Inspirasi

Sejauh Mana Merdekanya Jiwa Anda

Oleh Fieyzah Lee  •  30 Aug 2019  •  3 min baca

Saya teringat akan sebuah siri animasi yang pernah menjadi pujaan ramai terutamanya golongan yang lahir pada era 90an, iaitu Anak-Anak Sidek. Rancangan tersebut disiarkan di stesen televisyen RTM bermula pada tahun 1999 hingga 2003. Ia juga pernah diulang siar beberapa kali selepas itu. Salah satu episodnya membawakan tema kemerdekaan.

Episod tersebut dimulakan dengan babak mereka sedang menyiapkan kerja sekolah dan ia adalah berkenaan erti merdeka.

“Apa erti merdeka yang sebenar?”

Lebih kurang begitu soalan yang diajukan oleh salah seorang anak Sidek dan masing-masing memberikan jawapan mengenai kebebasan negara.

Namun, ada seorang daripada anaknya yang menjawab dengan jawapan yang menarik perhatian saya untuk dirungkai dalam artikel kali ini, iaitu;

“Kemerdekaan yang sebenar bermula daripada jiwa. Sejauh mana jiwa kita bebas dan merasa bahagia dengan kebebasan tersebut.”

Merdeka itu sendiri ertinya bebas. Bebas dari jajahan dan campur tangan kuasa luar. Bebas untuk memilih dan membuat keputusan berdasarkan minat anda dan bebas untuk melakukan apa sahaja.

Jadi, bagaimana merdekanya jiwa anda dalam kehidupan? Adakah jiwa anda bebas? Atau sejauh mana perasaan bebas itu mampu memberi kebahagiaan kepada diri anda?

Cuba anda duduk sejenak untuk berfikir, apa yang sedang anda lakukan dalam hidup ini memberi kebahagiaan kepada diri anda atau sebaliknya?

Adakah tujuan kehidupan ini terlaksana dan anda merasa puas dengannya atau tidak?

Apa guna berkereta besar, bergaji mewah dan hidup dengan penuh kesenangan sedangkan hati anda tidak merasa tenang dan bahagia dengan apa yang anda lakukan.

Ibarat burung merpati yang dikurung di dalam sangkar emas, diberi makan mewah oleh tuannya namun tidak bebas. Begitulah perumpamaan kepada jiwa yang merasa kosong.

Kadang, kita tertanya kepada diri – “Aku punya segalanya, tetapi mengapa jiwaku terasa kosong dan tidak puas dengan apa yang dilakukan?”

Itu tanda jiwa anda tidak bebas dengan pemikiran dan perbuatan yang anda lakukan.

Anda bertindak bukan didasari minat dan apa yang boleh memuaskan diri tetapi anda cenderung melakukan perkara yang boleh memuaskan hati orang sekeliling dan menghiraukan apa sebenarnya yang jiwa anda mahukan.

Saya bawakan satu contoh – Anda berasa puas menjadi seorang doktor kerana pekerjaannya dipandang tinggi dan ibu bapa anda juga mengharapkan agar kehidupan anda terjamin dengan pekerjaan tersebut.

Namun, hati anda tidak. Jiwa anda meronta-ronta ingin melakukan benda lain, iaitu minat yang ada dalam diri anda sendiri. Namun, anda menghiraukannya kerana lebih memikirkan jiwa dan perasaan orang lain.

Saya bawakan satu lagi contoh untuk melihat bagaimana hubungan jiwa dan Pencipta yang saling berkait rapat.

Anda sudah menempa nama dan mempunyai kejayaan yang tinggi dalam bidang yang diceburi. Sudah pasti bidang itu adalah berdasarkan minat anda sendiri.

Namun, anda tertanya kepada diri; “Aku sudah capai semuanya, terus apa lagi?”

Anda cenderung untuk mencari sesuatu demi memenuhi kehendak hati anda, namun anda lupa satu perkara, iaitu apa yang hilang dari hati anda.

Cinta kepadaNya – Itulah bukti sebuah jiwa yang bebas dan merdeka.

Hati kita adalah milikNya. Sejauh mana pun kita melangkah, namun tidak didasari oleh rasa cinta dan tidak berpaut padaNya, suatu hari nanti ia tetap akan memberi isyarat kepada anda mengenai kehilangan rasa itu.

Apabila kita mempunyai rasa cinta kepadaNya, hati kita tidak akan kosong, justeru ia tidak akan mudah dikacau oleh anasir-anasir jahat seperti bisikan syaitan atau terpengaruh dengan penyakit hati yang lain.

Jiwa yang dipenuhi dan ditanam dengan cintaNya juga akan mudah berasa bahagia, mudah menerima takdir dan qada’ Allah serta mampu untuk ikhlas akan setiap sesuatu.

Yang paling utama, ia akan bebas dan merdeka daripada segala perasaan yang tidak enak dan penyakit hati.

Hanya diri anda sendiri yang boleh mengetahui sejauh mana merdekanya jiwa anda. Tepuk dada, tanya iman.

“Merdeka adalah ketika hati boleh menentukan kebahagiaannya sendiri.”

Wallahu a’lam.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fieyzah Lee

Fieyzah Lee

Merupakan seorang pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami