Tokoh

Riwayat Imam Nasai Yang Sanggup Mengembara Demi Ilmu

Oleh Fieyzah Lee  •  3 Dec 2019  •  3 min baca

Imam Nasai merupakan seorang ahli hadis yang sangat terkenal dan telah membukukan beberapa hadis sahih. Beliau juga dikenali dengan nama An-Nasai dalam setiap periwayatan hadis yang ada.

Nama penuh beliau ialah Abu Abd Rahman Ahmad bin Syuaib bin Ali bin Sinan bin Bahr bin Dinar al-Khurasani al-Nasai.

Nama Nasai terkenal kerana beliau telah berasal dari sebuah kampung yang terkenal di Khurasan yang bernama Nasa.

Beliau telah dilahirkan pada 215 Hijrah di kota tersebut. Beliau dikatakan sebagai seorang yang segak dan memiliki kulit cerah. Beliau juga seorang yang sangat mementingkan kesihatan terutamanya dari sudut pemakanan.

Imam Nasai Yang Sangat Mencintai Ilmu

Beliau telah mula mengembara bagi menuntut ilmu bermula dari usia 15 tahun. Guru pertama beliau ialah Qutaibah bin Sa’ad yang juga merupakan guru kepada Imam Abu Daud.

Antara ulama yang pernah menjadi gurunya ialah Ishaq bin Ibrahim, Ishaq bin Rawahaih, Al-Harith bin Miskin, Ali bin Kasyram serta Imam Abu Isa al-Tirmidzi.

Bukan itu sahaja, beliau banyak bergaul dengan para hafiz dan ulama lain seperti Abdullah ibn Ahmad al-Tursusi dan Abu Basyar al-Dulabi.

Banyak ilmu yang telah dikuasai beliau termasuklah ilmu Hadis, ilmu Fikh dan Ilmu Jarh wa al-Taadil wa makrifah al-Rijal (ilmu berkenaan perawi hadis).

Disebabkan kecintaan beliau terhadap ilmu, beliau telah mengembara ke beberapa buah negara untuk menimbanya daripada para guru yang terkenal dan diyakini keilmuwannya seperti di Baghdad, Kifah, Turki dan Hijaz.

Beliau dikatakan sebagai seorang yang sangat beradab dengan ilmu dan gurunya serta menghormati orang sekeliling beliau.

Walau bagaimanapun, pernah diceritakan kisah beliau yang berlaku perselisihan faham dengan gurunya, iaitu Al-Harith bin Miskin sehingga beliau diusir dari kelas.

Namun, itu tidak mematahkan semangat beliau untuk terus belajar sehingga diceritakan bahawa beliau tetap hadir kelas talaqi dengan gurunya itu dan berada di luar kelas secara sembunyi.

Setiap apa yang didengarinya akan disemat dan dihadam betul-betul. Disebabkan itu, terdapat beberapa riwayat yang telah beliau gunakan adalah bermula dengan perkataan “telah berkata Al-Haris dan aku mendengarnya.” (Jamik al-husul fi al-Hadis al-Rasul)

Beliau juga mahir dalam ilmu Fikh dan rentetan daripada itu, beliau telah dilantik sebagai kadi di Mesir dan Hims, iaitu sebuah bandar di barat Syria.

Beliau juga telah berjaya mengarang beberapa kitab sepanjang pembelajarannya sehingga sebelum kewafatan beliau, antaranya ialah:

#1 – Al-Sunan Al-Sughra (al-Mujtaba atau al-Mujtana)
#2 – Al-Sunan Al-Kubra
#3 – Al-Kuna
#4 – Al-Duafa’ wa al-Matrikun

Antara kitab yang terkenal ialah al-Sunan al-Kubra yang menghimpunkan perjalanan periwayatan sesebuah hadis disertai dengan sanad dan matannya.

Dikebumikan Antara Safa Dan Marwah

Imam Nasai telah berpindah dari Mesir ke Kota Damsyiq pada tahun 302 Hijrah. Walau bagaimanapun, disebabkan oleh tekanan yang muncul daripada rakyat yang tidak berpuas hati terhadap kata-katanya, beliau telah diusir sebelum berpindah ke Palestin.

Diriwayatkan juga sebelum beliau meninggal dunia, beliau telah berhasrat untuk ke Kota Mekah agar mayatnya boleh dikebumikan di sana.

Beliau telah wafat pada 13 Safar 303 Hijrah ketika berusia 88 tahun.

Wallahu a’alam.

Rujukan:
Mufti Wilayah
Academia.edu


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fieyzah Lee

Fieyzah Lee

Merupakan seorang pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami