Gaya Hidup, Tokoh

Sengaja Heret Diri Ke Kancah Fitnah – Lihat Kisah Al-A’mash Dan Gurunya

Oleh Fizah Lee  •  20 Oct 2020  •  4 min baca

“Takpelah post gambar dekat restoran ini, bukannya aku minum arak, aku makan makanan halal je.”

“Alah, dia yang mengumpat kita, biarlah sebab dia yang dapat dosa. Aku dapat pahala nanti.”

Selalu kan kita mendengar ada ungkapan-ungkapan begini sama ada yang diungkapkan di alam maya mahupun secara terus.

Seseorang itu tidak melakukan perkara yang salah atau buruk pun, namun apabila disebarkan, ia boleh memberi pandangan yang negatif daripada sekeliling.

Dan antara sedar atau tidak, anda sebenarnya sedang membuka ruang kepada diri anda ke kancah fitnah.

Fitnah itu merupakan perkara yang paling menakutkan sebab ia diibaratkan anda bercakap sesuatu perkara terhadap orang yang telah mati. Mereka tidak boleh membetulkan keadaan itu kerana roh dan nyawa mereka telah terpisah daripada jasad.

Tetapi, ia bukan kesalahan anda. Sudah tentu ia adalah kesalahan orang yang melemparkan fitnah kepada anda.

Itu tidak dinafikan. Manusia yang berkata perkara yang buruk atau hanya berdasarkan pandangan mata kasar mereka semata-mata, itu adalah dosa mereka.

Namun, siapa yang membuka ruang untuk mereka melakukan dosa? Siapakah yang memberi peluang kepada orang sekeliling untuk bercakap perkara yang tidak benar?

Inilah yang dinamakan sebagai membuka ruang fitnah ke atas diri sendiri. Sedangkan, Islam mengajar umatnya untuk menjaga diri sendiri dan ahli keluarga daripada perkara buruk dan fitnah.

Sebagaimana sebuah sabda daripada Baginda SAW;

الفِتْنَةُ نَائِمَةٌ لَعَنَ اللهُ مَنْ أَيْقَظَهَا

Maksud: “Fitnah itu tidur. Allah melaknat sesiapa yang mengejutkannya.” (Hadis Riwayat al-Rafi’e dalam Al-Amali)

Dan dalam beberapa hadis, Baginda SAW juga sentiasa mengajarkan kita untuk berdoa agar dilindungi Allah daripada tertimpa fitnah. Antara doa yang diajar ialah;

رَبَّنَا لَا تَجْعَلْنَا فِتْنَةً لِّلْقَوْمِ الظَّالِمِينَ
وَنَجِّنَا بِرَحْمَتِكَ مِنَ الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ 

Mafhum: “Wahai tuhan kami! Janganlah Engkau jadikan kami landasan fitnah kesengsaraan bagi kaum yang zalim ganas. Dan selamatkanlah kami dengan rahmatMu dari angkara kaum yang kafir.” (Surah Yunus, 10:85-86)

Kisah Al-A’mash Dan Gurunya An-Nakha’i

Ada sebuah kisah yang menceritakan mengenai dua orang tokoh salafus soleh yang boleh diambil pengajaran untuk kita tidak melemparkan diri ke kancah fitnah.

Kisah ini ada diceritakan oleh Al-Imam Al-Hafiz Abu al-Faraj ibn al-Jauzi RA melalui kitab Al-Muntazam fit-Tarikh, iaitu mengenai Abu ‘Imran An-Nakha’i dan muridnya, Sulaiman bin Mihran Al-A’mash RA.

An-Nakha’i merupakan seorang guru dan ulama yang buta penglihatan manakala Sulaiman bin Mihran adalah seorang yang rabun. Disebabkan itu beliau digelar Al-A’mash.

Dikisahkan pada suatu hari, mereka berdua berjalan beriringan di sekitar kota Kufah, Iraq untuk mencari masjid. An-Nakha’i kemudian berkata kepada Al-A’mash:

“Wahai Sulaiman, aku meminta untuk engkau berjalan dengan jalan yang berbeza dari jalan yang aku gunakan. Aku tidak mahu manusia sekeliling kita mengejek kita sebagai si buta yang dipimpin oleh si rabun.”

Al-A’mash kemudian menjawab: “Apa yang kamu risaukan wahai guruku? Jika mereka mengejek kita dengan ejekan yang demikian, bukankah kita akan mendapatkan pahala darinya dan mereka pula akan mendapat dosa?”

Lalu, An-Nakha’i menjawab: “Subhanallah. Apa yang baik jika kita mendapat pahala daripada dosa yang mereka lakukan? Sesungguhnya, kita tidak mendapat pahala dan mereka selamat daripada dosa adalah jauh lebih baik daripadanya.”

Apa pengajaran yang kita semua boleh dapat daripada kisah yang dibawakan ini?

Syurga Allah itu luas. Bukan kita seorang sahaja yang boleh memasukinya, bahkan semua makhluk yang ada boleh memilikinya.

Jadi, jangan pentingkan diri anda dengan pemikiran – “Tidak mengapa dia mengumpat aku, nanti aku dapat pahala dan dia akan mendapat dosa.”

Itu adalah perkara yang salah. Banyak lagi perkara dan amalan lain yang boleh dilakukan untuk menambah pahala dalam saham anda.

Disebabkan itu, Allah menganjurkan kepada kita untuk menjaga diri kita sendiri dan orang sekeliling daripada menjadi bahan ejekan dan fitnah.

Jika ia datang tanpa dapat dikawal, sekurang-kurangnya anda sendiri telah berusaha untuk menghalangnya.

Namun, jika ia datang disebabkan oleh undangan anda melalui pintu-pintu yang anda sendiri buka, inilah yang perlu diperbaiki.

Kesimpulan

Sebelum ia menjadi semakin besar dan melarat kepada perkara lain, adalah lebih baik untuk anda sendiri yang mengawalnya.

Kita berada di zaman yang begitu mudah untuk fitnah melanda. Ditambah dengan kepesatan teknologi dan media sosial yang mudah diakses oleh setiap lapisan masyarakat.

Oleh itu, gunalah ia dengan bijak melebihi kebijakan teknologi sekarang. Semoga diri kita dan orang tersayang terhindar daripada fitnah dan hati kita juga boleh dielak daripada memfitnah orang.

Wallahu a’alam

Rujukan:
Kisah Al-A’Mash Dan Gurunya An-Nakha’i
Dr. Mohammad Al-Arefe


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami