ya, kita dapat melihat sendiri bangunan-bangunan yang bercirikan seni bina Islam di Malaysia.

Pada zaman ini, bermacam-macam jenis binaan yang mahu dibangunkan. Dengan pelbagai fungsi serta memiliki ciri-ciri kesenian Islam.

Seni bina ini terlalu indah. Moga kita dapat bersama-sama menghayati keindahan dan keunikan seni bina Islam yang terdapat di mana-mana sahaja.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Asyiqin Rosmahadir

Asyiqin Rosmahadir

Seorang pelakon di pentas dunia. Acap kali menyandang watak gadis yang berusaha untuk memperbaiki kehidupan sendiri. Kadangkala, lakonannya begitu indah di alam fantasi. Beliau gemar bersuara melalui tulisan dan sedang gigih berperang dalam dunia seni bina.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami