Inspirasi

Segelas Zamzam Di Bawah Terik Mentari

Oleh Asyraff Hafdzan  •  31 Jul 2018  •  5 min baca

Pada musim bunga membawa ke musim panas, cuaca di Mekah semakin hari semakin terik. Suhu juga semakin meningkat hingga melebihi 40 darjah celcius.

Hujan memang jarang sekali turun. Biasanya, apabila hujan turun, ia sama ada menjadi permulaan musim sejuk ataupun pengakhirannya. Selepas itu, matahari pagi terik hingga ke petang.

Kalau kita melaksanakan umrah pada musim ini, bersedialah untuk menghadapi cuaca panas terik. Tahun ini, bulan Ramadan dan bulan Haji, pada musim panas.

Cuaca memang panas terik. Kebiasaannya walaupun cuaca panas, tetapi kita kurang berpeluh. Namun pada tengah hari ini, cuaca agak luar biasa. Selesai taklimat sebelum melaksanakan umrah di pekarangan Masjidil Haram, kain ihram di badan sudah mula lenjun dengan peluh.

Perjalanan masuk ke kawasan tawaf lancar walaupun orang ramai dan sedikit sesak. Lantai yang dipijak terasa dingin. Kami bertakbir sambil melambai tangan di kawasan lampu hijau, tanda tawaf dimulakan di garis setentang Hajarul Aswad.

Sebaik selesai kami melaksanakan tawaf mengelilingi Kaabah sebanyak tujuh pusingan, kami pun mencari tempat di belakang Makam Ibrahim untuk menunaikan solat sunat tawaf dua rakaat.

Ketika artikel ini ditulis, kerajaan Arab Saudi sedang melaksanakan pembaikian kawasan bawah tanah berhampiran telaga Zamzam.

Justeru sebahagian besar kawasan tawaf ditutup. Kebetulan, ada satu kawasan yang agak hampir di belakang Maqam Ibrahim dapat kami duduki untuk bersolat sunat tawaf.

Sambil berdoa, peluh bercucuran. Tekak terasa perit bahana membaca doa secara kuat tadi bagi didengari oleh jemaah. Kaki juga terasa lenguh dan lekit. Ini belum masuk ibadah saie lagi. Tapi digagahi jua kerana setiap dahaga berpahala dan setiap peluh bercucuran menghapuskan dosa.

Saya terlihat seorang petugas Masjid membawa sebalang air zamzam di atas belakangnya. Rupanya, di tangan beliau ada bungkusan cawan dan juga paip air. Dia sibuk membahagi-bahagikan air zamzam kepada jemaah yang berada di dataran tawaf.

Sebahagian jemaah saya juga bergilir-gilir mendapatkan air zamzam daripada petugas itu.

“Ustaz, ustaz nak air zamzam itu? Nanti saya ambilkan.”

Ujar anak muda yang turut menjadi jemaah saya dan rakan sebilik. Saya menganggukkan kepala sahaja.

Membayangkan betapa sejuk dan enaknya air zamzam yang sudah disejukkan, mengalir perlahan di dalam tekak, membuatkan saya tidak sabar menunggu rakan sebilik saya itu mengambilkannya.

Petugas air zamzam itu kelihatan cuba menuangkan air zamzam ke dalam cawan plastik untuk saya. Namun, malang apabila tiba-tiba paip air zamzam itu cuma menitiskan setitik dua air. Air zamzam dalam tong habis!

Kelat wajah saya. Barangkali kerana terlalu memberi harapan. Akhirnya harapan terkecewa juga.

“Ustaz ambillah air saya ini.”

Ujar seorang lagi ahli jemaah dalam kumpulan saya. Tampak wajahnya tersenyum yang tidak dibuat-buat. Saya membalas senyumnya.

Air zamzam segar yang hanya tinggal separuh gelas akhirnya diteguk puas. Mujurlah ada juga baki yang tinggal. Terdetik di hati saya gambaran peristiwa ini berdasarkan hadis-hadis yang pernah saya baca.

Pada hari kiamat nanti, selepas sangkakala kedua ditiupkan, manusia akan bangkit dan berkumpul di Mahsyar. Manusia beriman akan mencari Rasulullah S.A.W dan mendapatkan air telaga al-Kauthar.

Bayangkan bagaimana keadaan kita ketika itu, penat berjalan entah berapa ratus kilometer demi menuju padang Mahsyar.

Dalam keadaan peluh bergenang, mentari di atas kepala terik menyinar, dan kaki sedang melangkah mencari Rasulullah. S.A.W Tentu sangat dahaga. Dalam satu riwayat daripada Anas bin Malik R.A berkata;

”Aku memohon Rasulullah S.A.W untuk memberikanku syafaat pada hari kiamat.

Anas bin Malik berkata, Rasulullah S.A.W menjawab; “Aku akan melakukannya, Insyaa Allah.”

Anas bin Malik berkata; “Di manakah dapat saya mencari tuan pada hari kiamat kelak?”

Rasulullah S.A.W bersabda; “Carilah aku di atas titian sirat.”

Anas bin Malik berkata, aku bertanya lagi; “Dan jika aku tidak menemui tuan di atas titian sirat?”

Rasulullah S.A.W bersabda; “Maka carilah aku di mizan, iaitu tempat ditimbangnya amal manusia.”

Anas bin Malik bertanya lagi; “Jika aku tidak menemukan tuan di mizan?”

Rasulullah S.A.W bersabda; “Carilah aku di telaga, aku tidak akan berada di tempat lain, selain tiga tempat ini pada hari kiamat.”

Bagaimana kalau tatkala kita sudah nampak Rasulullah dan sedang menghampiri telaga al-Kauthar milik Rasulullah S.A.W , malah Rasulullah sendiri sedang menunggu kita untuk diberikan air minuman itu.

Alangkah nikmatnya air yang sesiapa meminumnya pasti tidak akan haus selamanya. Tekak yang terlalu haus terasa semakin haus kerana tidak sabar mahu mencicipnya. Daripada Sahal bin Sa’d mengatakan, Nabi S.AW. bersabda;

“Akulah orang pertama yang akan datang ke telaga (al-Kauthar), sesiapa yang menuju ke telagaku, mereka akan meminumnya, dan sesiapa yang meminumnya tidak akan merasa haus untuk selama-lamanya. Sesungguhnya akan ada beberapa kaum yang datang kepadaku dan aku mengenalinya dan mereka juga mengenaliku, kemudian dihalang di antara aku dan mereka.”

Andaikata Rasulullah S.A.W sudahpun menunggu kita, dan mengenali tanda-tanda wuduk pada anggota badan kita, lalu hanya beberapa langkah sahaja lagi kaki akan sampai di sana mendapatkan insan yang paling dirindui selama hidup di dunia.

Tiba-tiba tubuh kita direntap dan dihalau oleh para malaikat. Malah malaikat mencaci dan memaki kita dan memberitahu Rasulullah, bahawa kita tak layak langsung untuk meminum air telaga Kauthar.

Allahu Akbar! Nauzubillahi min zalik. Moga Allah melindungi kita daripada terkena musibah seumpama itu.

Tahukah anda mengapa orang yang menghampiri telaga Kautsar dihalau oleh malaikat, walaupun mereka mempunyai tanda-tanda sebagai umat Nabi Muhammad?

Hal ini disebabkan mereka murtad sepeninggalan Nabi sebagaimana yang disebutkan dalam hadis sebelum ini. Ada juga pendapat para ulama menyebut bahawa mereka menambah-nambah amalan agama bukan sebagaimana yang disyariatkan oleh Nabi pada asalnya.

Sahabat-sahabat, tanamkan cita-cita untuk menemui Nabi dan menjadi jiran Nabi di syurga kelak. Masukkan dalam doa harian, buku 101 impian, dalam vision board dan jadikan ia sebagai satu pemangkin semangat untuk mencontohi Nabi dalam segenap aspek kehidupan.

“Ya Allah, kurniakan kami pertemuan dengan Rasul-Mu yang mulia. Kurniakan kami dapat meminum air dari telaga milik Rasulullah S.A.W, Ya Allah. Jauhilah kami daripada mengikuti jalan yang jauh daripada petunjuk Nabi-Mu.”


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami