Gaya Hidup

Satu Penilaian; Budaya Kecam Di Media Sosial

Oleh Fazli Abdullah  •  14 Nov 2018  •  4 min baca

Semasa melayari laman media sosial, pelbagai berita dan informasi yang dapat kita perolehi.

Ada berita gembira dan ada juga berita yang mengundang duka. Boleh dikatakan bermacam-macam aneka maklumat yang ada di sana.

Selain itu, boleh mencari kenalan lama, boleh membuat perniagaan secara online dan saling bertukar pendapat.

Namun, dengan kecanggihan teknologi ini, terdapat segolongan yang banyak menulis kata-kata negatif dan kata-kata yang tidak sopan.

Lihatlah di bahagian komen di Facebook, Instagram, dan di media sosial yang lain. Terutamanya tentang kes jenayah, isu politik, dan melibatkan isu semasa.

Keadaan ini seperti menjadi satu budaya atau satu kebiasaan. Tidak dapat tidak pasti ada perkataan yang tidak sopan diungkapkan. Persoalannya bolehkah?

Definisi kecam boleh diertikan sebagai menegur keburukan orang, mencela atau membidas.

Apabila dilihat semula budaya kecam yang banyak terdapat di media sosial kebanyakkannya menggunakan kata-kata yang mencarut dan tidak beradab. Bolehkah menegur dengan cara begitu?

Penuh diisi dengan perkataan yang tidak enak didengar di telinga dan tidak manis dibaca oleh anak-anak kecil yang belum dewasa. Anak-anak yang masih tidak kenal mana baik mana buruk.

Budaya ini akan memberi kesan tidak elok kepada mereka yang masih sedang membesar.
Ada satu hadis berkenaan dengan mencarut.

Semoga hadis ini memberi peringatan untuk kita bersama. Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi Muhammad saw bersabda yang bermaksud;

“Mencarut adalah sejenis sikap kasar. Manakala sikap kasar balasannya ialah neraka.”Riwayat al-Bukhari dan Muslim


Menegur tidak salah tetapi bijaklah memilih kata-kata. Kata-kata yang tidak menyakitkan hati dan tidak mengundang dosa.

Budaya Kecam untuk Kebaikan?

“Apa salahnya memaki. Dia jahat! Penjenayah besar kot!”

“Saya buat ni untuk kebaikannya juga. Biar sentap sikit!”

“Tegur baik-baik bukan dengar pun!”

Mungkin ada ayat sebegini, jika kita pula menegur si pengecam tersebut. Menegur itu bagus.

Menegur adalah perbuatan mencegah kemungkaran. Tetapi adab sebagai seorang muslim haruslah dijaga dan jangan ditinggalkan.

Janganlah hanya nampak kesalahan orang lain sehingga kesalahan kita pula dihalalkan. Boleh memaki. Boleh mencarut. Itu sudah terbabas. Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud;

“Sesungguhnya antara kata-kata kenabian terdahulu yang diketahui orang ‘Jika engkau tidak malu, perbuatlah sesuka hatimu.’ ”Riwayat Al-Bukhari


Kita masih ada batas. Kita masih ada had yang dibenarkan. Tegur jangan sampai menyakitkan hati.

Tegur jangan sampai melibatkan keluarga pula (hanya seorang yang silap tetapi melibatkan ibu bapa dan keluarganya). Tegurlah, tetapi jangan sampai mengeluarkan kata-kata kesat.

Benci Perbuatan Bukan Pelaku

Antara kesilapan kita semasa menegur di media sosial adalah membenci pelaku. Bukan membenci perbuatan yang dilakukan.

Ada sebahagiannya menegur sambil mengumpat dan mengata bentuk fizikal si pelaku. Apa kena-mengena dengan badannya dengan perbuatan tidak baiknya?

Secara tidak sedar kita sudah menghina ciptaan Allah S.W.T. Mengutuk wajah si pelaku. Menghina sisi fizikalnya.

Sungguh, itu bukan akhlak Islam. Ia dicemari dengan emosi amarah dan ditambah dengan mengikut nafsu semata. Tanpa memikir perasaan dan hatinya.

Fikirlah sejenak, bagaimana kita pula di tempat mereka. Sanggupkah kita menahan setiap kata menghina bentuk fizikal kita?

Sebelum tulis, fikir beberapa kali. Tulisan ini Allah redha atau tidak? Tulisan ini boleh ke syurga atau ke neraka? Tanya dua soalan ini berkali-kali sebelum jari ligat mengecam orang.

Kita Juga Pendosa

Ketahuilah, kita juga seorang pendosa. Jangan hanya memandang kesalahan orang lain sehingga terlupa kesalahan diri kita sendiri. Menegur orang lain seperti merasa diri suci tanpa dosa.

Jangan memperlekeh dan merendahkan orang lain. Tegurlah dengan cara berhikmah dan tidak melibatkan perkara yang tidak berkaitan.

Jangan sesekali menyentuh isu sensitif sesuatu bersifat perkauman, jangan memaki, jangan menfitnah dan lain-lain perbuatan yang tidak baik.

Akhir sekali, marilah sama-sama kita menghayati dan mengambil iktibar dari sebuah hadis ini. Daripada Ibnu Umar R.A, Rasulullah S.A.W bersabda;

“Seorang Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Dia tidak boleh menzaliminya dan merendahkannya. Sesiapa yang memenuhi keperluan saudaranya, maka Allah akan memenuhi keperluannya. Sesiapa yang menghilangkan satu kesulitan daripada seorang Muslim, maka Allah akan melepaskan baginya satu kesulitan daripada pelbagai kesulitan hari Kiamat disebabkan perbuatannya itu. Sesiapa yang menutupi aib seorang Muslim, maka Allah akan menutup aibnya pada hari Kiamat.”Riwayat al-Bukhari dan Muslim


Moga bermanfaat. Waallahua’lam.

Rujukan;
1. Majalah Solusi isu 105-Dosa Pahala Di Hujung Jari
2. Ringkasan Riyadhus Solihin Imam Nawawi
3. 300 Hadis Bimbingan Ke Arah Mencari Reda Allah
4. Laman web Pusat Rujukan Persuratan Melayu


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fazli Abdullah

Fazli Abdullah

Dilahirkan di Kedah. Hobi membaca dalam genre agama dan motivasi. Mengemari lagu nasyid. Menjadikan penulisan sebagai medan penyebaran ilmu dan kebenaran. tzkrh.com adalah ruangan penulisan pertamanya menulis dengan serius.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami