Gaya Hidup

Selamat Hari Lahir – Antara Amalan Yang Boleh Dilakukan Untuk Lebih Diberkati

Oleh Fizah Lee  •  6 Oct 2019  •  3 min baca

“Selamat hari lahir.”

Itu antara ucapan yang sering dilontarkan buat birthday boy atau birthday girl tidak kira berapa angka yang telah anda cecah. Walau berapa pun umur anda, pasti perasaan seronok itu akan menjalar dalam diri untuk menyambut hari kelahiran sendiri.

Buat mereka yang sentiasa mengadakan sambutan hari lahir sama ada dengan mengadakan jamuan atau berkumpul bersama yang tersayang, mungkin ia sebagai satu peluang untuk lebih mensyukuri kehidupan yang dilalui sepanjang hidup.

Namun, apa yang paling penting ialah amalan dan sambutan yang dilakukan tidak menuju ke arah haram atau yang melanggar syariat Islam seperti wujudnya pembaziran, pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan atau yang melalaikan sehingga meninggalkan ibadat wajib.

Para ulama’ dan juga golongan ilmuwan tidak menghalang untuk melakukan majlis sambutan hari lahir kerana ia salah satu bukti bahawa kita bersyukur dengan nafas yang telah diberikan sehingga ke hari ini.

Raikanlah hari lahir anda dengan tujuan untuk mensyukuri nikmat Allah, muhasabah diri dan bergembira bersama yang tersayang.

Apa yang telah dilakukan sepanjang kehidupan anda dan bagaimana untuk menjadi hamba yang lebih baik dari sebelumnya.

Menyambut hari lahir bukan bererti umur anda makin panjang, namun perlu diingat akan semakin hampir dengan Allah.

Jadi, dalam waktu inilah anda boleh mengambil ruang dan masa untuk berfikir ke arah yang lebih baik dan tidak mensia-siakan peluang yang diberikan.

Oleh itu, untuk lebih diberkati pada hari lahir dan sepanjang umur anda, terdapat beberapa amalan yang boleh dilakukan;

#1 – Zahirkan Rasa Syukur

وَأَمَّا بِنِعْمَةِ رَبِّكَ فَحَدِّثْ

Mafhum: “Adapun nikmat tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya.” (Surah Ad-Dhuha, 93:11)

Bersyukur dengan melalukan amalan-amalan sunat seperti solat sunat dua rakaat dan berdoa agar umur yang diberikan itu diberkati dan dijauhkan daripada amalan-amalan buruk.

#2 – Memberi Makan Sekadar Mampu

Mengadakan jamuan hari lahir adalah dengan memberi makan kepada mereka yang hadir seperti keluarga dan rakan-rakan yang tersayang. Namun, buat mereka yang tidak ingin menyambut hari lahir, boleh juga memberi makan buat mereka yang memerlukan.

Ia dianggap sedekah dan amalan memberi ini aalah lebih mulia daripada si penerima. Tidak perlu tunggu rakan-rakan anda melakukan kejutan hari lahir, sebaliknya anda perlu memulakan dengan memberi makan tidak kira kepada siapa sahaja.

Ia diibaratkan sebagai satu nafas baru untuk memulakan tahun anda agar lebih mudah melakukan kebaikan dan memberi. Jika bukan pada hari-hari begini, bila lagi anda boleh memulakan?

#3 – Memberi Hadiah

Sebelum anda berfikir untuk meminta hadiah daripada orang tua anda, adalah lebih baik anda yang memberikan mereka hadiah. Mereka ialah orang yang selama ini mengandung, melahirkan dan membesarkan anda bagai menatang minyak yang penuh.

Jadi, mereka ialah orang yang paling layak untuk menerima ucapan terima kasih dan hadiah daripada anda sebagai tanda anda menghargai jasa mereka. Walau ia kecil dan tidak dapat disamakan dengan jasa besar mereka, namun sekurang-kurangnya ia dapat membahagiakan mereka sekali gus menambah keredaan kepada anda.

Tanpa mereka, mungkin anda tiada di dunia pada hari ini.

Kesimpulan

Sambutan hari lahir tidak perlu diadakan secara meriah sehingga membazir, cukup dengan anda muhasabah diri dan menerima doa daripada orang-orang tersayang, itu sudah memadai.

Yang paling penting, tetapkan azam untuk menjadi lebih baik pada usia baru tersebut. Kerana kematangan bukan diukur berdasarkan usia tetapi sejauh mana anda mengubah diri menjadi lebih baik.

Wallahu a’lam.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami