Keluarga

‘Scare Tactic’ – Berkesankah Menakut-Nakutkan Anak Anda?

Oleh Noor Afidah Abu Bakar  •  14 Sep 2019  •  4 min baca

Beberapa tahun lalu polis United Kingdom telah mengadakan kempen meminta agar ibu bapa berhenti dari menakut-nakutkan anak dengan polis sekiranya anak tidak berkelakuan baik.

Menjadi kebiasaan bagi ibu bapa di mana-mana sahaja untuk menggertak anak- anak ketika degil di luar rumah, tidak mendengar kata dengan mengatakan;

“Nanti polis nampak polis tangkap”

“Nanti polis masukkan dalam penjara tempat orang-orang jahat”

Kempen ini diadakan oleh polis UK agar kanak-kanak lebih terbuka dengan pihak polis dan tidak takut untuk tampil ke hadapan membuat laporan sekiranya berlaku jenayah ke atas kanak-kanak.

Rasa takut dan curiga kepada polis boleh mengancam keselamatan kanak-kanak sekiranya mereka takut untuk ke hadapan.

Saya juga mengenali seorang kanak-kanak berusia 4 tahun yang terlalu takut kepada doktor dan takut sekiranya diberi suntikan oleh doktor. Walau mendengar perkataan ‘doktor’ sekalipun anak itu akan meraung dan menggigil ketakutan.

Ramai juga kanak-kanak yang takut dengan hantu, takut dengan momok, takut dengan binatang buas walaupun tinggal di taman perumahan bandar, takut dengan orang tua-tua, takut itu dan ini kerana sering ditakut-takutkan supaya berkelakuan baik.

Kaedah yang dikenali sebagai ‘Scare Tactic’ ini diamalkan sejak zaman berzaman. Ia mungkin berkesan untuk segelintir kanak-kanak pada zaman dahulu tetapi ia belum tentu berkesan ke atas kanak-kanak sekarang yang semakin terdedah kepada pelbagai pengalaman dan maklumat.

Walaupun mungkin ia berkesan, kesannya hanya untuk sementara waktu sahaja. Lama-kelamaan anak tidak hairan langsung dan akan kembali kepada kelakuan asal.

Sekiranya anggota polis yang dijumpainya baik tersenyum, doktor yang ditakut-takutkan itu mesra melayan, hantu didapati tidak wujud, orang tua-tua di taman ramah menyapa, dan binatang buas dilihat anak terkurung di zoo. Apa yang hendak ditakutkan sangat?

‘Scare tactic’ yang tidak berjaya akan mewujudkan rasa tidak percaya anak kepada ibu bapa atau orang dewasa yang sering menakut-nakutkan.

Rasa tidak percaya inilah yang menyebabkan anak kembali kepada tingkah laku asal yang ingin diubah. Ia seumpama janji yang tidak ditepati.

#1- Menerangkan

Scare tactic juga menghalang proses pemikiran dan penyelesaian masalah. Ibu bapa seharusnya menerangkan risiko sebenar yang mungkin dihadapi anak sekiranya kelakuan anak membahayakan bukannya menakut-nakutkan dengan hantu dan sebagainya.

Ibu bapa harus menerangkan kenapa anak perlu tidur awal dan bukannya menakut-nakutkan anak dengan mengada-adakan cerita.

#2- Takut VS Risiko

Menerapkan ketakutan dalam diri anak berbeza dari mendidik anak tentang risiko. Mengajar tentang risiko menggalakkan kanak-kanak untuk berfikir tentang segala kemungkinan (possibilities) yang ada.

Sebaliknya ketakutan mewujudkan tindak balas ‘fight, flight or freeze’ yang dicetuskan di bahagian otak reptilia dan tidak menggalakkan proses berfikir.

#3- Kesan Dan Akibat

Scare tactic tidak mendidik anak untuk memahami tentang kesan dan akibat sesuatu perbuatan sedangkan kanak-kanak secara semulajadinya terdorong untuk berfikir tentang konsep ’cause and effect’ atau kesan dan akibat.

Kenapa perlu dibantutkan perkembangan kanak-kanak dengan kaedah yang tidak membantu perkembangan mereka?

Kenapa perlu dibantutkan kecerdikan semulajadi kanak-kanak dengan kejahilan kita yang dibawa sehingga dewasa?

Kanak-kanak harus dibantu untuk memikirkan kesan dan akibat perbuatan dan tindakan mereka kepada diri sendiri, kepada keluarga, kepada orang sekeliling dan kepada harta benda.

Pendidikan yang sebeginilah yang akan menjadikan kanak-kanak seorang individu dewasa yang peduli tentang masyarakat sekeliling.

#4- Penerokaan Dan Pembelajaran

Scare tactic menghalang proses penerokaan dan pembelajaran. Sebagai contohnya kanak-kanak yang ditakut-takutkan dengan gelap dan dengan hantu tidak akan cuba untuk memahami konsep yang berkaitan dengan gelap dan malam.

Banyak yang boleh dipelajari contohnya tentang binatang yang keluar pada waktu malam, bagaimana lampu berfungsi, pergerakan cahaya, siang dan malam, iklim dan cuaca dunia, fenomena seperti gerhana, aurora dan sebagainya tanpa mengaitkan kepada elemen mistik semata-mata.

Ada juga kanak-kanak yang ditakut-takutkan dengan bau wangi pada waktu malam dengan mengaitkannya dengan hantu. Tahukah anda terdapat bunga dan tumbuh-tumbuhan yang kembang dan yang mengeluarkan bau wangi hanya pada waktu malam? Tumbuh-tumbuhan ini tidak ada kaitan dengan hantu.

#5- Penipuan

Berhentilah menggunakan ‘scare tactic’ ke atas kanak-kanak kerana lambat laun mereka akan sedar juga akan ‘penipuan’ yang dilakukan oleh ibu bapa dan orang dewasa.

Kanak-kanak meniru orang dewasa. Mereka akan menggunakan kaedah menakut-nakutkan dan penipuan sebegini juga apabila mereka dewasa nanti. Kitaran ini akan berterusan.

Didiklah tingkah laku kanak-kanak dengan menggunakan akal dan dengan menggalakkan penyelesaian masalah (problem solving).

Tingkah laku kanak-kanak adalah berkait rapat dengan keperluan emosi, sosial, intelektual, fizikal dan spiritual mereka. Jika keperluan ini dipenuhi, mereka akan bekerjasama dan menunjukkan tingkah laku yang baik.

Walau bagaimanapun sekiranya keperluan ini diabaikan dan tidak dipenuhi, ia akan dimanifestasikan melalui tingkah laku.

Ingatlah, ‘scare tactic’ ini berkesan hanyalah untuk sementara waktu sahaja dan ia mungkin menimbulkan masalah yang lain pula.

Penyelesaian masalah, memenuhi keperluan, peraturan dan konsistensi memberi kesan yang lebih berpanjangan kepada tingkah laku. Bukankah kita mahu melahirkan generasi yang berfikir?


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Noor Afidah Abu Bakar

Noor Afidah Abu Bakar

Beliau merupakan 'Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)'. Beliau boleh dihubungi melalui FB Parent Connect. Lulusan MA Early Childhood Education di University of Sheffield.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami