Hukum, Ibadah

Rupanya Boleh Simpan Daging Korban Lebih 3 Hari

Oleh Natirah Azira  •  3 Aug 2020  •  2 min baca

Hari ini, iaitu tanggal 13 Zulhijjah merupakan hari terakhir umat Islam boleh melakukan ibadah korban. Bermakna masih ada daging-daging yang akan diagihkan kepada saudara mara, jiran tetangga serta fakir miskin.

Persoalan yang biasa timbul ketika ini, adakah daging tersebut boleh disimpan lebih daripada tiga hari?

#1- Haram Menyimpan Daging Korban Melebihi 3 Hari

Pendapat ini adalah daripada Saidina Ali dan Ibn Umar r.anhuma. Ia didasari daripada hadis riwayat Muslim yang berbunyi:

Daripada Abu Ubaid bahawa beliau berkata:

Aku telah bersama ‘Ali bin Abi Talib ketika hari raya (korban) maka beliau memulakannya dengan solat sebelum berkhutbah dan berkata: “Sesungguhnya Rasulullah SAW telah menegah kita daripada memakan daging korban melebihi 3 hari”. (Riwayat Muslim, no.1969)

Daripada Ibn Umar r.anhuma, beliau juga menyebutkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لاَ يَأْكُلْ أَحَدٌ مِنْ لَحْمِ أُضْحِيَّتِهِ فَوْقَ ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ

Maksudnya: Janganlah salah seorang dari kamu memakan daripada daging korban melebihi 3 hari. (Riwayat Muslim, no.1970)

#2- Boleh Menyimpan Lebih 3 Hari (Larangan Asal Telah Dimansuhkan)

Pendapat kedua ini pula bertitik tolak daripada persoalan yang ditanyakan oleh Abdul Rahman bin ‘Abis kepada Saidatina Aisyah r.anha berkenaan penyimpanan daging korban. Lalu Saidatina Aisyah r.anha menjawab:

مَا فَعَلَهُ إِلاَّ فِي عَامٍ جَاعَ النَّاسُ فِيهِ فَأَرَادَ أَنْ يُطْعِمَ الْغَنِيُّ الْفَقِيرَ وَإِنْ كُنَّا لَنَرْفَعُ الْكُرَاعَ فَنَأْكُلُهُ بَعْدَ خَمْسَ عَشْرَةَ

Maksudnya: Tidaklah Rasulullah SAW melakukannya (iaitu melarangnya) pada tahun di mana manusia berasa lapar dan demikian itu Rasulullah SAW mahukan akan yang kaya dapat memberi makan kepada yang miskin. Namun kemudiannya kami juga menyimpan bahagian kaki kambing dan memakannya 15 hari kemudiannya. (Riwayat Al-Bukhari, no.5423)

Selain itu, ada juga hadis lain yang menunjukkan kebenaran menyimpan daging korban lebih daripada tiga hari.

Daripada Salamah bin al-Akwa’, telah berkata Rasulullah SAW:

Maksudnya: Sesiapa yang melakukan korban janganlah kamu menyimpan sesuatu pun daripada daging tersebut di rumah. Ketika mana tibanya tahun hadapan, para sahabat bertanyakan kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah SAW, adakah perlu kami melakukan sepertimana tahun lepas.

Jawab Baginda SAW: “Makanlah kalian, berikanlah makan kepada orang lain dan simpanlah kerana pada waktu itu (tahun yang lepas) manusia berada di dalam kesusahan (iaitu kelaparan) dan aku menginginkan agar kamu membantu yang lain”. (Riwayat Al-Bukhari, no.5569 & Muslim, no.1974)

Hadis di atas telah menerangkan kepada kita bahawa larangan menyimpan daging korban lebih daripada tiga hari sebenarnya adalah kerana adanya ramai orang yang kesusahan dan kelaparan pada tahun tersebut, jadi baginda mahu daging diagihkan kepada mereka yang memerlukan dan tidak disimpan untuk diri masing-masing sahaja.

Pihak Mufti Wilayah Persekutuan juga berpandangan bahawa pendapat kedua lebih tepat manakala pendapat pertama telah dimansukhkan. Kesimpulannya, tidak mengapa menyimpan daging korban lebih daripada tiga hari. Wallahu’alam.

Rujukan:
Mufti Wilayah Persekutuan


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Psikologi di universiti yang sama. Seorang yang suka membaca pelbagai genre bahan bacaan terutama sejarah, sastera, motivasi dan psikologi.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami