Ibadah, Sejarah

Sejarah Disyariatkan Solat Sunat Gerhana Pada Zaman Rasulullah

Oleh Fizah Lee  •  26 Dec 2019  •  4 min baca

Hari ini kita diberitakan mengenai kejadian gerhana matahari yang akan berlaku bermula pukul 11.18 pagi sehingga 3.09 petang. Waktu kemuncak gerhana ini ialah pada 1.11 tengah hari di mana 85 peratus matahari akan ditutupi bulan.

Fenomena ini berlaku apabila kedudukan bulan terletak di antara bumi. Justeru, cahaya matahari akan ditutup sama ada separa atau sepenuhnya.

Menurut sebuah kajian yang dijalankan oleh sekumpulan pelajar Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Geometik dari Universiti Teknologi Mara berkata, ia juga berlaku akibat daripada peningkatan suhu dan angin yang akan berhenti seketika.

Sebenarnya, ia bukanlah sebuah fenomena yang baru kerana pada zaman Baginda SAW juga pernah berlaku kejadian seperti ini. Ia bukanlah disebabkan oleh kemurkaan Allah SWT tetapi untuk menunjukkan kebesaran dan kekuasaanNya sekali gus untuk memperingati manusia akan nikmat dan azab yang dijanjikan Allah.

Gerhana matahari atau dalam Bahasa Arab ialah kusuf (الكُسُوفِ) bermaksud terlindung atau hilangnya cahaya matahari sama ada separuh atau sepenuhnya.

إنَّ الشَّمسَ والقمرَ آيتانِ مِن آياتِ اللهِ يُخوِّفُ بهما عبادَه وإنَّهما لا ينكسفانِ لموتِ أحدٍ مِن النَّاسِ – وكان ابنُه توفِّي – فإذا رأَيْتُم منها فصلُّوا حتَّى يُكشَفَ ما بكم

Maksud: “Sesungguhnya matahari dan rembulan (bulan) adalah dua di antara tanda kebesaran Allah. Keduanya (kalau sedang gerhana) oleh Allah digunakan untuk memperingati hambaNya. Dan keduanya bukanlah berlaku kerana kematian (untuk menakutkan) seseorang di antara manusia. Disebabkan itu, apabila kamu melihatnya, maka lakukanlah solat dan berdoalah kepada Allah sehingga kejadian itu hilang.” (Hadis Riwayat Ibn Hiban, 2835)

Solat Sunat Kusuf

Pada zaman Rasulullah SAW, apabila berlakunya gerhana ini, Baginda akan menganjurkan umatnya untuk melakukan solat sunat gerhana (solat sunat kusuf). Ia merupakan sunat muakkad, iaitu sunat yang dituntut untuk dilakukan.

Ia mula disyariatkan pada tahun kedua hijrah ketika meninggalnya putera Baginda SAW, iaitu Ibrahim. Masyarakat Arab Jahilah percaya bahawa kematian seseorang ada kaitan dengan gerhana. Mereka menuduh bahawa kematian Ibrahim disebabkan kejadian gerhana yang membawa musibah.

Oleh itu, Allah telah menurunkan sebuah ayat daripada surah Al-Fussilat (ayat 37) yang mensyariatkan solat ketika gerhana matahari dan bulan yang berlaku kerana kebesaranNya dan bukan akibat kematian atau bala.

Ia boleh dilakukan secara berjemaah atau individu dengan bilangan rakaat sebanyak dua dan mengandungi empat kali bacaan surah Al-Fatihah, empat kali rukuk dan empat kali sujud.

Waktu solat sunat ini ialah ketika bermula gerhana dan berterusan sehingga matahari telah mula dilihat secara penuh (berakhirnya gerhana).

Antara kaifiat (tatacara) melakukan solat sunat gerhana matahari ialah:

#1 – Tidak dilaungkan azan. Cukup memanggil dengan laungan الصَّلَاةُ الجَامِعَةُ (as-Solah al-Jami’ah).

#2 – Niat: أُصَلِّى سُنَّةَ الخُسُوفِ رَكْعَتَينِ للهِ تَعَالَى (Sahaja aku menunaikan solat sunat gerhana matahari dua rakaat kerana Allah Ta’ala).

#3 – Membaca doa iftitah.

#4 – Membaca surah Al-Fatihah dan surah Al-Baqarah (atau mana-mana surah yang dirasakan bersesuaian)

#5 – Rukuk dan membaca tasbih

#6 – Iktidal serta membaca surah Al-Fatihah dan surah Al-Imran (atau mana-mana surah yang bersesuaian).

#7 – Rukuk dan membaca tasbih

#8 – Iktidal

#9 – Sujud dan dibacakan tasbih dalam sujud. Kemudian duduk di antara dua sujud dan kembali sujud dan dibacakan tasbih.

#10 – Rakaat kedua dilakukan sama seperti rakaat pertama dan diakhiri dengan salam.

Menurut beberapa riwayat, bilangan tasbih itu boleh dilakukan sama ada 100, 70, 50, 30, 7 atau tiga.

Disunatkan untuk membaca khutbah selepas solat sunat ini (jika dilakukan berjemaah) dan boleh dibaca doa yang sesuai selepasnya seperti doa di bawah;

اَللهُمَّ لَكَ الْحَمْدُ اَنْتَ قَيِّمُ السَّمَوَاتِ وَاْلاَرْضِ وَمَنْ فِيْهِنَّ. وَلَكَ الْحَمْدُ اَنْتَ مَالِكُ السَّمَوَاتِ واْلاَرْضِ وَمَنْ فِيْهِنَّ. وَلَكَ الْحَمْدُ اَنْتَ نُوْرُ السَّمَوَاتِ وَاْلاَرْضِ وَمَنْ فِيْهِنَّ. وَلَكَ الْحَمْدُ اَنْتَ الْحَقُّ وَوَعْدُكَ الْحَقُّ وَلِقَاءُكَ حَقٌّ وَقَوْلُكَ حَقٌّ وَالْجَنَّةُ حَقٌّ وَالنَّارُ حَقٌّ وَالنَّبِيُّوْنَ حَقٌّ مُحَمَّدٌ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَقٌّ وَالسَّاعَةُ حَقٌّ. اَللهُمَّ لَكَ اَسْلَمْتُ وَبِكَ اَمَنْتُ وَعَلَيْكَ تَوَكَّلْتُ وَاِلَيْكَ اَنَبْتُ وَبِكَ خَاصَمْتُ وَاِلَيْكَ حَاكَمْتُ فَاغْفِرْلِيْ مَاقَدَّمْتُ وَمَا اَخَّرْتُ وَمَا اَسْرَرْتُ وَمَا اَعْلَنْتُ وَمَا اَنْتَ اَعْلَمُ بِهِ مِنِّيْ. اَنْتَ الْمُقَدِّمُ وَاَنْتَ الْمُؤَخِّرُ لاَاِلَهَ اِلاَّ اَنْتَ. وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ اِلاَّ بِاللهِ

Maksud: “Wahai Allah! MilikMu lah segala puji. Engkaulah penegak dan pengurus langit dan bumi serta makhluk yang ada di dalamnya, milikMu lah segala puji. Engkaulah penguasa (raja) langit dan bumi serta makhluk yang ada di dalamnya. MilikMu lah segala puji. Engkaulah cahaya langit dan bumi serta makhluk yang ada di dalamnya.

MilikMu lah segala puji. Engkaulah yang Hak (benar), janjiMu lah yang benar, pertemuan denganMu adalah benar, perkataanMu benar, syurga itu benar (ada), neraka itu benar (ada), para nabi itu benar. Nabi Muhammad SAW itu benar, dan hari kiamat itu benar. Wahai Allah! Hanya kepadaMu lah aku berserah diri, hanya kepadaMu lah aku beriman, hanya kepadaMu lah aku bertawakkal hanya kepadaMu lah aku kembali, hanya kepadaMu lah aku hadapi musuh, dan hanya kepadaMu lah aku hadapi berhukum. Oleh kerana itu, ampunilah segala dosaku, yang telah kulakukan dan yang (mugkin) akan kulakukan, yang kurahsiakan dan yang kulakukan secara terang-terangan.

Dan dosa-dosa lainnya yang Engkau lebih mengetahuinya daripada aku. Engkaulah yang Maha Terdahulu dan Engkaulah Yang Maha Terakhir. Tiada Tuhan selain Engkau, dan tiada daya upaya dan kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah.”

Wallahu a’alam.

Rujukan:
Jabatan Mufti Negeri Perak


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami