Inspirasi

Sayangi Malaysia : Sudah Merdekakah Kita?

Oleh Wan Zuriati Wan Jusoh  •  7 Sep 2018  •  5 min baca

Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Menitis air mata, seolah hilang derita. Laungan keramat itulah yang menjadi kebanggaan bagi negara kita. Ianya ialah apabila negara kita mendapat kemerdekaan pada 31 ogos 1957.

Semenjak pengisytiharan itu negara kita sudah bebas daripada cengkaman penjajahan british. Kini, sudah sampai 61 tahun negara kita hidup secara aman damai dan harmoni serta bebas dari penjajahan.

Syukur kepada Allah diatas segala nikmat kurniaan Nya, kita mampu untuk mencapai kemerdekaan. Namun, adakah hanya sekadar itu kemerdekaan yang kita perjuangkan?

Adakah setelah bebas daripada penjajahan British negara kita sudahpun mencapai sebenar-benar kemerdekaan? Apakah itu kemerdekaan yang sebenar?

Merdeka itu juga ialah kebebasan daripada segala bentuk penjajahan sama ada penjajahan dari politik, ekonomi, ideologi dan sebagainya.

Merdeka juga apabila kita dapat membebaskan diri daripada belenggu hawa nafsu dan bisikan syaitan serta mampu untuk taat dan menuruti perintah Allah SW.T.

Merdeka itu adalah apabila berhentinya segala kezaliman, penipuan dan penindasan dan kita mampu untuk hidup bersama secara bersatu padu dan aman damai.

Merdeka itu apabila kita tidak lagi bermusuhan, membuang segala perasaan dengki, buruk sangka malahan saling menyayangi dan berkasih sayang sesama kita.

Merdeka itu apabila kita tidak lagi menilai seseorang daripada warna kulit, rupa paras dan keadaan fizikal tetapi malahan sentiasa bersangka baik dan saling menghormati perbezaan antara semua orang.

Merdeka itu apabila kita patuh kepada hukum yang disyariatkan oleh Allah kepada kita. Kata-kata Rub’ie bin A’mir ketika bertemu panglima tentera Rom yang bernama Rustum;

Allah mengutuskan kami (orang-orang islam) untuk kami merdekakan manusia, daripada mengabdikan manusia kepada mengabdikan Allah, daripada kezaliman agama kepada keadilan islam dan daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat.

Manakala Firman Allah S.W.T tentang kemerdekaan yang bermaksud;

“Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama Allah , tetaplah berdiri diatas fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Itulah agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya” Surah Ar Rum: 30

Pada zaman dahulu, semasa datangnya Islam ianya telah membawa sinar baru kepada masyarakat arab jahiliah, Di mana pada zaman jahiliah masyarakat arab saling menindas, sering berlaku penipuan, hak asasi mereka ditentang dan ketidakadilan berleluasa.

Masyarakat yang kaya-raya dan berstatus diagung-agungkan dan diangkat-angkat manakala yang miskin seperti hamba dihina dan direndahkan.

Lihat semula apa yang berlaku kepada negara kita sekarang, Apa yang menyedihkan apabila negara kita sudah lama mencapai kemerdekaan namun masih banyak penjajahan minda yang masih berterusan.

Negara kita sudah merdeka. Namun rakyat masih lagi saling bergaduh sesama sendiri, sering menghamburkan kata kesat, saling menyalahkan antara satu sama lain apabila terjadinya sesuatu masalah dan musibah.

Negara kita sudah merdeka namun kes-kes jenayah, rogol, peras ugut, pembunuhan masih lagi berleluasa sehingga kita tidak lagi merasa aman dan selamat. Tidak kira berada di dalam atau di luar rumah kita sentiasa perlu berwaspada.

Pembunuhan dilakukan sewenangnya tanpa adanya perasaan takut. Bapa membunuh anak, suami membunuh isteri, anak membunuh ibu. Sedih ! Namun itulah kenyataan yang seharusnya kita sedar.

Apakata kita berhenti sejenak. Cuba untuk melihat dan menilai keadaan diri dan situasi kita sekarang. Apa yang sedang melanda negara kita? Apa yang sedang melanda keluarga, anak-anak, rakan-rakan, pemuda pemudi masa kini?

Mahukah kita generasi akan datang merasai dan melihat semua penjajahan minda ini? Mahukah kita melihat mereka hidup di dalam kesengsaraan, penderitaan dan ketakutan?

Namun adakah semua ini akan kekal sebegini? Ya, semestinya tidak. Kita mampu untuk melakukan perubahan dan kita harus melakukan perubahan dan perubahan itu perlu lah bermula daripada diri kita sendiri.

Di sini, ada beberapa perkara yang kita boleh lakukan sebagai langkah awal untuk melakukan perubahan. Antaranya ialah;

#1- Kembali Kepada Fitrah

Ianya masa yang sesuai untuk kita kembali kepada fitrah dan asal kejadian kita. Hidupnya kita dibumi ini adalah untuk mengabdikan diri kepada Allah. Kita datang daripada Allah.

Semua perkara yang sedang berlaku mungkin sahaja kerana kelalaian kita di dalam mentaati dan menunaikan perintah Allah.

Lihat diri kita, cukupkah kita melakukan solat lima waktu sehari semalam? Anak-anak kita, solatkah mereka? Ahli keluarga kita, adik beradik kita, bilakah kali terakhir mereka melakukan solat?

#2- Menyebarkan Nilai Murni Dan Akhlak Yang Terpuji

Memberi senyuman dan saling menyebarkan kebaikan sesama masyarakat adalah antara perkara penting yang boleh kita lakukan untuk mencapai keamanan dan kesejahteraan.

Memberi salam ketika bertemu, berjabat mesra antara masyarakat, berkongsi makanan sesama jiran tetangga, saling tolong menolong dan membantu antara satu sama lain. Seterusnya, amalkan juga sikap bertoleransi dalam apa sahaja perkara.

#3- Saling Menyayangi Dan Mencintai Sesama Anggota Masyarakat

Hilangkanlah sikap mementingkan diri dan suka memenuhi kepentingan peribadi sebaliknya saling berkongsi dan berkasih sayang. Semaikan rasa cinta kepada semua orang.

Cakna dan ambil tahu hal orang disekeliling kita. Sihatkah mereka? Cukupkah makan mereka? ianya mungkin terlihat kecil, namun perkara kecil inilah yang mampu memberikan impak dan kesan yang besar disuatu masa nanti.

Untuk mencapai kemerdekaan yang sebenar, perubahan perlulah bermula daripada sekarang. Amalkanlah tingkah laku dan akhlak yang baik.

Taatlah perintah Allah di dalam semua aspek kehidupan kita. Sebarkan kasih sayang, cinta dan kebahagiaan di sekeliling kita.

Semoga Allah melindungi diri kita dan keturunan kita daripada segala bentuk kezaliman dan penganiayaan. Sayangilah Malaysia dan cintailah Malaysia dengan setulus hati.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Wan Zuriati Wan Jusoh

Wan Zuriati Wan Jusoh

Seorang yang minat dalam bidang penulisan. Bercita-cita untuk menjadi seorang penulis dan sekarang sedang melanjutkan pelajaran di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA, Terengganu dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial Antropologi Dan Dakwah.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami