Gaya Hidup

Rezeki Tidak Akan Salah Alamat

Oleh Natirah Azira  •  28 Oct 2018  •  3 min baca

Ibnu Qayyim rahimahullah pernah berkata; Saya selalu senang dan tenang melalui kehidupan di dunia ini kerana dua perkara. Pertama, kerana tahu bahawa saat kematian sudah ditentukan oleh Allah. Ianya tidak akan terlewat atau tercepat walau satu saat. Kedua, kerana rezeki tidak akan diambil oleh orang lain.

Jika kita yakin dan percaya bahawa Allah telah menentukan jalan hidup kita maka kita tidak akan terlalu gusar melalui kehidupan ini. Bahagian rezeki kita telah disediakan oleh Allah, yang perlu dilakukan hanya usaha. Rezeki dalam bentuk apa pun pasti akan sampai ke tangan kita akhirnya.

Kerap kali juga Allah mengaitkan antara rezeki dengan sedekah. Ia bukan hanya bantuan bagi orang yang menerima bahkan satu punca rezeki bagi si pemberi. Bagaimana?

Allah punya cara tersendiri untuk membalas segala budi baik hamba-hambaNya. Makin sering kita keluarkan sedekah di jalan Allah semakin terbuka jalan rezeki untuk kita. Ini janji yang disebutkan dalam firmanNya;

“Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (menafkahkan hartanya di jalan Allah)supaya Allah melipatgandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya? Dan (ingatlah), Allah jualah yang menyempit dan yang meluaskan (pemberian rezeki) dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan”(Al Baqarah 2:245)

Ada satu cerita menarik tentang Rabi’ bin Haitham, seorang ulama tabiin yang terkenal. Beliau merupakan anak murid kepada sahabat iaitu Abdullah bin Umar dan Abu Musa al Asyari. Di akhir usianya , beliau ditimpa strok dan lumpuh separuh badan.

Pada suatu hari, dua orang muridnya datang menziarahi Rabi’ bin Haitham. Ketika itu, isterinya telah membuat makanan yang dipanggil halwa buat Rabi’. Makanan tersebut sukar dibuat kerana memerlukan bahan yang mahal serta mengambil masa yang lama untuk disiapkan.

Anaknya datang memberitahu bahawa makanan tersebut sudah siap dan isterinya berharap beliau memakannya. Lalu halwa tersebut dipotong-potong. Namun, saat makanan baru ingin disentuh oleh mereka, ada ketukan di pintu rumahnya.

Apabila dibuka, rupanya yang mengetuk adalah orang gila, dengan pakaian yang lusuh dan tidak terurus. Rabi’ mengarahkan anaknya supaya mengangkat dan membawa halwa tersebut kepada orang gila itu.

Anaknya patuh dan membawa makanan tersebut dengan niat untuk memberikan sepotong sahaja. Namun orang gila tersebut lantas mengambil kesemuanya, memakan dan pinggan nya dicampak sesudah makan lalu pergi.

Anaknya dalam keadaan tidak puas hati mengutip pinggan lalu bertanya kepada ayahnya,
“Wahai ayahku, semoga Allah sentiasa menjaga kamu. Tadi yang meminta ialah orang gila. Dia tidak mengerti nilai makanan yang diberikan. Jika engkau menyuruhku mengambil apa saja di dapur, pasti dia turut memakannya, tetapi mengapa halwa yang diberikan?”

“Wahai anakku, jika orang gila itu tidak tahu nilai makanan itu, tidak mengapa, kerana Allah tahu nilainya”

Beliau meneruskan nasihat tersebut dengan membaca firman Allah;

“Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya” (Ali-Imran 3:92)

Betapa Rabi’ bin Haitham benar-benar menyahut seruan Allah dalam bersedekah dengan sebaik-baik pemberian. Harta dan kesenangan dunia terlalu sedikit harganya jika dibandingkan dengan ganjaran yang akan Allah berikan di akhirat kelak.

Beliau juga mengerti bahawa rezeki tidak akan pernah silap diberikan oleh Allah kepada sesiapa. Hakikatnya Allah telah mentakdirkan bahawa orang gila itu yang akhirnya akan memakan makanan istimewa tersebut.

Allah Maha Kaya, dan Dia mampu memberi apa sahaja. Syarat untuk ditambahkan rezeki, kita tidak kedekut berkongsi apa yang telah diberikan oleh Allah. Rezeki tidak akan salah alamat, tidak kira apa halangannya, ia akan tetap sampai ke tangan penerima yang tepat.

Sumber:
Kuliah yang disampaikan oleh Dr Khalid Basalamah Di Bawah Topik Rezeki


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Psikologi di universiti yang sama. Seorang yang suka membaca pelbagai genre bahan bacaan terutama sejarah, sastera, motivasi dan psikologi.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami