Ibadah

Seberapa Kuat Keinginan Kita Kepada Agama Islam?

Oleh Natirah Azira  •  24 Oct 2018  •  3 min baca

Kelas Islamization of Knowledge hari itu berjalan seperti biasa. Dr Farid memulakan kelas dengan berkongsi beberapa cerita tentang trend beragama di Jepun dan Korea. Kata beliau rata-rata yang memeluk agama Islam bermula dengan pencarian agama, memeluk agama Kristian dahulu sebelum berpindah kepada Islam.

Seorang pelajar perempuan pula berkongsi tentang seseorang yang dikenalinya, rakyat Kanada, yang menemui Islam, kemudian menyambung pelajaran ke Indonesia, namun akhirnya kembali semula kepada agamanya yang asal iaitu Kristian setelah melihat begitu banyak kebobrokan yang terjadi di sekelilingnya. Ironi.

Seberapa Kuat Kita Menginginkan Agama?

Ada saja cerita penghijrahan kepada Islam yang sampai ke telinga kita. Ada yang jatuh cinta kepada Islam menerusi kajian ilmu, ada melalui ayat Al-Quran yang dijumpai dan ada juga melalui pengamatan kepada kehidupan seperti yang telah dilalui oleh Miwa Esaadi dan juga Kyoichiro Sugimoto.

Namun kita tidak dapat lari daripada realiti bahawa ada juga kes-kes ‘keluar daripada agama Islam’ seperti yang telah dikongsikan di atas.

Persoalan yang harus dilontarkan di sini ialah; Seberapa kuat sebenarnya kita menginginkan agama dan kebenaran? Seberapa kuat kita berusaha untuk terus memahami Islam dan mengamalkan?

اللَّـهُ يَجْتَبِي إِلَيْهِ مَن يَشَاءُ وَيَهْدِي إِلَيْهِ مَن يُنِيبُ

Allah memilih serta melorongkan sesiapa yang dikehendakiNya untuk menerima agama tauhid, dan memberi hidayah petunjuk kepada agamaNya bagi orang yang kembali (kepadaNya)(Surah As-Syura 42:13)

Ujar Dr Farid, “Allah gives hidayah to ones who craves”

Allah memberi hidayah kepada orang yang benar-benar mahu, orang yang mempunyai keinginan yang sangat mendalam kepada Islam, orang yang tidak lelah mencari Islam siang dan malam.

Islam tidak boleh difahami dengan hanya melihat apa yang berlaku di sekeliling. Islam tidak dapat difahami dengan mengikut seseorang secara membuta tuli dengan perasaan taksub. Islam itu tidak terikat kepada sesiapa. Jika pentadbiran Islam tidak mampu menyelesaikan masalah masyarakat seperti kemiskinan, kemelaratan dan peperangan, adakah yang harus disalahkan ialah Islam atau orang yang menguruskan?

Dari Abu Hurairah Radhiyallahu anhu, bahwasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

“Bersegeralah kalian melakukan amal soleh (sebelum datangnya) fitnah-fitnah bagaikan malam yang gelap gelita, seseorang dalam keadaan beriman di pagi hari dan menjadi kafir di petang hari, atau di petang hari dalam keadaan beriman, dan menjadi kafir pada pagi hari, dia menjual agamanya dengan kesenangan dunia)Sahih Muslim

Dunia menyaksikan bahawa semakin hari semakin banyak fitnah serta ujian yang berlaku sama ada dalam bentuk yang dapat kita lihat atau pun yang berlaku secara halus tanpa kita sedari. Kebenaran dan kepalsuan di akhir zaman ini seakan-akan sama.

Agama diperguna untuk meraih populariti, dalil-dalil agama pula dijadikan sandaran dan hujah walaupun tidak tepat sehingga mengelirukan orang ramai. Dengan hati yang jernih dan ilmu yang benar sahaja kita dapat membezakan kedua-duanya.

Selagi kita tidak mengasingkan diri daripada pengaruh budaya, bangsa serta anasir-anasir sebegini, kita tidak akan dapat menemui Islam yang sebenar. Lahir dalam keluarga Islam tidak cukup untuk menjadikan kita benar-benar beragama Islam. Ia memerlukan usaha yang berterusan untuk memahami Islam serta mengamalkannya dalam kehidupan. Allahu’alam.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Psikologi di universiti yang sama. Seorang yang suka membaca pelbagai genre bahan bacaan terutama sejarah, sastera, motivasi dan psikologi.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami