Gaya Hidup, Hukum

Roh Tergantung Kerana Hutang – Bagaimana Orang Yang Meninggal Dalam Hutang

Oleh Fieyzah Lee  •  10 Jul 2019  •  5 min baca

‘Biar miskin membayar hutang daripada kaya dalam berhutang.’ Perumpamaan Melayu

Pasti perumpamaan di atas sering didengari telinga-telinga kita yang berhubung kait dengan hutang dan bahaya mengamalkannya. Malah, ada sebahagian pendapat yang mengatakan bahawa selagi mampu, jangan mengikut kehendak dan nafsu semata-mata.

Jika dilihat pada zaman ini, mereka yang berhutang sebenarnya bukanlah tidak mampu tetapi terlalu mengikut nafsu dan kehendak dalam pengamalan cara hidup sehingga terpaksa berhutang. Lagi malang apabila kurangnya ilmu sehingga terlibat dengan Ahlong.

Para ulama’ dan golongan agamawan serta pihak kerajaan telah bersetuju untuk mengharamkan Ahlong kerana ia mendatangkan lebih banyak kemudaratan berbanding kebaikan dari segi syaratnya yang membahayakan diri sendiri serta orang sekeliling. Selain itu, ia juga dikatakan mempunyai unsur riba yang diharamkan di dalam agama kita.

وَأَخْذِهِمُ الرِّبَا وَقَدْ نُهُوا عَنْهُ وَأَكْلِهِمْ أَمْوَالَ النَّاسِ بِالْبَاطِلِ ۚ وَأَعْتَدْنَا لِلْكَافِرِينَ مِنْهُمْ عَذَابًا أَلِيمًا

“Dan juga (disebabkan) mereka mengambil riba padahal mereka telah dilarang melakukannya, dan (disebabkan) mereka memakan harta orang dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya). Dan (ingatlah) Kami telah menyediakan bagi orang-orang yang kafir di antara mereka, azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” (Surah An-Nisa, 4:161)

Hutang itu bahaya, malah Allah telah menceritakan secara terperinci di dalam Al-Quran perihal hutang ini melalui surah dan ayat yang terpanjang, iaitu surah Al-Baqarah, ayat 286.

Walau bagaimanapun, tidak salah jika kita ingin memberikan hutang kepada mereka yang memerlukan, namun kita juga perlu berhati-hati dengan melihat situasi yang sedang dihadapi mereka. Para ulama’ telah menggariskan beberapa hukum untuk diberikan hutang kepada mereka yang tidak mampu, iaitu:

#1 – Haram

Haram diberikan hutang kepada seseorang yang diyakini akan menggunakan wang dan harta tersebut ke arah yang haram seperti perjudian atau untuk hiburan seperti arak dan sebagainya.

#2 – Makruh

Makruh diberikan hutang kepada seseorang yang terlalu mengikut nafsu dan diyakini akan menggunakan duit serta wang tersebut ke arah pembaziran.

#3 – Wajib

Wajib untuk memberikan hutang kepada seseorang yang sudah tiada cara lain untuk menanggung diri dan keluarganya selain daripada berhutang.

Walau bagaimanapun, jika tidak mampu untuk memberi hutang kepadanya atau bimbang diri sendiri dan keluarga bakal terjejas, maka boleh menolong dari sudut lain seperti memberi cadangan untuk berhutang dengan mana-mana agensi yang dipercayai.

Bagaimana Jika Meninggal Tanpa Sempat Membayar Hutang

Mungkin ada dalam kalangan kita yang pernah dijaja dengan cerita mengenai mereka yang tidak sempat membayar hutang, maka rohnya akan tergantung dan berkeliaran di langit tanpa sampai kepada Tuhan.

Malah, ada juga ceramah yang disampaikan oleh ustaz yang mengatakan bahawa, jika hutangnya masih ada, di akhirat kelak pahalanya akan diberikan kepada si penghutang. Jika pahalanya tidak mencukupi, dia akan menanggung dosa orang yang memberikan hutang kepadanya sesuai dengan jumlah yang perlu dibayar.

Persoalannya, adakah benar semua pernyataan berikut? Jika tidak benar, apakah sebenarnya yang akan terjadi kepada mereka yang meninggal sebelum sempat membayar hutangnya dengan manusia?

Rasulullah sangat menegah seseorang yang sentiasa menjadikan hutang sebagai tabiat. Malah, Rasulullah SAW menganjurkan untuk meletakkan usaha sendiri bagi menampung kehendak dan keperluan masing-masing. Yang paling penting, ukur baju di badan sendiri.

Maksud: “Ya Allah, aku berlindung kepadaMu dari dosa dan hutang, lalu Baginda ditanya: “Mengapa engkau sering meminta perlindungan dari hutang, wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Jika seseorang berhutang, apabila bicara, ia akan berdusta dan apabila berjanji ia akan mengingkari.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Menurut sebuah hadis yang telah dinyatakan oleh Rasulullah SAW, di akhirat kelak sudah tiada mata wang dan juga harta. Oleh hal yang demikian, segala kebaikan akan diberikan untuk membayar hutangnya sesuai dengan jumlahnya.

أولئك الذين يموتون في الدولة لا يزال لديهم دين واحد أو درهم واحد ، ثم سيتم سداد الدين بالخير (في يوم القيامة) لأنه لا يوجد (في الآخرة) أي دينار أو درهم.

Maksud: “Barangsiapa yang mati dalam keadaan masih memiliki hutang satu dinar atau satu dirham, maka hutang tersebut akan dilunaskan dengan kebaikannya (hari kiamat) kerana di sana (akhirat) tidak ada lagi dinar dan dirham.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Dalam Islam, jika kita berhutang, maka wajib hukumnya untuk melunaskan hak tersebut walaupun si pemberi hutang tidak meminta seperti lupa atau telah meninggal dunia. Baginda SAW juga pernah bersabda; walaupun seseorang itu meninggal dalam keadaan syahid namun masih mempunyai hutang, rohnya akan berada di antara langit dan bumi.

Oleh itu, kita perlu berusaha untuk membayar hutang walau dengan apa cara sekali pun sebelum kita meninggal dunia. Jika si pemiutang sudah meninggal dunia, maka perlu dibayarkan kepada ahli keluarganya.

Namun, jika kita tidak dapat berhubung dengan si pemberi hutang, seperti telah putus hubungan atau alamat rumah serta nombor telefon telah ditukar. Wajib ke atas kita untuk mencuba dengan cara lain sama ada menghubungi warisnya atau mencarinya di mana-mana seperti mengiklankan di laman sosial dan sebagainya.

Jika tidak ditemui juga, maka hendaklah menyedekahkan bilangan hutang tersebut kepada mana-mana agensi atau tempat yang diyakini boleh memberi manfaat kepada semua seperti rumah anak yatim atau surau-surau yang berdekatan dengan niat untuk melangsaikan hutangnya. Yang selebihnya kita serahkan sahaja kepada Allah kerana Dia yang Maha Mengetahui setiap sesuatu.

Bagaimana jika si pemberi hutang akhirnya kembali dan menuntut hutang-hutang tersebut setelah langsai disedekahkan kepada pihak berkenaan. Dalam hal ini, kita perlu melakukan perbincangan secara baik dengan pemiutang tersebut.

Secara asalnya, penghutang sudah tidak wajib untuk membayar semula hutangnya kerana kewajipan tersebut telah digugurkan bertepatan dengan kaedah fikh berdasarkan syariat Islam sendiri, iaitu:

السَاقِطُ لاَ يَعُوْدُ

Maksud: “Perkara yang digugurkan (dilangsaikan) tidak akan kembali).”

Namun, jika pemiutang tersebut menginginkan kembali agar haknya dibayar, maka wajib ke atas penghutang untuk membayarnya dengan kadar yang diinginkan tanpa melibatkan unsur riba. Jadi, untuk sedekah yang telah dilakukan, ganjaran pahala sedekah tetap akan diberikan.

Rujukan: Mufti Wilayah


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fieyzah Lee

Fieyzah Lee

Merupakan seorang pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami