Remaja

Sahabat Selamanya, Sehidup Tak Semati

Oleh MH  •  7 Jan 2015  •  8 min baca

Bismillahirrahmanuirrahim.

Aku ada kawan rapat.

Raaaaapat sangat.

Aku dan dia sangat rapat, rapatnya kami mengalahkan keakraban aku dengan adik aku sendiri. Betapa rapat nya kami.

Mana taknya, sejak kecil lagi aku dah ada dia sebagai teman. Dia antara sahabat paling akrab dengan aku dekat dunia ini, mengalahkan yang lain. Power punya sahabat la ni.

Budak Nakal

Aku dulu ada kawan rapat, dengan dia, aku jadi gila-gila sikit. [Arif]

Sejak umur tiga empat tahun gitu, aku dah rapat gila dengan dia. Dengan dia, aku jadi gila-gila sikit. Aku dengan dia memang nakal, suka usik orang. Dia yang ajar aku jadi budak-budak nakal. Aku pulak jenis yang mengikut. Memang mudah sangat terikut-ikut.

Seingat aku, kami sebaya. Aku assume kami sebaya sebab waktu kecil dulu kami saiz sama. Kecilnya saiz aku dulu, macam tu lah kecil dia.

Bila aku berkawan dengan dia, sumpah cakap aku memang suka buat benda jahat. Dia selalu suruh aku kacau orang gaji dekat rumah aku, Bibik. Dia suka kacau, tapi takkanlah dia nak kacau Bibik aku. So, eloklah tu dia suruh aku yang kacau.

Bila Bibik dah siap lipat baju, aku akan mencicit datang dan sepak semua baju yang dah dilipat. Habis baju yang dah bergunung-gunung Bibik lipat tu berterabur sana sini. Bila Bibik marah, aku dengan kawan aku tu akan lari sambal ketawa riang ria di hari raya tanpa rasa bersalah.

Nakalnya Aku Dengan Dia Dulu

Aku pernah mengamuk sebab ayah aku tak belikan keropok pebenda entah. Bila dapat tahu ayah aku tak belikan keropok tu, kawan aku tu pulak yang geram. Dia geram, aku pun ikutmarah. Marahnya aku tu sampai tergamak tolak ayah aku waktu nak turun tangga.

Jangan risau. Tak ada tragedi. Ayah aku sempat berpaut pada pemegang tangga. Waktu tu mata ayah membulat pandang aku dengan kesabaran membukit walau termometer merah tu nak pecah dah.

Waktu tu, dia si sahabat cuma menepuk-nepuk aku sambal tahan ketawa lepas tengok apa aku buat tadi.

Aku selalu nak menang dengan adik aku. Aku rasa adik aku tak patut dapat lebih daripada aku. Selalu juga aku gaduh dengan adik aku dulu, tu pun lepas kena api dengan kawan sepermainan aku tu. Dia pernah apikan aku sebab adik aku dapat patung Winnie the Pooh yang lagi comel daripada aku punya patung.

Aku dengan adik aku berebut nak kan yang comel tu. Tapi akhirnya aku mengalah, sebab kadang-kadang aku kesian jugak dengan adik aku tu, lihatkan dia menangis beriya nakkan yang macam cantik macam comel tu.

Waktu tu, kawan aku tu cuma diam tak bersuara.

Seingat aku, aku start pakai tudung dekat sekolah rendah waktu darjah tiga. Aku tak pasti sebenarnya, rasanya memang waktu darjah tigalah kot. Mula-mula pakai memang tak biasa.

Panas, memang panas. Dia si sahabat aku tu pun bukannya suka tengok aku bertudung.

Rimas tengok aku kepanasan, katanya. Bila dia cakap macam tu, aku pun iyakan. Memang tak selesa pun.

Tapi aku berusaha jugak nak biasakan bertudung. Aku halau dulu kata-kata dia. Bila dia membantah, aku bangkang balik, aku kata malu dengan kawan-kawan sekolah yang kebanyakannya bertudung.

Dia sekali lagi tidak membantah, diam tak bersuara.

Aku Mula Melawan Dia

Dalam tempoh bermula dari aku darjah tiga tu, aku belajar hormat orang tua. Aku mula jaga peradaban. Aku mula tolong Bibik kemas-kemas rumah. Aku mula dengar cakap mak ayah aku. Bila aku aku buat amal kebajikan macam tu, dia mesti diam tak mengikut. Aku pun malaslah nak suruh.

Setiap kali aku berupaya lawan kata dia, aku rasa tu kemenangan besar. Aku pun tak tahu kenapa.

Dari tahun ke tahun, aku membesar dengan dia. Ke mana aku pergi, dia ikut sama. Aku tak tahulah nak klasifikasikan kerja dia tu sebagai setiakawan atau tak ada kawan.

Aku dapat rasakan aku makin baik. Maksud aku, aku jadi budak yang lebih baik. Aku jadi macam tu bila aku tak terpengaruh sangat dengan dia. Bila aku tak dengar kata dia atau tak pedulikan dia, aku akan lebih dekat dengan Al-Khaliq dan kekadang aku lebih tenang.

Aku sedar aku tak patut berkawan dengan dia pun. Aku kena sisihkan dia sebab dia cuma bawa benda negative je dalam hidup aku, selain dari jadi teman setia. Dia memang tak suka aku jauhkan diri daripada dia. Tapi dia tak pernah putus asa. Dia akan cuba ikut aku, walaupun aku tak suka. Kadang aku akan marah dia. Dia tak marah aku balik, sebaliknya dia hanya akan ketawa dan terus menerus dekat sisi aku.

Aku membesar menjadi pra-remaja yang nak ambil UPSR. Tumbesaran aku sampai darjah enam tak seiring pula dengan dia. Dia kecil sikit daripada aku, tu yang aku perasan. Aku mampu gelakkan dia je, rasa macam aku menang dengan dia. Ya lah, aku suka kalau aku lebih tinggi daripada orang lain.

melawan

Bila dia lebih kecil daripada aku, aku rasa lebih senang untuk lawan kata-kata dia. [Kenji]

Bila dia lebih kecil daripada aku, aku rasa lebih senang untuk lawan kata-kata dia. Bila dia suruh buat itu ini, aku makin galak melawan. Yalah, benda-benda yang disuruh atau ajak aku buat tu bukan benda baik, benda yang tak baik kot. Benda yang aku suka buat waktu aku dan dia kecil-kecil dulu. Tangan basah aku lap dekat kain pelikat ayah. Jam tangan adik aku celupkan dalam besen berisi air. Bibik dah kemaskan ruang TV aku sepahkan bantal sofa….

Bermacam lagilah kerja tak bermoral lagi tak bermanfaat disuruhnya.

Kadang-kadang aku tertewas dengan ajakan dia. Aku sedar aku penyabar, tapi kalau ada dia, aku akan baran tak tentu pasal. Kalau orang lain cari pasal dengan aku, kalau hal itu benda kecil, aku memang tak kisah. Kadang-kadang bila orang lain cari pasal dengan aku, dia akan dating dan cakap pada aku,

kau nak biarkan orang macam ini terus tindas kau? Aku penat tengok kau macam ni. Kau degil sangat, tak dengar cakap aku. Sekarang, tengok. Termasuk lahanat ni, dah berapa orang dah pijak kepala kau?

Aku memang lemah. Lemahnya aku tu sampai merasakan kata-kata dia tu betul. Aku tewas.

Akhirnya aku akan marah dan berdendam dengan orang yang cari pasal dengan aku tu.

Dan akhirnya aku akan menyesal sendiri sebab ikutkan sangat apa dia cakap. Buat tambah dosa yang tak surut-surut. Terbalik dengan dia, dia lagi suka aku buat macam tu.

Aku Mula Meninggalkan Dia

Naik sekolah menengah, aku dapat rasakan aku jauh meninggalkan dia. Bukan sebab aku sekolah asrama. Sebab aku makin berani melawan dia. Walaupun kadang-kadang aku tak terlepas dari pengaruh dia. Aku mesti ada jugak kecundang.

Dalam perjuangan aku melawan dia selama tiga tahun sekolah berasrama ni, aku ada lah jugak hanyut dengan bisikan dia. Dia ada bersama dengan aku, walaupun aku makin jauh meninggalkan rumah. Lagi-lagi bila dicampak ke celah-celah bumi Perak ni, aku makin jauh dengan mak ayah aku.

Hasil aku dapat lepas kerah seluruh jiwa raga bakul rotan guni segala mak nenek melawan pengaruh dia, aku rasakan jalan terbaik unutk aku ialah dekatkan diri kepada Yang Maha Melihat. Tapi, aku yakin dia takkan pergi jauh. Dia sentiasa cuba untuk bersama-sama dengan aku. Memang mustahil kalau kami berpisah. Kami memang rapat, aku dah cakap, bukan?

Dengan memilih jalan tu, aku amalkan apa junjungan ajarkan, aku salami terjemahan kalam-Nya, aku tambahkan sikit demi sikit ilmu akhirat dengan membaca buku ilmiah. Tu contoh aku ikut dari kawan-kawan aku yang baik-baik, dan senior-senior aku yang juga baik-baik.

Tu je cara yang boleh hindarkan aku dari hidup dia. Kalau nasib aku baik, aku akan teringat satu perkara sebelum terpengaruh dengan ajakan buruk dia. Sebelum buat benda dia suruh, aku akan teringat satu firman-Nya.

 

al-ankabut

Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan. (Surah Al-Ankabut: 45)

 

Aku bersolat. Tapi kalau masih melakukan kemungkaran, maksudnya solat aku tak sempurna. Dari situ aku berhenti dari buat jadah tak elok dan akan muhasabah, fikir semula apa tak lengkap dalam diri aku, dalam solat aku, dalam apa-apa aspek segala sudut diri aku.

Diselangi dengan terjerumusnya aku dengan hasutan si dia, selagi aku bergelar manusia hidup. Selagi syaitan tak terhapus. Selagi tu aku akan cuba lawan bisik dia yang kadang memang buat aku hanyut. Kalau aku mampu lawan, dia takkan membesar selari macam mana aku membesar dari hari ke hari, tahun ke tahun. Kalau aku dapat tahan, dia takkan lebih tinggi daripada aku dengan konsistennya aku dengan jalan-Nya.

Aku ada senjata, sebagaimana muslim lain ada. Tinggal nak buat pilihan, sama ada nak guna buat pertahan sampai hujung nyaawa, atau simpan letak muzium tak usik sampai bila-bila. Oh ya, sahabat yang aku maksudkan ialah nafsu.

Ilalliqa’. Ma’assalamah.

“Sometimes a single sujood to Allah, heals all the pain…”


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

MH

MH

Seorang yang suka belajar dari kehidupan. Sesungguhnya setiap ciptaan Tuhan itu mempunyai nilai pengajaran yang luar biasa.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami