Inspirasi

Segala Yang Allah Mahukan Pasti Terjadi

Oleh Natirah Azira  •  31 May 2019

(Perkongsian dalam video di atas telah disampaikan oleh Mufti Menk, dibawakan oleh TheMercifulServant)

Mufti Menk dalam video di atas menyampaikan satu cerita yang pernah didengarinya sendiri daripada seorang syeikh. Ia berkenaan seorang lelaki yang bekerja sebagai seorang Doktor Pakar Neurologi yang sangat terkenal di Pakistan.

Pada suatu hari, lelaki ini menaiki kapal terbang ke suatu tempat. Dalam penerbangan, cuaca menjadi sangat buruk, kilat sabung menyabung dan juruterbang terpaksa melakukan pendaratan kecemasan di tempat yang sangat terpencil.

Proses baik pulih kapal terbang tersebut pula memakan masa yang lama kerana sukar untuk mendapatkan bantuan. Dengan saranan daripada juruterbang itu sendiri, dia akhirnya memutuskan untuk menaiki kenderaan melalui perjalanan darat sahaja. Tempat yang ingin ditujunya hanya mengambil masa beberapa jam lagi untuk sampai.

Namun dalam perjalanan, sekali lagi cuaca menjadi buruk. Hujan turun selebat-lebatnya dan beliau bersama temannya terperangkap lagi dalam keadaan itu dan perjalanan tidak dapat diteruskan. Apabila menyedari ada sebuah rumah di kawasan terpencil itu, mereka akhirnya memutuskan untuk berhenti dan berteduh di sana.

Tiba di rumah tersebut, seorang perempuan tua menyambut mereka. Mereka diizinkan berehat dan menunaikan solat di sana sementara menunggu hujan reda. Di rumah itu juga terdapat seorang kanak-kanak yang sangat sakit. Lalu doktor itu bertanyakan keadaan kanak-kanak tersebut.

Kata perempuan itu, dia telah berjumpa dengan ramai doktor untuk merawat kanak-kanak tersebut namun tidak juga sembuh. Hanya ada seorang sahaja doktor pakar yang dikhabarkan mampu merawat penyakitnya. Tetapi temu janji dengan doktor memakan masa selama enam bulan kerana doktor tersebut sangat sibuk. Sejak daripada itu perempuan itu berdoa bersungguh-sungguh kepada Allah supaya dipermudahkan pertemuannya.

Lantas lelaki tersebut bertanya, “Apakah nama doktor tersebut?”

“Nama beliau Doktor Isyan”

Lalu doktor tersebut mula menangis. Perempuan tersebut pelik dan bertanya mengapa dia menangis.

“Doamu baru sahaja dijawab Allah”. Dirinya lah Doktor Isyan yang dimaksudkan.

Kerana doa tersebut – guruh berdentum, hujan turun dengan lebat, dan menyebabkan doktor itu terkandas di tempat yang sangat asing.

Melalui apa yang berlaku kepadanya, ada pengajaran yang sangat besar tentang kekuasaan Allah. Dia mempelajari bahawa ‘tentera Allah’ itu mencakupi segalanya di atas muka bumi ini. Jika Allah mahukan sesuatu terjadi, Allah mampu menggerakkan apa jua di bawah kekuasaanNya untuk memastikan hal itu terjadi.

Seperti mana yang berlaku dalam kisah tersebut. Lelaki tersebut ialah seorang yang sangat sibuk, sangat terkenal, sangat jauh dan sangat asing daripada perempuan dan anaknya yang sedang sakit. Jika difikir dengan kudrat dan kemampuan perempuan tua itu, pasti sukar sekali untuk kedua-duanya saling bertemu.

Tetapi hal yang mustahil bagi kita langsung tidak mustahil bagi Allah. Maka berdoalah dengan benar-benar yakin apabila apabila meminta kepada Allah, kerana Allah itu menurut persangkaan hamba-hambaNya. Jangan sesekali buruk sangka apabila berdoa contohnya ‘Allah tidak akan mengabulkan’ atau berasa bahawa ia mustahil untuk ditunaikan.

Dari Abu Hurairah RA, ia berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda, Allah SWT berfirman,

أَنَا عِنْدَ ظَنِّ عَبْدِى بِى

“Aku sesuai dengan persangkaan hamba padaKu.” (Muttafaqun ‘alaih)

Segala yang Allah mahukan pasti terjadi. Sedangkan Allah mampu menghidupkan kembali kelak manusia yang telah mati, apatah lagi perkara-perkara sebegini. Ia mungkin di luar kawalan kita, namun jangan kita lupa segala-galanya adalah dalam kawalan Allah.

Hakikatnya setiap daripada kita memerlukan Allah dalam kehidupan. Jika hanya diharap pada kudrat kita, sudah pasti tidak banyak pun yang mampu kita capai. Namun sedar atau tidak, kerana bantuan Allah juga ia tetap berlaku.


Kongsikan Video Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan video ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Psikologi di universiti yang sama. Seorang yang suka membaca pelbagai genre bahan bacaan terutama sejarah, sastera, motivasi dan psikologi.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami